GENAP hari ini, sudah hampir seminggu dia mendiamkan diri daripada semua orang yang cuba menghubunginya. Sejak peristiwa yang berlaku di rumah Ihsan tempoh hari, dia langsung tidak mahu bercakap dengan sesiapa selain Hud. Entahlah, dia sebenarnya malu untuk berhadapan dengan Ihsan. Hatinya belum bersedia untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Pasti pelbagai soalan yang sedang bermain dalam fikiran lelaki itu, dan kerana itulah dia tidak mahu bertemu dengan Ihsan.
Falia menoleh ke meja sisi yang terletak di sebelah katil. Di atasnya, terdapat sebuah bakul yang penuh dengan ubat-ubatan. Sebenarnya, sudah dua hari dia mengalami kesukaran untuk tidur disebabkan kepalanya yang terasa bagai mahu pecah. Malah, tekaknya turut berasa gatal sehingga menyebabkan dia sering batuk, terutamanya pada waktu malam.
"Fal, muntah-muntah lagi ke hari ni?" soal Hud sebaik sahaja masuk ke dalam bilik Falia. Wajah adiknya dipandang dengan penuh risau. Jarang-jarang adiknya sakit sebegini.
Falia hanya mengangguk, tiada daya untuk berkomunikasi dengan abangnya.
Kemudian, dahinya dipegang pula oleh Hud.
Suam-suam hangat.
"Demam ke, Fal?"
"Haah, tapi Fal dah makan ubat demam dah. Nanti baik lah tu. Abang tak payahlah risau. Fal okey je," balas Falia, cuba menenangkan hati abangnya. Dia tahu, Hud sudah tidak senang duduk melihat keadaannya sebegini.
Bukannya dia tidak mahu pergi ke klinik, tapi dia takut sekiranya doktor mendiagnosis dirinya dengan penyakit lain. Buatnya dia kena masuk hospital macam mana? Itulah perkara yang paling ditakutinya.
"Mana abang tak risau, Fal tu jarang tau sakit lama macam ni. Selalunya makan ubat je terus sembuh. Ini dah dua hari sakit. Dah berapa kali Fal keluar masuk tandas sebab muntah. Bukan tu je, siap pakej cirit-birit dengan demam pula tu. Jomlah kita pergi klinik," pujuk Hud seraya melabuhkan punggung di hujung katil adiknya.
Apa yang dibebelkan oleh Hud seolah-olah tidak masuk ke dalam telinga Falia apabila fokusnya lebih tertumpu ke arah skrin telefon miliknya.
Tangannya dari tadi menatal paparan skrin, melihat satu per satu notifikasi yang belum sempat dibaca olehnya. Tanpa sedar, kelakuannya itu mencuri tumpuan Hud yang berada di hujung katil.
"Tunggu call daripada siapa tu? Ihsan?" teka Hud."Mana ada." Falia menafikan.
"Kalau dah rindu tu, buang jelah ego. Telefon jelah Ihsan tu. Apa masalahnya?" Hud tidak mengerti. Apa pula masalah dua manusia itu kali ini? Dah rindu pun, masih nak menangkan ego lagi. Aduhai.
"Kenapa pula Fal yang kena call? Dialah patut call Fal dulu. Fal takkan call selagi dia tak cari Fal. Tengoklah, dah berapa hari dah, dia langsung tak cari Fal pun. Nampak sangat dia tak kisah pasal Fal," rungut Falia lantas mencebik. Ada bau-bau merajuk nampaknya.
Dia takkan sesekali runtuhkan tembok egonya demi seorang lelaki. Kalau Ihsan tak nak cari dia, dia pun tak nak cari Ihsan juga! Biar fair and square. Lagipun kalau dia yang mulakan langkah dulu, nampak macam dia pula yang terhegeh-hegeh nakkan perhatian Ihsan.
"Fal, Fal macam budak-budaklah kau ni. Kau lupa eh, Ihsan tu owner syarikat tau. Kau ingat dia ada masa nak layan perangai mengada-ngada kau ni? Dah tentu-tentu dia busy, Fal. Cubalah faham sikit," balas Hud, tidak puas hati dengan jawapan adiknya.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
RomancePrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...