Mengucap panjang pasangan itu selepas mendengarkan penjelasan dari Zuha tentang apa yang telah berlaku.
"Berat tuduhan ni, kakak. Kakak pasti ke?" soal Encik Zaim. Masuk ini sudah kali ke berapa entah dia bertanyakan soalan yang sama. Dia masih belum boleh menerima perkara ini. Masakan Izham yang berpewatakkan baik itu sanggup melakukan perkara yang melanggar batas agama.
Zuha mendengus perlahan sambil menggigit hujung bibir. Soalan yang dilontarkan oleh ayahnya agak mengguriskan hati sebenarnya. Ia seolah-olah menunjukkan ayahnya menuduh dia sengaja mereka cerita mengenai Izham.
"Kenapa abah tanya macam tu? Abah tak percayakan kakak? Abah, kalau kakak tak nak kahwin dengan Izham tu dari awal lagi kakak tolak pinangan dia. Kakak pun macam abah juga. Percayakan dia. Tapi bila dah jadi macam ni, takkan kakak nak teruskan lagi rancangan tu?"
"Kakak..." Puan Mariam segera menegur lembut Zuha agar mengawal nada suaranya.
"Abah bukan tak percayakan kakak, tapi abah dengan ma tak dengar apa-apa pun berita daripada pihak sana. Abah cuma nak siasat supaya abah tak tersalah menilai." Encik Zaim menghela nafas berat. Wajah anak sulungnya itu dipandang sayu.
"Tapi sekarang abah dah tahu, kan? Abah percayakan anak abah, kan?" soal Zuha bertubi-tubi sambil menahan empangan air matanya daripada pecah.
Zuhayr melepaskan keluhan sambil memerhatikan perbualan keluarga itu. Seperti yang dijangkakan, kedua orang tua Zuha agar sukar untuk menerima kenyataan tentang apa yang telah terjadi. Semestinya mereka sudah menaruh harapan yang tinggi kepada lelaki itu untuk menjadi suami kepada satu-satunya anak perempuan mereka.
Tanpa berlengah lagi, Zuhayr mencapai beg sandang miliknya yang berada di tepi sofa lalu mengeluarkan sekeping fail dari beg tersebut. Fail itu dipandang sejenak sebelum dia menyerahkannya kepada Encik Zaim.
"Apa ni?" soal Encik Zaim lalu mengambil fail itu daripada tangan Zuhayr.
"Dalam fail ni ada salinan laporan tentang apa yang anak pak cik ceritakan tadi. Itu sebagai bukti yang semuanya adalah benar dan bukan dibuat-buat. Kalau pak cik masih tak percaya lagi, saya boleh call kawan saya untuk terangkan perkara sebenar. Dialah yang selesaikan hal ni bagi pihak Zuha malam tadi." tutur Zuhayr dengan tenang. Dia kemudian memandang wajah Zuha bersama senyuman segaris sebagai tanda sokongan dia terhadap gadis itu.
Sekali lagi Encik Zaim terpana ketika membaca salinan laporan tersebut. Fail itu kemudian diserahkan kepada isterinya. Puan Mariam hanya mampu menggeleng sambil mengeluh perlahan.
"Dan saya rasa, perkara ni belum sampai ke pengetahuan keluarga Izham. Kalau pak cik nak tahu, Izham juga berkeras supaya Zuha yang jadi penjamin agar perkara ini dapat hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Saya pun tak pasti kenapa dia buat macam tu." terang Zuhayr lagi.
Puan Mariam bingkas bangun lalu mendapatkan Zuha yang hanya menundukkan wajah sambil bermain dengan jemarinya. Kasihan sungguh si anak. Tentu hati anaknya sedang bercelaru ketika ini.
"Kakak, maafkan ma. Ma tak sangka benda macam ni boleh terjadi dekat anak ma."
Puan Mariam terus memeluk Zuha. Tanpa disangka-sangka, kedengaran esakan kecil dari gadis itu menyebabkan Puan Mariam hampir menjatuhkan air mata.
"Kakak tak nak kahwin dengan Izham, ma. Tolonglah faham perasaan kakak. Masa tunang pun dia sanggup curang dengan kakak, macam mana kalau kahwin nanti dia buat perkara yang sama?" soal Zuha sambil teresak kecil dalam dakapan ibunya.
Encik Zaim diam sejenak sebelum dia mengangguk kecil seraya berkata, "Emm, lepas ni abah call keluarga dia untuk putuskan pertunangan kamu berdua. Kakak jangan risau, ya?"
YOU ARE READING
HER BEAUTIFUL COMFORT - C
RomanceStatus: complete (Previous title: Her Beautiful Consolation) Zuha Munirah x Zuhayr Muqri [Karya ketiga dari snowdreamm] Zuha Munirah, seorang gadis yang pendiam dan lebih gemar memendam rasa. Kejadian di mana karyanya telah diciplak oleh insan yang...