Zuhayr tiba di rumah menjelang lewat petang. Hari ini dia membuat keputusan untuk pulang lebih awal dari biasa supaya dapat menemui isterinya. Jujur, sejurus selepas Zuha pergi, hatinya dihurung rasa serba salah sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk menumpukan perhatian kepada segala kerja dan mesyuarat yang diadakan pada hari ini. Mindanya masih lagi teringat-ingat wajah Zuha yang seperti menyembunyikan sesuatu darinya.
Cahaya lampu mula menerangi ruang tamu yang sebelumnya gelap-gelita. Hati mula disapa dengan rasa hairan apabila suasana ruang tamu yang sunyi sepi tanpa penghuni. Mana pula isterinya pergi?
Zuhayr tersentak kecil sebaik sahaja perasan akan isterinya yang sedang lena di atas sofa dengan lengan terletak di atas dahi. Bertemankan dengan rasa khuatir yang semakin menghantui diri, dia lantas mendapatkan Zuha. Sebuah kucupan juga hinggap di tepi pelipis wanita itu.
"Sayang, bangun. Dah nak masuk waktu maghrib. Tak baik tidur waktu macam ni." kejut Zuhayr sambil mengelus lembut wajah isterinya.
Zuha membuka kelopak mata perlahan-lahan taktala suara garau itu menyapa deria pendengarannya.
"Abang..."
Wanita itu segera bangun dan bersandar di sofa. Zuhayr turut labuhkan duduk di sebelah Zuha. Zuha sempat memejamkan mata sebentar sebelum dia masuk ke dalam pelukan suaminya. Rasa kantuk masih lagi bersisa menyebabkan Zuha ingin menyambung lagi tidurnya itu.
"Sayang tak sihat ke? Kenapa tidur kat sini?" Tapak tangan Zuhayr melekap di atas dahi Zuha. Tak ada pula demam tapi kenapa pula nampak lesu semacam je?
Tiba-tiba, matanya terpandang akan sebuah kotak berwarna putih kuning di atas meja.
"Sayang makan ini aje ke hari ni?"
"Hmm..." Zuha mengangguk sambil mengeratkan pelukannya.
Zuhayr mengeluh apabila mendengarkan jawapan yang diberikan.
"Ini untuk makan petang ni atau untuk lunch? Jangan kata ini lunch yang sayang maksudkan?"
Zuha bagaikan baru tersedar dari mimpi selepas mendengar soalan Zuhayr. Terpisat-pisat dia membuka mata sambil cuba mendapatkan pemandangan yang lebih jelas. Aduh, dia betul-betul lupa untuk menyorokkan kotak itu dari pengetahuan suaminya.
"Itu... untuk lunch..." ujar Zuha, perlahan. Pandangannya jatuh ke atas riba. Jemarinya mula bermain sesama sendiri menandakan dia sedang berada dalam keadaan gelisah. Bimbang bakal dimarahi oleh Zuhayr sebentar lagi.
"Sorry, abang. Zuha tak nak kacau abang lunch dengan kak Mia. Tapi Zuha okay aje makan ni sebab Zuha tiba-tiba teringin nak makan ayam goreng." Tubir mata mula terasa bahang.
Zuhayr mengambil kotak tersebut lalu melihat isi di dalamnya. Masih ada beberapa ketul ayam lagi yang tidak berusik.
"Berapa ketul sayang makan ni? Kenapa macam tak luak?"
"Dua aje. Zuha tak larat nak makan. Dah kenyang."
Zuhayr mengeluh lagi.
"Kenapalah sayang tak cakap jujur dengan abang tadi? Kalau abang tahu, abang tak bagi sayang tinggalkan ofis. Mana cukup dari tadi cuma makan dua ketul ayam aje."
Zuha sudah mula mencebik. Kelopak matanya terkedip-kedip sambil menahan air mata daripada tumpah. Tapi dia tewas juga akhirnya. Air mata yang keguguran itu dia kesat dengan belakang tangan.
Zuhayr mula panik apabila melihat isterinya yang tiba-tiba sahaja menangis. Dia terus menarik Zuha ke dalam pelukan sambil mengucup ubun-ubun isterinya berulang kali.
"Ya Allah, kenapa pula menangis ni? Abang tak marah sayang pun. Abang cuma tanya sebab abang risaukan sayang."
"Zuha minta maaf. Zuha tak berniat pun nak tipu abang. Zuha cuma tak nak buat abang susah hati sebab Zuha."
YOU ARE READING
HER BEAUTIFUL COMFORT - C
RomanceStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Munirah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Zuha Munirah, seorang gadis yang pendiam dan lebih gemar memendam rasa. Kejadian di mana karyanya telah diciplak oleh insan yang...