34

14K 739 33
                                    

Zuha menguap kecil sambil memerhatikan tingkah Datin Zareena dan Sofea yang masih lagi membelek pelbagai jenis dress dan abaya sejak dari tadi. Dia mengukirkan senyuman tipis. Macam ini rupanya orang kaya membeli-belah. Mereka hanya perlu duduk di dalam bilik khas tanpa perlu berjalan ke mana-mana. Malah akan ada beberapa pembantu yang akan membawa barang yang mereka mahukan ke dalam bilik khas ini.

Seronok ya shopping macam ni. Tak payah berpeluh sakan. Tak perlu berebut dengan orang lain. Semuanya dah tersedia di depan mata.

"Kak long, sinilah. Abaya ni cantik. Fea tengok macam sesuai aje dengan kak long." Sofea menggamit agar Zuha datang ke arahnya. Tangannya masih lagi memegang abaya yang dimaksudkan.

Dengan langkah yang longlai, Zuha menghampiri adik iparnya itu.

"Emm, betullah, Zuha. Pergi try abaya ni. Boleh Zuha pakai untuk majlis hujung minggu ni." ujar Datin Zareena sambil tersenyum.

"Tak apalah, mummy. Banyak sangat dah mummy belikan untuk Zuha. Nanti tak terpakai pula."

Zuha cuba menolak dengan sopan agar tidak mengguriskan hati ibu mertuanya. Bukan apa, Datin Zareena sudah berbelanja banyak untuk dirinya hari ini. Hari ini saja sudah lima helai baju yang mummy belikan untuk dirinya. Dia ni pun bukan biasa sangat shopping baju banyak-banyak. Lainlah kalau shopping novel. Borong satu kedai pun tak apa.

"Alah, tak apalah. Dah alang-alang nak pakai untuk weekend ni. Dah, pergi masuk fitting room sana. Mummy dengan Sofea tunggu kat sini."

"Tapi janji dengan Zuha, ni last tau?" soal Zuha sebelum abaya tersebut beralih tangan. Datin Zareena laju mengangguk. Tanpa berlengah lagi, gadis itu terus melangkah bersama abaya tersebut ke dalam fitting room.

Tak lama selepas itu, Zuha keluar dengan abaya berwarna putih yang tersarung kemas di tubuh. Wajah Datin Zareena dan Sofea serta-merta mengoyakkan sebuah senyuman lebar.

"Kan Fea dah kata, jubah ni memang sesuai dengan kak long. Mesti along terpegun bila tengok kecantikan isteri dia ni."

Sofea lekas mengambil telefon pintarnya lalu menangkap gambar Zuha untuk simpanannya. Alang-alang tu bolehlah hantar kat Zuhayr sekali.

"Bukan along aje yang terpegun, mummy pun sekali terpegun ni ha. Mummy tak sangka menantu mummy ni cantik bagaikan bidadari." puji Datin Zareena pula.

Zuha sudah mula tersenyum sipu apabila mendengar pujian dari dua beranak itu. Dia memusing tubuhnya ke kiri dan ke kanan sambil memerhatikan dirinya melalui pantulan cermin.

"Kita ambil yang ini, ya Zuha? Weekend ni Zuha pakai ni tau?" soal Datin Zareena lagi.

Zuha mengangguk sambil tersenyum.

"Terima kasih, mummy."

****

Rumah Dato' Zhafran meriah kerana meraikan majlis menyambut menantu berserta majlis kesyukuran buat Zuhayr dan Zuha. Zuhayr hanya menggeleng kecil sambil melihat tetamu yang tidak putus hadir sejak dari tadi.

Kalau inilah majlis kecil yang dimaksudkan oleh Dato' Zhafran dan Datin Zareena, Zuhayr tak dapat bayangkan bagaimana keadaan majlis jika dibuat secara besar-besaran.

"Awak..." panggil Zuha lembut lalu berdiri di sebelah suaminya.

Zuhayr menoleh. Debaran mula menghempas dada bertalu-talu sebaik sahaja terpandangkan penampilan isteri yang lain dari biasa. Dia bagaikan terpesona dengan kecantikan Zuha walaupun isterinya hanya mengenakan abaya berwarna putih yang memiliki design minimalist. Sedondon dengan baju melayu yang sedang dia pakai sekarang.

HER BEAUTIFUL COMFORT - CWhere stories live. Discover now