BAB 9

200 16 3
                                    

Azan subuh yang berkumandang mengejutkan Hafiz. Keletihan dan kegusaran hatinya membuatkan dia tidur dengan nyenyaknya. Tanpa berlengah dia mengambil tuala yang tersangkut di belakang pintu bilik dan menuju ke bilik mandi. Setelah membersihkan diri dan mengambil wuduk, Hafiz kembali ke bilik untuk mengerjakan solat subuh. Dia tidak sempat ke surau hari ini kerana terlajak tidur. Selalunya pukul 5 pagi dia sudah terjaga untuk melakukan solat sunat.

Selesai solat, Hafiz mengenakan baju t lusuhnya dan seluar sukan. Pakaian rasmi untuk melakukan kerja-kerja kampung. Baju kemeja semuanya di simpan di dalam beg peti. Biarlah… masa untuk bergaya sudah berlalu bagi seorang Hafiz Khairy.

Langkah diatur menuju ke dapur. Secawan kopi wajib untuk santapan sebelum melakukan kerja. Langkahnya terhenti di tepi meja makan. Bau yang menyengat menjamah pundak hidungnya. Hafiz menarik nafas berkali-kali. Bau apa yang tengik sangat ni? Bau seperti makanan basi saja.

Alamak! Lauk kiriman Hazwanie semalam. Dia tidak sempat menjamahnya kerana Rosli mengajaknya ke bandar. Hafiz membuka tudung saji yang menutupi hidangan. Sebaik saja dia melihat makanan yang sudah basi itu, Hafiz meraup wajahnya. Dia sepatutnya meletakkan makanan tersebut ke dalam peti sejuk sebelum meninggalkan rumah tetapi dia terlupa.

Walaupun dia tidak sukakan Hazwanie tetapi dia tidak boleh membuang rezeki yang diberikan begitu saja. Rasa bersalah bermain di dalam dirinya. Segera dia mengambil makanan tersebut dan membuang ke dalam singki sebelum membasuh semua makanan tersebut. Reba-reba makanan dikutip ke dalam satu bekas dan ditanam di belakang rumahnya. 

Setelah menanam sisa makanan, mata Hafiz terarah kepada bangsal. Entah kenapa hatinya berbisik sesuatu tetapi dia melihat tiada apa-apa yang pelik mengenai bangsal itu. Periksa dululah. Mana tahu ada benda yang pelik berlaku semalam. Ketika baru dua langkah, dia mendengar seseorang memanggilnya.

“Hafiz… assalamualaikum… Hafiz… ada tak?” Hafiz segera berpaling melihat siapa yang memanggilnya pagi-pagi begini.

“Haa… waalaikumsalam.” Hafiz melihat Rosli sedang elok tersengih di jenang pintu dapurnya.

“Ingatkan Hafiz tak sihat… tadi subuh tak mai surau. Tok Ketua dah risau, dia tanya kayu api dia.” Rosli menjenguk ke dalam dapur.

“Saya tak sedar tadi Abang Li. Bila dah azan baru terjaga. Letih rasanya.” Rosli masih lagi menayangkan giginya. Entah apa yang lucu, Hafiz pun tidak tahu.

“Hafiz tak sarapan lagi ke? Jom ke kedai Mek Na. Abang Li belanja. Lagipun Tok Karim nak kayu apinya segera.” Rosli masih menayangkan muka gembiranya. Entah apa yang Kak Muna buat dekat Rosli semalam sehingga senyuman masih belum lekang dari bibirnya.

“Alamak! Tok Ketua…” Hafiz lantas membatalkan niat untuk membancuh secawan kopi dan bergegas membasuh bekas makanan yang diberikan Hazwanie semalam.

Lebih baik dia pulangkan bekas itu, nanti apa pula kata Mak Uteh apabila dia simpan bekas itu lama-lama. Selesai membasuh dia mengatur kembali bekas makanan itu dan keluar mengangkut kayu api. Kayu api diletakkan di belakang kereta Rosli. Dah alang-alang Rosli datang, lebih baik gunakan saja pickup Rosli. Rosli turut membantu Hafiz menyusun kayu api ke dalam pickupnya.

“Tok Karim ni pun satu, boleh ja guna dapur gas tapi nak juga guna kayu api. Tangkai jering betullah.” Rosli berleter… belakang Tok Karim beranilah, cuba di depan… mulut dizip rapat.

“Tok Karim berjimat bukan kedekut.” Hafiz backup Tok Karim. “Lagipun masak dengan kayu api, lauk bertambah sedap.”

“Hai… pertahan Tok Karim nampak… backup bakal pak mertua ke?” Rosli ketawa kecil.

Hafiz sekadar menggeleng… tidak mahu mengiakan kata-kata Rosli. Nampaknya kisahnya dengan Hazwanie sudah menjadi perbualan rancak di kampung ini. Siapa pula yang membawa mulut kalau tidak Hazwanie sendiri. 

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now