BAB 14

221 17 0
                                    

Hafiz memberikan bilik tidur ibu bapanya kepada Nafa. Tidak tergamak dia hendak membiarkan Nafa tidur dalam bangsal. Dia pun berasa hairan bagaimana Nafa boleh tidur semalam tanpa lampu dan kipas. Itu belum termasuk dengan serangan nyamuk lagi, dia dapat melihat lengan Nafa sudah berbintik merah.

“Tak apa ke saya tidur sini? Hanya kita berdua sajakan dalam rumah ini?” Nafa perasan yang tiada sesiapa lagi di dalam rumah itu. Mungkin Hafiz tinggal bersendirian.

“Kau takut?”

Nafa menggeleng.

“Bagus sebab aku nak tinggalkan kau seorang di sini. Aku akan ke rumah kawan aku untuk malam ini. Memang tak manis hanya kita berdua bersama. Esok kita bincang lain. Malam ni aku pun letih sangat, dah la perut buat hal… nasi kenduri punya pasal.” 

Tudia… buat pertama kali setelah beberapa tahun, Hafiz bercakap dengan panjang. Kalau Rosli, Hazwanie dan orang kampung lain yang dengar mesti mereka kata Hafiz buang tabiat. Kalau tidak hanya sepatah dua kata saja yang keluar dari mulut Hafiz. Hafiz tergelak sendiri.

Hafiz mengambil kunci motor dan keluar untuk ke rumah rakannya, Mail. Dia akan tumpang di rumah Mail sementara memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah Nafa. Dia tahu Nafa tidak menceritakan perkara sebenar. Pasti ada perkara yang besar berlaku kepada Nafa dan Hafiz yakin satu hari dia akan mengetahui juga nanti.

Mendengar bunyi deruman motor Hafiz, Nafa tahu Hafiz sudah meninggalkan rumah itu. Dia tidak sempat tanya ke manakah Hafiz akan tidur malam ini tapi dia pasti Hafiz tahu arah tujuannya kerana di sini adalah kampung Hafiz. Dia tidak takut Hafiz melaporkan kepada polis sebab dia yakin Hafiz akan menolongnya. Nafa cukup husnudzon malam ini.

Nafa berbaring di atas katil besi keluarga Hafiz. Nafa terpegun kerana masih lagi terdapat katil antik di rumah Hafiz. Perlahan Nafa berbaring di atas tilam kekabu. Dia tidak pernah tidur di atas tilam kekabu, rasa agak keras tapi selesa. Nafa berguling sakan, seronok sebab dapat tidur dengan selesa. Dia juga gembira sebab bertemu dengan tuan rumah yang baik iaitu Hafiz. 

Tiba-tiba Nafa terbangun dari pembaringan. Betulkah Hafiz baik? Tidak ada udang di sebalik batukah? Nafa pandang pintu bilik. Tak boleh jadi. Nafa turun dari katil dan menapak perlahan ke pintu. Nafa kunci pintu bilik dengan cepat. Mata melilau mencari benda yang boleh dijadikan senjata. Mata terpaku kepada almari baju di tepi katil. Almari baju begitu tinggi dan berat, susah untuk Nafa tolak.

Nafa pandang pula almari solek. Nafa cuba tolak, sedikit pun tak bergerak. Nafa mengeluh, kenapa semua perabut dalam bilik ini berat-berat belaka? Perabut dari kayu jati mestilah kukuh dan berat. Nafa mengeluh… reda sajalah. Kalau Hafiz nak apa-apakan dia, mesti dari tadi lagi Hafiz akan buat. Tak perlu tunggu sehingga dia masuk ke dalam bilik. Betul tak?

Lagi pun Hafiz pernah tolong dia jadi mengapa dia prejudis terhadap Hafiz? Akal Nafa saling bertingkah sehingga berasa amat letih dan mengambil keputusan untuk tidur. Doa (dalam bahasa melayu) dibaca panjang lebar supaya keselamatan dirinya terjamin. Sebaik sahaja kepala menjamah bantal, Nafa sudah belayar ke alam mimpi, meninggalkan resah gelisah yang menjemput di sanubari tadi.

MATAHARI yang mencucuk wajahnya membuatkan Nafa terbangun dari tidur. Dia memandang sekeliling dengan wajah pelik. Entah kurun ke berapa dia kembali melihatkan suasana bilik antik itu. Dia berada di zaman Hang Tuahkah? Nafa menjadi lugu seketika, cuba untuk memproses kembali apa yang terjadi.

Bunyi dentingan sudip bertemu kuali mengejutkan Nafa. Akhirnya dia tertawa sendiri apabila menyedari keberadaannya ketika ini. Dia turun dari katil yang tinggi itu dan menapak menuju ke tingkap bilik. Daun tingkap dikuak dan matahari yang sudah meninggi tidak segan silu menerobos masuk ke dalam bilik.

Selepas menghirup udara segar, Nafa keluar dari bilik. Bunyi dentingan sudip bertemu kuali itu menarik perhatiannya. Nafa turun ke dapur untuk melihat apa yang terjadi. Nafa terkaku di anak tangga pertama setelah melihat Hafiz begitu sibuk menyediakan sarapan… err… mungkin juga makan tengah hari? Nafa tersengih sendirian. Hafiz sedang menggoreng mee. Patutlah berbunyi berdentang dentung begitu kuat sehingga kedengaran sehingga ke dalam bilik.

Hafiz kelihatan begitu ralit menggoreng mee sehingga tidak sedar akan Nafa yang sedang memerhatinya. Habis menggoreng mee, Hafiz meletakkan mee ke dalam mangkuk. Sebaik saja dia hendak mengalihkan mangkuk, Hafiz terkedu melihat Nafa sedang elok tersengih kepadanya. Dia kelihatan agak gugup melihat Nafa yang tersenyum manis kepadanya. Semalam dia tak perasan pun wajah Nafa begitu cantik, mungkin pada waktu siang wajah Nafa nampak begitu bersinar. Disimbah matahari pagi menyerlah lagi aura Nafa Arleanne Karyl.

“Err… maaf… encik… terlewat pula saya hari ni… sedap tau tidur atas katil tu… hehe.” Nafa sudah tidak tahu nak bereaksi macam mana. Malu hanya Tuhan yang tahu.

“Hafiz… nama saya Hafiz… cik…” Hafiz juga tidak betah untuk memandang wajah Nafa lama-lama.

Nafa turun ke dapur dan duduk di meja makan, mengambil bau mee goreng yang baru dimasak oleh Hafiz tadi. Bau kopi dan mee goreng bersatu menjadi satu bauan yang bisa mengoda nafsu makannya.

"Hmmm... sedapnya bauuuu... pandainya awak masak." Nafa beli jiwa Hafiz. “Eh! Lupa pula… nama saya Nafa Karyl, panggil je Nafa.” Nafa tersengih, tanpa bersalah dia mencapai cawan dan menuang kopi ke dalamnya. Tentunya dia tidak merasa bersalah kerana tidak menggosok gigi. Nafa sengih dalam hati.

Nafa mencicip kopi pahit sambil memejam mata, terkaku sekejap kerana dia tidak pernah minum kopi kampung yang begitu pekat. Hafiz sua pinggan yang berisi mee kepada Nafa. Nafa menyambut dengan rasa suka hati membuatkan senyuman Hafiz terlakar di bibir. Lucu melihat kelakuan keanak-anakan yang ditunjukkan oleh Nafa.

“Nafa Karyl… sedap nama tu. Kebetulan nama saya Hafiz Khairy.” Pernyataan Hafiz membuatkan Nafa terhenti suapannya.

“Wahhh! What a coincidence.” Nafa senyum lebar tapi tangan laju menyuap mee ke dalam mulut. Entah mengapa sedap betul mee yang dimasak oleh Hafiz atau dia yang sangat lapar malah dia terlupa yang dia tak gosok gigi pun.

Hafiz masih memerhati Nafa makan dengan lahap. Sekembali dari surau tadi dia sempat singgah di kedai runcit Pak Kob untuk membeli barangan basah. Dia sengaja memasak sendiri untuk Nafa setelah dia mendapati Nafa masih tidur ketika dia sampai di rumah. Tipikal anak orang berada, membongkang sampai matahari naik.

“Nah, telefon papa kau. Bagitau yang kau selamat.” Hafiz menyorong telefonnya kepada Nafa.

Nafa berhenti menyuap, mata tunak memandang Hafiz. Sudu dan garfu diletakkan di sisi pinggan, tangan dilipat ke dada. Rasa tidak puas hati jelas terpancar di wajahnya. Hafiz yang menyedari perubahan wajah Nafa, terus menyuap mee ke dalam mulut tanpa bersalah. Dia tahu Nafa masih belum bersedia untuk pulang tapi dia perlu berbuat demikian.

“Saya tak mau balik lagi. Kalau awak tak sudi saya tinggal di sini, saya boleh pergi.” Suara Nafa kedengaran sendu.

“Tak… bukan itu maksud aku. Kau boleh tinggal di sini seberapa lama yang kau nak tapi tolong beritahu keluarga kau yang kau selamat. Nanti papa kau risau…”

“Papa tak akan risau, dia tahu anak dia macam mana.”

“Papa kau tidak risau tapi mama kau?”

Nafa terdiam setelah nama Datin Najla disebut. Mama pasti risau walaupun kadang kala mama seperti tidak peduli dengannya tapi mama pasti risau. Nafa bercakap di dalam hati, hendak diluahkan mulutnya terasa berat untuk menuturkannya. Haa… Mak Bib mesti sangat risau kerana Mak Bib sayangkannya.

“Fikir dulu dan buatlah keputusan yang terbaik. Melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah. Kita kena hadap walau bagaimana teruknya keputusan itu.” Hafiz dengan tenang menasihati Nafa.

Dia dah lalui berbagai peristiwa yang menyakitkan dan dia tahu, melarikan diri dari kenyataan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Suka atau tidak kita perlu hadapinya dengan tabah. Hafiz meninggalkan Nafa yang masih berteleku di meja makan. Mungkin Nafa perlukan masa tapi masa tidak akan menunggu kita.

Nafa pandang telefon bimbit berjenama Honor itu dengan rasa serba tak kena. Dia seboleh-bolehnya hendak lari jauh daripada Tengku Fahad. Kalau boleh dia tidak mahu bertemu dengan Tengku Fahad langsung tapi sebagai anak tunggal, dia tidak mahu menyusahkan papa dan mamanya.

Ahhh! Kenapa mama tidak lahirkan ramai anak seperti keluarga lain?

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now