Sepasang kaki kecil itu menghayun langkah tanpa arah. Sesekali dia menyeka air mata hangat yang tidak henti-henti terbit di tubir mata.
"Fiya nak ikut abang Izz." Dia menggumam perlahan.
Masih terngiang-ngiang di telinganya akan perbualan antara Zuhayr dan Izham sebentar tadi. Walaupun umur Aufiyyah baru sahaja menginjak empat tahun, tetapi dia sudah mampu untuk memahami perbualan orang dewasa. Dia faham. Izham terpaksa membawa Izz untuk berpindah jauh dari sini kerana urusan kerja. Oleh kerana itu dia berasa kecewa kerana terpaksa berpisah dengan satu-satunya insan yang digelar abang.
Izz merupakan kawan sepermainan yang dia punya sama ada di rumah mahupun di sekolah. Sikap Aufiyyah yang agak pendiam menyebabkan dia lebih selesa untuk berada bersama dengan Izz. Sangat kontra jika hendak dibandingkan dengan sikap Izz yang sangat peramah. Disebabkan sikap Izz itu jugalah Aufiyyah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sekolah.
Tapi, dia hendak berkawan dengan siapa sekiranya Izz sudah berpindah nanti?
"Fiya?"
Aufiyyah mengangkat wajahnya. Dia lantas mencebik sambil menahan air mata daripada keguguran sebaik sahaja melihat gerangan yang memanggil namanya itu.
"Uncle Ris...."
Faris menundukkan tubuh sehingga menyamai paras ketinggian Aufiyyah. Tubuh Faris langsung dipeluk erat oleh anak kecil itu.
"Sayang uncle kenapa? Mana ayah? Kenapa Fiya sorang-sorang kat sini?"
Aufiyyah menyembamkan wajah ke atas bahu Faris tanpa menjawab langsung pertanyaan lelaki itu. Faris sudah mula berasa gusar. Kebetulan pula dia baru selesai membeli barang di kedai serbaneka. Oleh kerana jarak antara kedai itu dengan rumahnya hanya mengambil masa lima minit, maka Faris membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Namun tak sangka pula dia boleh terserempak dengan anak kecil ini di sini.
"Uncle hantar Fiya balik, okay? Ayah mesti tengah cari Fiya."
Laju Aufiyyah menggeleng.
"Fiya tak nak balik rumah. Semua orang tak sayangkan Fiya lagi."
Faris menghela nafas sebelum mengukirkan senyuman segaris. Walaupun dia tidak mengetahui apa yang telah terjadi namun dia turutkan jua permintaan si kecil.
"Emm, kalau macam tu Fiya temankan uncle pergi taman, boleh? Kita makan aiskrim sama-sama. Uncle ada beli banyak aiskrim ni." ujar Faris sambil menunjukkan beg plastik yang berada di tangannya.
Aufiyyah hanya mengangguk sebelum dia kembali meletakkan wajah ke atas bahu Faris. Tanpa membuang masa, Faris mendukung tubuh kecil itu dengan sebelah tangan lalu menuju ke taman permainan yang berada tidak jauh dari situ.
****
"Sayang uncle nak aiskrim perisa apa? Uncle ada beli perisa strawberry, coklat, vanilla. Ha, rainbow pun ada juga tau."
Faris mengeluarkan segala jenis aiskrim yang dibelinya tadi. Walaupun cuaca tidaklah begitu hangat, tetapi aiskrim tersebut sudah seakan-akan sedang mencair.
Aufiyyah menggeleng. Wajahnya masih lagi kelihatan muram.
"Tapi tadi Fiya dah makan kek coklat. Ayah kata dalam sehari Fiya cuma boleh pilih sama ada makan kek atau aiskrim je."
Jawapan Aufiyyah membuatkan Faris tergelak kecil. Lantas dia membawa Aufiyyah supaya duduk di atas ribanya.
"Tak apa. Uncle bagi pengecualian untuk hari ini. Beritahu uncle kalau ayah marah Fiya, okay? Nah, ambil mana yang Fiya nak. Kalau Fiya nak semua pun boleh."
YOU ARE READING
HER BEAUTIFUL COMFORT - C
Любовные романыStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Munirah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Zuha Munirah, seorang gadis yang pendiam dan lebih gemar memendam rasa. Kejadian di mana karyanya telah diciplak oleh insan yang...