Mak Saerah duduk di atas tangga sambil memerhati Rosli dan Hafiz memunggah barangan binaan Rosli dari pikap. Selepas menjamu selera bersama keluarga Mak Saerah, Nafa dan Rosnita sekali lagi kembali ke dusun. Kali ini Nafa ditemani oleh Kak Mona dan anak-anaknya. Rosli tidak membenarkan Nafa dan Rosnita pergi berdua saja, takut Hazwanie serang Nafa lagi.
“Li, kau tak mahu adukan pasal Hazwanie kepada Tok Karim?” Mak Saerah memecah kesunyian yang melanda. Dia pun hairan, selalunya Rosli akan bising bila buat kerja tapi hari ini senyap sunyi.
Rosli memberhentikan kerjanya dan memandang wajah syurganya dengan penuh syahdu.
“Perlu ke mak?”
“Mestilah kita perlu bagitau kat Tok Karim. Napa adalah tetamu kita. Tak baik dia buat macam tu. Nampak sangat orang kampung kita tak beradab.”
“Entahlah mak. Li tak tahu nak kata apa.” Rosli pandang Hafiz pula.
“Hafiz?” Mak Saerah berpaling kepada Hafiz pula setelah dia mendapat jawapan yang mengecewakan daripada Rosli.
Hafiz panggung kepala memandang Mak Saerah. Lidah kelu untuk berkata. Dia sendiri tidak tahu apa tindakan yang terbaik untuk mengatasi masalah jiwa Hazwanie. Hafiz pun tidak ada niat untuk berkasih dengan Nafa. Kemunculan Nafa pun bukanlah sesuatu yang dirancang oleh dia dan Nafa sendiri. Semuanya berlaku secara tidak sengaja.
“Saya malas nak panjangkan cerita, Mak Era. Lagi pun Nafa bukan siapa-siapa dengan saya. Dia juga bukan keluarga Mak Era. Nanti apa pula kata Tok Karim. Yang kita nak adukan itu anak dia.”
Mak Saerah dan Rosli terdiam. Betul juga kata Hafiz. Hazwanie anak Tok Ketua kampung mereka.
“Sekurang-kurangnya Tok Karim kena tahu perangai anak dia. Depan orang, pijak semut pun tak mati tapi sanggup pula pukul orang. Mana dia belajar hah? Temah tu baik orangnya, tak reti nak marah atau nak berdengki. Datang manalah perangai si Wanie. Heran mak.” Mak Saerah pula yang membebel.
“Ikut perangai Tok Karimlah. Tok Karim pun bukan main perangainya sejak jadi Tok Ketua.” Rosli mencebik.
“Tapi Tok Karim banyak tolong saya, Abang Li.” Hafiz mencelah supaya Rosli tidak lagi mengutuk Tok Karim.
“Dia tolong sebab terhutang budi dengan Tok Ayah, bukan abang tak tau. Kalau Tok Ayah masih ada, tak merasalah dia jadi Tok Ketua.”
“Tak baik Li kata macam tu. Semua tu takdir Allah.” Mak Saerah sanggah pula kata-kata Rosli.
“Alamak! Dia mai dahhh…” suara kuat Rosli mengejutkan Hafiz dan Mak Saerah, tak sempat dia membalas kata-kata emaknya. Mereka berpaling kepada arah yang diperhatikan oleh Rosli.
Rosli mencebik manakala Mak Saerah dan Hafiz hanya berwajah selamba. Hafiz dan Mak Saerah tidak peduli akan kedatangan Hazwanie tetapi tidak bagi Rosli. Dia dapat rasakan keadaan akan menjadi tidak keruan sebentar lagi. Kemunculan Hazwanie seumpama taufan yang akan merosakkan suasana sekeliling… patutlah nama taufan dunia diberikan nama wanita, memang merosakkan.
Hazwanie tiba dan memarkir skuter di tepi pikap Rosli. Senyuman manis diberikan kepada Hafiz, Rosli dan Mak Saerah, mangkuk tingkat dijinjing mendekati Hafiz. Hatinya bergetar juga melihat dua pasang mata yang menikam tajam ke arahnya. Hanya Hafiz yang tidak pedulikannya, masih membuat kerja.
“Abang Hafiz, nah… Wanie bawa makanan kat abang. Patutlah Wanie ke rumah abang tadi, abang tak ada. Duk layan keluarga ini rupanya.” Hazwanie sua mangkuk tingkat kepada Hafiz tapi Hafiz hanya memandang mangkuk tingkat itu. “Abang… ambillah. Wanie tahu abang tak makan lagi. Nak harap Kak Mona atau Nita masak, mesti tak sedap.”
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...