BAB 25

124 14 0
                                    

Rosli dan Rosnita ternganga melihat tingkah laku Hafiz mengheret Nafa menuju ke pikapnya.

“Hoi Hafiz! Nak bawa Nafa ke mana tu?” Rosli menjerit memanggil Hafiz yang menonong saja pergi ke pikapnya.

Terhenti langkahan Hafiz setelah mendengar suara Rosli. Dahi ditepuk kuat tapi tangannya masih lagi memegang tangan Nafa. Nafa pula hampir terlanggar belakang badan Hafiz apabila Hafiz berhenti secara mendadak tadi. Nasib baik dia sempat membrek kakinya.

“Maafkan saya Abang Li, saya pinjam pikap abang sebentar. Nak bawa Nafa ke klinik.”

Tubuh Nafa ditolak perlahan ke tempat duduk penumpang. Selepas Nafa duduk dengan selesa, Hafiz menutup pintu dengan perlahan. Wajahnya kelihatan garang tapi perlakuannya amat lembut di hadapan Nafa. Nafa hanya mampu tersengih malu melihat Rosli dan Rosnita tercengang dari tadi. Nafa sendiri pelik dengan perangainya yang ikut saja Hafiz tanpa protes.

Rosli sekadar mengangguk, dia juga rasa Nafa perlu dibawa ke klinik segera. Dia nampak ada beberapa tompok darah di wajah Nafa. Nafa pandang Hafiz, wajah tenang Hafiz tidak dapat dia tafsirkan namun dia mengukir sedikit senyuman. ‘Prihatinnya dia. Patutlah si Hazwanie meroyan.’

“Haaa… eloklah tu, tak apa… abang balik dengan Nita saja.”

“Tapi…” Rosnita ingin mengikut Nafa tapi Rosli menarik tangannya. Rosli menggeleng tanda tidak membenarkan Rosnita ikut Nafa.

Rosnita terpaku di sebelah Rosli, memerhati Nafa dan Hafiz menaiki pikap abangnya. Kenapa nasib Nafa kurang baik ketika berada di kampung mereka. Lari dari penjahat… satu hal, kena belasah dengan perempuan yang cemburu… satu hal. Umpama lari dari mulut buaya, masuk dalam mulut naga.

“Haiihh!” Rosnita mengeluh kasar selepas pikap Rosli hilang dari pandangan.

“Nita dah kenapa?” Rosli pandang Rosnita.

“Susah kan jadi perempuan yang cantik ni. Semua orang cemburu. Tak buat apa pun kena belasah, kena pukul, kena kejar. Walaupun kaya tapi hidup tak senang juga. Ada saja masalah yang melanda.”

“Betul tu Nita, hidup macam kita senang. Ada dusun, boleh makan free. Ada kerja kontrak, boleh la bagi makan anak isteri. Hidup pun tak stress, penyakit pun tak ada. Tengok mak dan Kak Mona kau, relaks saja. Tak kalut, orang kata.” Rosli mengiakan kata-kata Rosnita.

“Nasib baik kau tak cantik, Nita.” Rosli kerling adiknya.

“Apahal pulak, abang ni?” Rosnita memberi pandangan curiga kepada Rosli. Dia tahu Rosli akan kenakan dia sebentar lagi.

“Kalau kau cantik jadi macam Nafalah jawabnya. Teruk kami nak jaga kau.” Rosli sudah ketawa mengekek.

Kan dah kata.

“Abangggg!!!” Rosnita kejar Rosli yang sudah melarikan diri. Bunyi ketawa Rosli bergema dalam dusun itu.

Rosnita mengambil durian dan membawa ke motor, nanti bila Nafa balik dari klinik bolehlah mereka makan bersama. Rosli datang kepada Rosnita yang kelihatan menyorong motor keluar dari dusun. Cepat-cepat Rosli mengambil alih dengan memegang pemegang motornya. Takut pula jika Rosnita tinggalnya seorang di sini. Jauh juga kalau dia hendak menapak balik ke rumah.

*

*

*

Zamri dan Saipul memerhati dengan penuh perasaan Hafiz dan Nafa masuk ke dalam klinik. Mereka sedang minum di kedai makanan yang terletak berhadapan dengan klinik tersebut. Zamri mengeluarkan telefonnya dan mengambil seberapa banyak gambar Hafiz dan Nafa sambil tersenyum gembira.

“Kau ambil gambar mereka buat apa?” Saipul yang sedang menyedut teh aisnya bertanya dengan penuh kehairanan.

“Aku nak bagi kat Wanie.”

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now