FALIA memandang lama salah seorang pekerjanya yang dari tadi kelihatan resah. Kata gadis itu, ada sesuatu perkara yang ingin diberitahu kepadanya. Namun, dari tadi gadis itu hanya mengunci mulutnya. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya.
"Kayla nak cakap apa sebenarnya ni? Ada apa-apa masalah ke dengan butik?" Falia cuba memecahkan kesunyian apabila gadis itu masih lagi menunduk dan mendiamkan dirinya.
"Saya... sebenarnya ada sesuatu nak bagitahu bos." Kayla menggenggam kedua-dua belah tangannya, cuba mengumpul keberanian untuk menyampaikan cerita yang sudah lama dipendamnya.
"Nak bagitahu apa tu? Nampak macam serius je." Sebelah kening Falia mula terangkat. Dari tadi lagi otaknya sudah berteka-teki meneka apa yang ingin disampaikan oleh gadis itu. Melihatkan keresahan gadis itu, dia pula yang rasa gelisah. Entah apalah yang ingin dikongsikan kepadanya.
"Kalau saya bagitahu bos ni, bos jangan marah saya eh?"
Semakin berkerut dahi Falia mendengar omongan gadis itu.
"Kenapa ni, Kayla? Cuba berterus terang je dengan akak." Falia cuba memujuk gadis itu. Entah mengapa, dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas melihat air muka gadis itu. Jarang-jarang Kayla berkelakuan sebegitu di hadapannya.
Kayla menarik nafas secara perlahan-lahan sebelum memulakan semula bicaranya.
"Sebenarnya, hari tu saya ada ternampak Sera dekat luar."
"Okey, lepas tu?"
"Saya ingatkan Sera tengah makan dengan kawan dia, jadi saya biarkan jelah. Saya ingat nak pergi tegur tapi disebabkan saya nak cepat masa tu, saya batalkan jelah niat saya. Masa saya nak bayar makanan dekat kaunter, saya pandang balik Sera dengan kawan dia. Bos nak tahu tak siapa yang saya nampak?"
Kayla cuba mengumpan Falia dengan soalannya.
"Siapa?"
"Cik Aira."
Falia bungkam tanpa kata. Jawapan yang diberikan oleh Kayla itu benar-benar membuatkan dia terdiam. Otaknya seolah-olah cuba memproses semula jawapan yang didengarinya.
Dia tak salah dengar kan?
"Awak biar betul, Kayla? Ke awak salah orang?" Falia cuba menyedapkan hatinya. Pahit untuk dia telan kenyataan itu seandainya apa yang difikirkannya benar.
"Betul, bos. Dah lama sebenarnya saya nak bagitahu bos pasal hal ni tapi saya takut. Saya takut saya salah orang. Saya tak naklah tuduh orang sesuka hati," jawab Kayla kepada Falia. Dia pun masih terkejut sebenarnya. Tak sangka dalam diam sebenarnya dia telah menjadi saksi pertemuan antara dua manusia itu.
"Awak ada bukti? Saya tak boleh percaya bulat-bulat apa yang awak cakap kalau tak ada bukti," tegas Falia. Walaupun hatinya sudah remuk ingin menelan kenyataan yang langsung tidak disangka olehnya, namun dia tetap perlu bersikap profesional.
Kayla terus mengeluarkan telefon pintarnya lalu satu rakaman video dimainkan di hadapan wanita itu.
"Kebetulan saya ada record video untuk upload dekat Instagram story saya masa tu. Dalam video ni, bos boleh nampak kelibat Sera dengan Cik Aira tengah bincang sesuatu," jelas Kayla kepada majikannya.
Mata Falia langsung tidak dilarikan walau seinci dari memandang rakaman video tersebut. Ternyata apa yang diberitahu oleh Kayla, semuanya benar belaka. Tiada satu pun yang cuba disembunyikan oleh gadis itu daripadanya.
Kecewa. Itulah yang dirasakannya ketika ini. Dia bukannya kecewa melihat bahan bukti yang diberikan kepadanya tapi dia kecewa kerana pekerja yang paling dipercayai olehnya sanggup menikamnya dari belakang.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
RomancePrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...