BAB 38

124 14 5
                                    

Hafiz terkelu. Jari yang mengusap air mata tadi terhenti pada pipi Nafa. Nafa tunduk, malu dengan pengakuannya secara tiba-tiba namun dia tidak menyesal. Berat yang ditanggung menjadi ringan selepas dia dapat meluahkan rahsia hati.

Hafiz bersandar di tempat duduk. Nafas ditarik perlahan. Tidak tahu hendak membuat reaksi. Gembira? teruja? atau tak rasa apa-apa? Hanya segaris senyuman menghiasi bibirnya.

“Sejak bila?” suara Hafiz kedengaran amat perlahan.

Nafa turut bersandar di tempat duduknya. Wajah dipaling memandang keluar. Bibir digigit perlahan. Tangan dibawa ke kepala lalu digaru-garu tanpa tujuan. 

Terlajak perahu boleh di undur. Terlajak kata…

“Hmmm… sejak Hafiz selamatkan saya di surau petrol pump malam tu.” Nafa masih lagi malu untuk memandang Hafiz.

“Tapi masa tu kita tak kenal pun lagi.”

“Ya, lepas saya kenal maka rasa itu tumbuh…”

Hafiz melepaskan nafas lagi. Tak tahu macam mana untuk menyelesaikan masalah ini. Ya, dia rasa pengakuan Nafa merupakan satu lagi masalah untuk dirinya dan juga Nafa.

“Kau tak kenal aku. Macam mana kau boleh cintakan aku.”

“Saya tak perlukan masa yang lama untuk jatuh cinta.”

“No! This is wrong. Kau tak betul-betul kenal aku lagi.”

“Tak! hati saya kata ya. Saya tahu apa yang saya katakan.”

Hafiz buka pintu pikap. Dia turun lalu berjalan menuju ke bahagian penumpang. Pintu penumpang ditarik kuat membuatkan Nafa terkejut.

“Turun.”

“Hah?!”

“Turun. Kau kena balik sekarang.”

“Hafiz!”

Hafiz berjalan pula ke tembok pengadang di tempat parking selepas Nafa masih kaku di tempat duduk. Dia tidak sanggup melihat wajah keruh Nafa. Dia tahu Nafa seorang gadis yang degil dan berpendirian tegas, sebab itu Nafa boleh meluahkan rasa hatinya. Kalau diikutkan susah bagi seorang wanita meluahkan perasaannya terdahulu dari seorang lelaki. Maksudnya Nafa adalah timba yang mencari perigi. Satu perbuatan yang janggal tapi tidak melanggar hukum. 

Angin dari laut menghembus kuat sehingga rambut panjangnya berterbangan tanpa arah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu terlibat dengan Nafa tapi dia juga tidak boleh menipu dirinya sendiri.

“Hafiz, saya minta maaf tapi saya benar-benar cintakan awak.” Nafa menghampiri Hafiz. 

Hafiz masih lagi membisu.

“Atau awak tidak sudi kerana saya bukanlah gadis yang baik.”

Hafiz menggeleng perlahan. Tuduhan itu tidak benar sama sekali.

“Kau tak kenal siapa aku yang sebenarnya.” 

“Siapa awak yang sebenarnya?” Hafiz membisu. Kepala digeleng. Dia rasa tiada keperluan untuknya menceritakan segalanya kepada Nafa.

Nafa menghembus nafas. Kembung kempis pipinya. Dada berombak kasar menandakan hatinya agak panas dengan kebisuan Hafiz. Perlahan-lahan tubuh yang tegak tadi disandar di tepi tembok. Nafa akur. Mungkin Hafiz masih lagi belum lupakan Hafizah. Mungkin juga benar kata-kata Hafiz kepada Hazwanie yang dia tidak akan lupakan Hafizah sampai bila-bila. Nafa rasa hendak menangis tapi dia kuatkan hatinya, tidak mahu nampak lemah di depan Hafiz.

Nafa sudah terlanjur meluahkan rasa hati dan dia tidak berniat untuk menarik balik kata-kata cintanya tadi. Sesungguhnya dia sudah jatuh cinta dengan Hafiz. Nafa akur jika cintanya tidak dibalas namun hatinya tetap merasa sakit.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now