32

13.5K 732 25
                                    

Setelah hampir seminggu menghabiskan masa di Terengganu, Zuhayr kembali juga ke KL bersama Zuha. Kalau diikutkan hati, dia ingin menyambung cutinya namun niat itu terbantut apabila menerima panggilan daripada pejabat. Terdapat urgent meeting yang memerlukan dirinya untuk hadir sama ke mesyuarat tersebut pada petang ini.

Handbrake ditarik sebaik sahaja kereta BMW X6 itu diparkir di bawah garaj kereta. Sesudah itu, tali pinggang keledar dileraikan. Zuhayr menoleh ke sebelah kiri sambil memerhatikan wajah si isteri yang sedang hanyut diulit mimpi. Bibirnya lantas menyungging sebuah senyuman kecil. Tak sampai hati pula hendak mengejutkan isterinya itu.

Tiba-tiba, Zuha mencelikkan mata apabila dia mula merasakan kereta tersebut berada dalam keadaan pegun. Lantas dia menoleh ke luar tingkap sambil mengerutkan hidung.

"Eh, dah sampai ke?"

Zuhayr mengukirkan senyuman sambil mengangguk kecil.

"Kenapa tak kejut?" soal Zuha lagi lalu memejamkan matanya kembali. Rasa mengantuk masih lagi bersisa membuatkan dia tiba-tiba rasa malas hendak turun dari kereta.

"Saja. Seronok tengok awak tidur. Tengah lena pun lawa."

Zuha lantas membuka luas kelopak matanya lalu memutarkan bebola mata ke atas. Ish, Zuhayr ni. Suka sangat perli dia.

"Jom, kita masuk. Lepas ni boleh sambung berehat kat bilik." ajak Zuhayr lalu dia keluar dari perut kereta dan menuju ke but kereta.

Gadis itu turut melangkah keluar sama. Dia kemudian berdiri sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Luas betul kawasan halaman rumah ni. Tipikal rumah orang berada. Ada taman bunga, ada kolam ikan, ada pangkin. Di bawah garaj pula terdapat sebuah Toyota Hilux GR Sport yang selalu Zuhayr guna sebelum ini sedang terparkir elok di situ. Sekilas Zuha tersengih. Tiba-tiba teringat pula waktu dia menangis sambil meleleh-leleh hingus kat dalam kereta tersebut.

Haih, memalukan betul!

"Zuhayr, mana mummy dengan daddy? Kenapa rumah ni senyap? Macam tak ada orang pun?" soal Zuha. Matanya tercari-cari kelibat kedua ibu bapa mertuanya namun tiada. Tapi rumah itu pun seakan-akan sunyi bagaikan tidak berpenghuni.

"Ni bukan rumah daddy la, sayang." jawab Zuhayr sambil menarik bagasi mereka berdua ke sisinya. But kereta kemudian ditutup rapat setelah memastikan semua beg kepunyaan mereka telah siap dikeluarkan.

"Dah tu? Ini rumah siapa?" soal Zuha dengan wajah berkerut. Dia sangkakan mereka akan tinggal bersama dengan ibu bapa Zuhayr. Rumah besar dan luas macam ni takkan nak tinggal berdua aje?

"Rumah kita." Zuhayr mengenyitkan mata ke arah Zuha sebelum berlalu pergi bersama dengan bagasi mereka berdua.

Zuha terkedu seketika namun sesaat kemudian bibirnya menguntumkan senyuman. Dia cuba untuk mengemam bibir dari terus tersenyum namun gagal. Ayat Zuhayr tadi tiba-tiba menyebabkan hatinya rasa berbunga-bunga.

"Rumah kita." ulang Zuha sambil berbisik sebelum dia turut melangkah masuk ke dalam rumah tersebut.

****

Zuha merebahkan tubuh ke atas katil. Perasaan penat yang menyelubungi diri serta merta hilang apabila dia baring di atas tilam yang empuk ini. Matanya sempat menangkap Zuhayr yang masih lagi berdiri di tepi sliding door berdekatan dengan beranda sambil menatap skrin iPad.

HER BEAUTIFUL COMFORT - CWhere stories live. Discover now