Sekali sekala suara bersin milik Zuhayr bergema memenuhi ruang bilik tidur. Tisu-tisu yang berselerakkan di sekitar tong sampah berdekatan dengan katil tidak dihiraukan. Sehelai tisu baru diambil lagi untuk membersihkan sebahagian wajahnya akibat selesema.
Kini sudah dua hari Zuhayr berkurung di dalam bilik kerana selesema teruk akibat hujan lebat tempoh hari. Itu dua hari yang lalu. Tapi hari ini dia rasa macam hendak demam pula.
Zuhayr menarik selimut hingga menyamai paras dada. Rasa sejuk semakin mencengkam diri walaupun penyaman udara sudah dimatikan sejak dari tadi.
Baru beberapa minit melelapkan mata, Zuhayr mula berasa tidak selesa untuk berbaring di atas katil kerana suhu badan yang semakin tinggi. Dia kemudian duduk lalu menjatuhkan kaki ke atas lantai. Kepala pula sudah semakin memberat. Tekak turut berasa perit membuatkan dia hilang selera makan.
"Mana pula bini aku ni? Lama betul turun bawah." Zuhayr menggumam perlahan. Awal tadi, Zuha ada datang ke bilik ini. Sekadar untuk memberi Zuhayr ubat sebelum gadis itu kembali semula ke dapur.
Tanpa membuang masa, dia mengatur langkah menuju ke tingkat bawah walaupun kepalanya terasa pening lalat ketika berjalan. Namun dia tetap memaksa dirinya agar dapat menemui Zuha yang mungkin masih lagi berada di dapur.
Setibanya di dapur, Zuhayr hanya mampu menggeleng kepala sebaik sahaja melihat Zuha yang sibuk ke hulu ke hilir membuat kerja. Leka sangat sehingga tidak sedar akan kehadiran Zuhayr di situ.
Sofea pula entah hilang ke mana. Kebetulan pula Sofea sedang cuti pertengahan semester dan dia membuat keputusan untuk tinggal bersama mereka berdua. Alasannya hendak meluangkan masa dengan kakak ipar.
Haih, budak ni. Dah tahu duduk sini tu rajin-rajinkanlah diri untuk tolong apa yang patut!
"Sayang." panggil Zuhayr, lemah. Dia kemudian labuhkan duduk di island table sambil memegang bahagian tepi kepala.
Zuha lantas berpaling selepas selesai menutup paip di sinki. Dia kemudian mengelap tangannya yang basah dengan sehelai tuala kecil sebelum menapak ke arah Zuhayr.
"Ya, Zuhayr? Awak ada nak apa-apa ke?"
"Mana Fea?"
Zuha mengukirkan senyuman sambil memandang wajah sugul itu. Sehari dua ni Zuhayr agak monyok sikit sebab selesema teruk. Sepanjang dua hari ini juga Zuhayr tidak ke pejabat dan hanya berkurung di dalam bilik. Bercakap pun sekadar perlu. Dah tak ada senda gurau dari Zuhayr. Bila dah jadi macam ni, tiba-tiba terbit pula rasa rindu dengan usikan suaminya.
"Fea tengah ada online discussion dengan kawan-kawan dia. Nanti habislah tu. Kenapa cari dia?"
Tanpa berlengah lagi, Zuhayr terus meraih tangan kecil itu lalu diletakkan ke atas dahi. Kemudian, dia bawa pula tangan itu ke bahagian leher.
"Sayang, cuba awak rasa. Panas tak?"
Dahi Zuha berkerut seketika sebelum dia menarik semula tangannya dari terus menyentuh leher Zuhayr.
"Emm, panas."
Satu patah perkataan itu sahaja yang keluar dari mulut Zuha menyebabkan Zuhayr berasa sedikit terkilan.
Dalam banyak-banyak ayat, itu saja yang dia boleh cakap?
Padahal sejak dari tadi Zuhayr cuba untuk memberi 'hint' kepada Zuha supaya melayan kerenah dirinya tapi Zuha seperti tidak dapat menangkap maksud 'hint' tersebut. Malah isterinya itu terus meninggalkan dia seorang diri di dalam bilik selepas membawakan ubat selesema untuknya.
Wajah Zuhayr mula mengukirkan senyuman kelat. Kenapalah susah sangat nak faham? Dia perlukan perhatian seorang isteri di saat macam ni. Orang tengah demam kot!
YOU ARE READING
HER BEAUTIFUL COMFORT - C
RomanceStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Munirah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Zuha Munirah, seorang gadis yang pendiam dan lebih gemar memendam rasa. Kejadian di mana karyanya telah diciplak oleh insan yang...