25

12.1K 734 72
                                    

Zuha sangkakan semuanya akan selesai apabila keluarga Izham berkunjung ke rumahnya bagi berbincang tentang hal pertunangan itu. Namun, sangkaannya meleset sama sekali. Mereka tidak mahu memutuskan pertunangan tersebut malah tetap berkeras untuk meneruskan majlis perkahwinan itu dalam masa yang terdekat. Entah apa yang dibincangkan oleh mereka, akhirnya Encik Zaim bersetuju jua untuk tidak memutuskan tali pertunangan antara Zuha dan Izham. 

Suasana di ruang tamu menjadi sunyi sepi setelah keluarga Izham berangkat pulang sebentar tadi. Kini hanya Zuha, Encik Zaim serta Puan Mariam sahaja yang berada di situ. Zuha mengeluh besar sambil memandang sekilas wajah mereka yang sedang duduk di hadapannya.

"Kenapa abah sanggup buat macam ni kat kakak walaupun abah dah tahu hal yang sebenar?" soal Zuha sambil menahan sebak di dada. 

"Berilah peluang kepada Izham untuk berubah. Manusia mana yang tak pernah buat silap? Kakak cuba ya?" Encik Zaim mengukirkan senyuman hambar sambil memerhatikan Zuha yang sedang mempamerkan riak wajah kecewa. 

Puan Mariam pula hanya mampu menundukkan wajah taktala mendengar perbualan dua beranak itu. Dia juga tidak sanggup untuk melihat keadaan Zuha yang kelihatan lesu saat ini.

Zuha sudah memegang bahagian pelipis sambil berdecit sebaik sahaja mendengar kata-kata ayahnya. Dia sendiri tidak memahami dengan keputusan yang diambil oleh Encik Zaim. Semalam kata lain, hari ini kata lain.

"Orang macam tu tak patut diberi peluang. Dia bukan buat semalam, abah. Benda tu dah banyak kali dia buat. Itu yang kakak tahu. Yang kakak tak tahu? Kakak tak fahamlah dengan keputusan abah ni." 

Gadis itu segera mengalihkan pandangan sambil melihat pantulan dirinya di atas skrin televisyen yang gelap itu. Dia juga berusaha sedaya upaya untuk mengawal nada suaranya agar tidak dengar keterlaluan sehingga mencalarkan hati kedua orang tuanya.

Encik Zaim terdiam seketika.

"Abah minta maaf sebab terpaksa buat macam tu. Abah pun tersepit juga. Abah dah cuba berunding tapi diorang sendiri berkeras untuk teruskan perkahwinan ni. Kalau abah berdegil juga untuk batalkan majlis kamu berdua, semua projek pembangunan kat kampung ni akan turut dibatalkan. Abah dan seluruh penduduk kampung yang akan tanggung kerugian tu."

"Berapa, abah? Kakak sanggup bayar walau dengan air mata darah sekalipun."

Zuha mengetap bibir sambil menunggu jawapan dari Encik Zaim. Jemarinya juga sedang ralit bermain sesama sendiri tanpa dia sedari.

"RM4.5 juta. Mana abah nak cari duit sebanyak tu, kakak? Kita bukan orang berada. Abah pun tak sangka benda boleh meleret sampai jadi macam ni sekali."

Encik Zaim sudah mula memicit bahagian tepi kepala. Sebetulnya projek itu tiada kena mengena langsung dengan hal pertunangan ini namun kerana ingin menjaga air muka bagi pihak di sebelah sana, mereka telah mengugut dia supaya tidak memutuskan pertunangan ini.

Setakat cemuhan orang apalah sangat bagi Encik Zaim. Tetapi apabila mengenangkan tentang kerugian yang harus ditanggung olehnya bersama seluruh penduduk kampung membuatkan dia akhirnya menurut sahaja kehendak keluarga Izham. 

Zuha tergamam sebelum dia mula bersandar di sofa. RM4.5 juta? Duit belanja pun kadang-kadang dia catu untuk memuaskan kehendak diri, inikan pula duit sebanyak itu. Memang mustahil orang sepertinya untuk mendapatkan duit sebanyak itu dalam masa terdekat melainkan ada keajaiban berlaku. Contohnya, ada duit jatuh dari langit ataupun ada anak raja masuk meminang. 

"Nampaknya kita tetap kalah dengan orang berada, kan abah?" ujar Zuha dengan nada sinis. Gadis kemudian menunduk lalu kedua belah tangannya naik menutupi wajah. Sesaat, kedengaran esakan kecil darinya. Bahunya turut bergoncang menandakan yang dia sedang melepaskan tangisannya.

HER BEAUTIFUL COMFORT - CWhere stories live. Discover now