BUNYI riuh rendah di kelas membuatkan semua pelajar menjadi tidak terkawal. Sesetengah pelajar perempuan mula berkumpul beramai-ramai bagi mendengar gosip terkini yang terjadi di sekolah tersebut. Namun, ada juga sesetengah pelajar yang hanya tidur di meja mereka. Pelajar lelaki pula sedang sibuk bermain bola di belakang kelas.
"Korang nak tahu tak, aku dengar cerita kan ada sorang budak perempuan ni nak mengurat Endra," kata salah seorang pelajar perempuan dari kelas tersebut.
"Seriuslah weh? Endra tu senior kelas depan tu kan? Bukan ke dia dah ada girlfriend?" soal pelajar lain pula.
Falia yang berada tidak jauh daripada mereka semua mula memasang telinganya. Sebenarnya dia juga menaruh hati pada jejaka yang bernama Endra itu dan dia pernah meletakkan beberapa coklat di bawah meja lelaki itu.
'Jangan-jangan Endra dah tahu aku yang bagi semua coklat tu...' bisik hati Falia.
"Ya, memang pun! Endra tu dah ada girlfriend tapi aku tak tahulah dah putus ke belum. Yang aku nak tahu sekarang, siapa perempuan yang cuba nak mengurat Endra tu."
"Entah-entah budak kelas ni," teka salah seorang pelajar tersebut.
Mereka mula memandang baki pelajar yang hanya duduk di tempat masing-masing. Tiba-tiba mata mereka tertumpu ke arah Falia.
"Ish, tak mungkinlah Falia. Dia tu dahlah selekeh, buruk, anak yatim pula tu. Mana sesuai dengan Endra." Falia melarikan pandangan matanya daripada memandang pelajar-pelajar perempuan yang sedang melihat ke arahnya.
"Falia, kau ke perempuan yang nak mengurat senior kelas depan tu? Kau pun mesti ada hati kan dengan dia? Dia tu kan hensem." Seorang pelajar perempuan tersenyum sinis memandang Falia.
Falia tidak menjawab sebaliknya dia terus membuka buku teks Perniagaan bagi melindungi wajahnya. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar. Biarlah dia menyukai lelaki itu dalam diam sahaja.
Tiba-tiba pintu kelas diketuk dari luar. Pelajar-pelajar perempuan yang berkumpul sebentar tadi semua memandang ke arah pintu kelas. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat jejaka yang disebut-sebut sebentar tadi muncul di hadapan kelas.
Falia turut memandang jejaka pujaannya dari jauh.
"Assalamualaikum, dekat sini ada pelajar nama Falia Inara ke? Cikgu Aishah nak jumpa." Endra menyoal dari pintu kelas. Semua pelajar perempuan mula memberikan tumpuan kepada Falia.
'Aduh, kenapa pula cikgu nak jumpa aku ni? Aku dah hantar kerja sekolah awal pagi tadi lagi. Dahlah Endra pula yang datang. Malunya.' Dengan perlahan-lahan Falia bangkit dari kerusinya. Dia terus berjalan ke luar kelas.
"Kau Falia Inara eh? Jom ikut aku jumpa Cikgu Aishah." Endra terus bergerak meninggalkan Falia. Falia pula terus mengejar langkah lelaki itu. Gugupnya bila jalan berdua bersama lelaki yang dia minati.
Sewaktu mereka dalam perjalanan ke bilik guru, Endra tiba-tiba bersuara.
"Dah lama buat kerja macam tu?" soal Endra secara tiba-tiba.
"Ha?" Falia tersentak.
"Dah lama ke buat kerja macam tu?" Endra mengulang pertanyaannya.
"M...maksud awak?" Falia tidak mengerti dengan maksud lelaki itu. Sudahlah dia gugup berada di sebelah lelaki itu. Nak pandang pun segan.
"Kau kan yang bagi aku semua coklat tu? Aku tahu," jawab Endra secara jujur.
"Tak, s...saya—"
"Falia! Bangun! Dah maghrib ni! Pergi mandi lepas tu solat. Apa nak jadilah dengan anak dara sorang ni?" Hud membebel di hadapan Falia. Falia pula sedang menggosok matanya sambil memandang sekeliling biliknya.
YOU ARE READING
𝗟𝗢𝗔𝗧𝗛𝗘 𝗧𝗛𝗘 𝗟𝗢𝗩𝗘
RomancePrinsip wanita itu satu sahaja. Dia tidak mahu terlibat dengan mana-mana dunia percintaan, berkahwin apatah lagi. Hidup ini sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika hidup tanpa pasangan. Kan lagi seronok hidup bebas tanpa perlu bergantung pada sesia...