His Beautiful Consolation.
Aku meramas perlahan kedua belah tanganku bagi menghilangkan rasa debaran yang semakin kencang bertandang di hati. Perasaan yang aku alami saat ini tidak mampu untuk aku ungkapkan. Walaupun secara zahirnya aku cuma menayangkan riak wajah bersahaja, namun jantungku tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya terhadap diriku.
Tepukan lembut di bahu membuatkan aku tersentak kecil. Lantas aku menoleh ke sebelah kanan. Meluat sungguh tatkala aku melihat wajah sahabat baikku yang sedang tersengih-sengih itu.
"Nervous ke bro? Tak sangka kau pun faham maksud nervous."
Aku sempat menjeling tajam sebelum aku melemparkan semula pandangan ke luar tingkap.
"Mestilah nervous, bro. Orang yang akad nanti tu bakal ayah mertua aku. Aku masih tak biasa lagi berjumpa dengan dia."
Ya, hari ini merupakan hari bersejarah buat aku dan si dia. Setelah dua minggu berlalu sejak kali terakhir si dia menghubungiku, inilah kali pertama kami akan bertemu semula. Bertemu atas sebab untuk disatukan dengan ikatan sah. Walaupun dalam beberapa hari ini hati aku sudah mula tidak tenteram tapi dalam pada masa yang sama, aku bersyukur kerana akhirnya aku dapat menjadikan dia sebagai suri hatiku.
"Dah, jom. Daddy kau dah panggil tu." Sahabat baikku memuncungkan bibir sambil menunjuk ke arah pintu masuk rumah bakal mertuaku.
Aku menghirup nafas panjang sebelum perlahan-lahan menghembuskannya. Setelah memastikan debaran di dada semakin surut, aku membuka pintu kereta lalu keluar dari perut kereta itu. Sahabatku turut berbuat demikian.
Kami berdua melangkah masuk ke dalam ruang tamu rumah. Tak semena-mena aku kembali gementar dek melihat ruang tamu itu dipenuhi dengan ramai orang. Mungkin juga mereka semua adalah saudara-mara bakal keluarga mertuaku.
"Wow, semua ni saudara-mara dia ke? Ramainya..." sahabatku berbisik. Aku hanya berdehem, tak ingin melanjutkan perbualan itu.
Sebelum aku labuhkan duduk di hadapan bakal bapa mertuaku, aku sempat mencuri lihat keadaan sekitarku melalui ekor mata. Hairan. Mana perginya pengantin perempuan? Pelamin ada tapi tiada siapa pun duduk di situ.
"Pengantin perempuan ada kat dalam bilik pengantin. Jangan risau. Takkan larinya bakal isteri kamu tu." Bakal bapa mertuaku berseloroh. Sekadar untuk mententeramkan jiwaku yang sedang gemuruh saat ini. Tetapi malangnya, semua itu tidak membantu langsung. Aku malah menjadi semakin gementar, tanganku pula semakin dingin. Tak senang duduk aku dibuatnya.
"Sah."
Alhamdulillah, dengan sekali lafaz aku akhirnya sah menjadi suami kepada si dia.
"Pengantin lelaki dah boleh berjumpa dengan pengantin perempuan kat bilik untuk upacara pembatalan wuduk." ujar bapa mertuaku.
Aku mengangguk.
"Tapi sebelum itu, saya nak ajak pengantin perempuan untuk solat sunat dulu."
Bapa mertuaku mengalihkan pandangan ke arah seorang wanita tua yang sedang labuhkan duduk berhampiran dengan kami. Dan ya, itu adalah ibu mertuaku.
"Mar, tolong sampaikan kat pengantin perempuan untuk solat sunat dulu."
Ibu mertuaku bingkas bangun lalu menuju ke bilik pengantin. Tak beberapa lama selepas itu, dia memanggilku supaya melakukan solat sunat di dalam bilik bersama dengan isteriku.
Aku mula mengatur langkah. Hatiku semakin berkocak hebat. Malah lebih hebat dari tadi. Dalam diam aku cuba untuk mengatur nafas agar aku menjadi lebih tenang. Baru sahaja selangkah aku memasuki bilik itu, aku jadi tergamam sewaktu melihat isteriku yang sedang labuhkan duduk di birai katil.
YOU ARE READING
HER BEAUTIFUL COMFORT - C
RomanceStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Munirah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Zuha Munirah, seorang gadis yang pendiam dan lebih gemar memendam rasa. Kejadian di mana karyanya telah diciplak oleh insan yang...