Hafiz Khairy berteleku di atas sebatang tunggul kayu selepas penat membelah kayu api. Peluh bercucuran turun dari dahi ke dagu lalu dilap hanya dengan menyapu dengan tangannya. Selonggok kayu api dipandang sepi, sesepi hatinya kini. Dia yang tinggal keseorangan di rumah pusaka orang tuanya.
Kembali ke sini selepas dia kehilangan isteri dan anak tercinta dalam satu kemalangan yang tragis. Kemalangan yang meragut nyawa insan tersayang ketika ingin mengambilnya di KLIA selepas pulang dari Amerika Syarikat. Hafiz menjadi murung selepas kematian mereka.
“Assalamualaikum!” Hafiz terlangut melihat insan yang memberi salam. Satu senyuman nipis diberikan kepada insan yang banyak membantunya di kala dia berada dalam kesusahan.
“Waalaikumsalam tok.” Sepatah ayat. Itulah Hafiz. Jarang bercakap banyak sejak kemurungan. Hanya berbicara dengan tok ketua dan orang yang lebih tua di kampung itu.
“Dah potong kayu yang tok mintak kelmarin?” tok ketua memerhati selonggok kayu yang berada di tepi kaki Hafiz.
“Dah tok.”
“Esok Hafiz pergi rumah tok, tolong pasang khemah dan tolonglah apa yang patut. Anak muda sekarang mana mau buat benda macam tu dah. Sibuk nak kerja luar, tinggallah kami yang tua-tua. Mana larat nak buat benda berat.” Tok Karim duduk di samping Hafiz.
Penghulu Kampung Labu Besar sengaja berbual panjang dengan Hafiz kerana dia tahu Hafiz tidak akan berbual panjang dengannya atau sesiapapun di kampung itu. Hafiz sekadar mengiakan atau mengangguk saja apa saja yang dibualkan. Hafiz menjadi berat mulut selepas kejadian itu, kejadian yang meragut nyawa isteri dan anaknya.
Keluarga mertuanya begitu marah kepadanya kerana anak mereka meninggal disebabkan oleh Hafiz walaupun Hafiz menyangkal perkara itu berkali-kali. Keluarga isterinya menuduhnya bermacam-macam sehingga Hafiz sudah tidak betah untuk melindungi dirinya lagi. Dia terus senyap dan tidak mahu lagi berkata-kata.
Tok Karim memandang wajah anak muda itu. Tampangnya yang berambut panjang serta wajah yang tidak bercukur lama itu cukup menyemak mata tok ketua. Malangnya Hafiz langsung tidak peduli atas teguran tok ketua supaya potong rambut atau mengemaskan jambangnya. Hafiz sengaja membiarkan keadaan dirinya menjadi selekeh dan serabut.
“Hmm… kalau tok cakap, Hafiz tak dengar tapi pergilah potong rambut bagi kemas sikit. Rimaslah tok tengok. Kalau tok perempuan memang tok tak pilih sebagai calon suami. Sakit mata tok tengok serabut macam ni.” Hafiz ketawa perlahan mendengar bicara Tok Karim.
Tok Karim sayang Hafiz seperti anaknya sendiri. Dia dan ayah Hafiz berkawan rapat sejak dari kecil. Susah senang keluarga Hafiz, dia tahu semuanya. Mereka ibaratkan seperti isi dan kuku. Hafiz hanya tersenyum sejenak mendengar leteran Tok Karim dan dia tidak pernah ambil hati dengan kata-kata Tok Karim. Dia sekadar mengangguk.
“InsyaAllah.” Cukup dengan perkataan itu menandakan Hafiz mengambil peduli kata-kata tok Karim.
“Haa… nah duit upah potong kayu. Petang nanti tolong hantar kat rumah tok. Tok cakap lama-lama pun bukan Hafiz nak buat air, habis air liur adalah.” Tok Karim memasukkan sedikit wang ke dalam poket seluar Hafiz.
Tok Karim tahu jika dia memberikan begitu saja, Hafiz tidak akan menerima wang tersebut. Jadi Tok Karim akan meletakkan terus ke dalam poket seluar atau baju. Sebelum Hafiz sempat berkata apa-apa, Tok Karim akan menghidupkan enjin motor dan berlalu dari situ.
Hafiz hanya terpaku dan melihat Tok Karim pergi sehingga hilang dari pandangannya. Dia menarik nafas panjang lalu meraba jambangnya yang tumbuh meliar. Hafiz berdecit perlahan, dia sendiri sudah lupa bilakah kali terakhir dia mencukur jambangnya. Dia sudah lama tidak melihat cermin. Rambutnya yang mencecah bahu dibiarkan mengerbang begitu saja.
Dulu dia bukan begini. Dia seorang yang sangat menjaga penampilan diri. Rambut sentiasa pendek dan wajah bersih dari sebarang bulu yang menyemak. Sekarang dia sudah tidak kisah dengan penampilan dirinya lagi sehinggakan budak-budak nakal menggelarnya beast, salah satu watak Disney iaitu Beauty and The Beast. Namun dia abaikan saja panggilan itu terhadapnya, dunianya hanya berkisar di rumah pusakanya dan bendang di belakang rumah. Itu saja.
“Assalamualaikum.” Hafiz kalih untuk melihat insan yang memberi salam.
Ramai pula tetamu yang datang menjengahnya hari ini. Wajahnya bertukar menjadi agak keruh melihat susuk tubuh Hazwanie, anak tok ketua sedang tersenyum kepadanya. Hazwanie memegang mangkuk tingkat semestinya untuk Hafiz. Hafiz tidak suka dengan kehadiran Hazwanie kerana bakal menimbulkan gosip di kalangan penduduk kampung.
“Waalaikumsalam.” Salam tetap dijawab walaupun perlahan.
“Abang Hafiz, mak kirim lauk kat abang, nah!” Hazwanie tunjuk mangkuk tingkat kepada Hafiz.
“Letak situ.”
“Nanti makan ya.”
Hafiz hanya angguk. Dia berpaling untuk masuk ke dalam rumah.
“Abang! Kenapa tak ambil mangkuk tingkat ni?” jerit Hazwanie. Nada kecewa kedengaran dari suara Hazwanie.
“Terima kasih.” Hafiz kembali mengambil mangkuk tingkat dan membawa masuk, meninggalkan Hazwanie keseorangan di luar.
Hazwanie mendengus marah, setiap kali dia menghantar lauk, Hafiz tidak pernah melayannya dengan baik. Hanya satu dua perkataan saja yang keluar daripada mulut emas Hafiz. Langsung tidak memberi peluang kepadanya untuk meluahkan perasaannya kepada Hafiz.
Langkah diatur perlahan meninggalkan rumah Hafiz yang suram itu. Di pertengahan jalan, Hazwanie mendengar bunyi motor menghampirinya.
“Wanie! Tunggu!” Hazwanie tidak pedulikan panggilan itu dan terus berjalan.
“Hei! Kau pekak ke?” Motor Yamaha Y15 atau lebih dikenali dengan nama Y suku, memintas perjalanan Hazwanie.
“Hoi! Kau dah gila ke!?” Hazwanie bertempik kepada Zamri, anak orang paling kaya di kampung itu.
Zamri ketawa mengekek, gelihati melihat wajah Hazwanie yang masam bak buah kedondong. Setiap kali Hazwanie pulang dari rumah Hafiz, wajahnya tidak pernah ceria.
“Cinta ditolak ke tu? Putus asa sajalah Wanie.”
“Kau diamlah!” Hazwanie tidak puas hati diperli begitu.
“Anak teruna punyalah ramai kat kampung ni, duda gila tu juga yang kau mahu. Citarasa tak secantik kau.” Zamri ketawa lagi… mengejek Hazwanie.
“Habis? Siapa anak teruna tu? Kau?” Hazwanie pula yang perli Zamri.
“Tentulah aku. Kau ingat siapa? Udin? Mat Jie? Ramli? Mereka tidak dapat menandingi aku. Kau jangan lupa aku anak Orang Kaya Mahfuz. Apa yang kau nak aku boleh bagi.” Zamri dengan nada riak menunjukkan kekayaannya walaupun yang kaya adalah ayahnya.
Hazwanie menjuling mata ke atas. Meluat dengan nada sombong Zamri. Siapa yang nakkan Zamri yang pemalas itu. Memang Datuk Mahfuz kaya raya tetapi Hazwanie tidak mahukan Zamri, dia lebih sukakan Hafiz. Baginya jejaka itu adalah jejaka idamannya.
Berbadan tegap dan wajah kacak walaupun sekarang keadaannya selekeh seumpama orang utan tapi tetap menarik di mata Hazwanie. Dia terbayang wajah kacak Hafiz ketika Hafiz masih lagi bekerja. Hatinya hancur setelah Hafiz memilih rakan universitinya, Hafizah sebagai isteri dan dia bertambah kecewa setelah mereka menimang cahaya mata lelaki.
Hazwanie merasakan dia mempunyai peluang apabila Hafizah dan anaknya meninggal dalam kemalangan, namun harapannya masih samar-samar apabila Hafiz langsung tidak menghiraukan kehadirannya. Hazwanie sentiasa berfikiran positif dan dia berharap agar ada keajaiban berlaku nanti. Hazwanie sanggup tunggu sehingga Hafiz terbuka hati untuknya.
Untuk berapa lama Hazwanie sendiri tidak pasti.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...