BAB 4

250 16 0
                                    

Hafiz termenung di meja makan, melihat lauk yang diberi oleh Hazwanie tadi. Hatinya senang dengan kebaikan keluarga tok ketua tetapi dia tidak dapat membalas budi mereka dengan memperisterikan Hazwanie. Dia tidak cintakan Hazwanie. Cintanya masih utuh kepada isterinya yang tercinta, Hafizah. Dia tahu Hazwanie masih mengharapkan dia menyunting sebagai suri rumah tangganya tetapi Hafiz tidak mampu.

Salam yang diberikan mengejutkan Hafiz. Hah! Sudah tiga kali salam untuk hari ini saja, Hafiz mendengus… hari ini hari orang datang ke rumah dia sedunia ke? Hafiz menjenguk dari tingkap dapurnya.

“Haa… ada pun kau. Ingatkan pergi mana tadi.” Rosli, rakan  sekampungnya yang bekerja sebagai kontraktor yang memanggilnya.

“Ada apa Abang Li?”

“Jom ikut Abang Li ke bandar sekejap, Abang Li nak beli barang, nak minta tolong Hafiz angkat barang, boleh kan?”

Hafiz angguk. Abang Rosli tersenyum senang. Dia cukup suka jika Hafiz mengikutnya membeli barang kerana Hafiz tidak banyak cakap dan ringan tulang.

“Sekejap.” Hafiz menutup kembali lauk yang belum dijamahnya dan masuk ke bilik untuk menyalin pakaian yang lebih sesuai.

Rosli menunggu dengan sabar di dalam Ford Rangernya sambil bersiul riang. Hafiz datang dan membuka pintu kereta sebelah penumpang.

“Tak baik bersiul abang, amalan syaitan.” Hafiz menegur Rosli, perlahan saja suaranya.

Rosli terkedu dengan teguran itu tapi akhirnya ketawa kecil.

“Maafkan abang, abang terlupa. Terima kasih  kerana ingatkan abang.” Rosli tersengih mengingatkan kealpaannya.

Hafiz sekadar mengangguk. Walaupun dia tidak banyak bercakap tetapi jika ada perkara yang tidak elok di pandangannya, dia akan menegur dengan baik. Rosli pun sedar perkara itu dan sebab itulah dia suka berkawan dengan Hafiz. Abaikan wajah serabai Hafiz dan pedulikan gelaran budak-budak nakal yang menggelar Hafiz beast, cukup dengan kebaikan hati Hafiz, Rosli sedia membantu Hafiz bila-bila masa sahaja.

Rosli memandu Ford Ranger menuju ke jalan besar untuk ke bandar. Hafiz menyandar dengan selesa di sisi Rosli sambil memejamkan mata. Rosli sudah faham tabiat Hafiz, tidak suka berbual kosong sepanjang perjalanan. Jadi dia membuka muzik dan menyanyi mengikut alunan lagu yang berkumandang walaupun suaranya amat sumbang. Girang sungguh hatinya hari ini dan gelagat Rosli membuahkan satu senyuman nipis dari bibir Hafiz.

Bunyi telefon mengejutkan Rosli yang sedang mendendangkan lagu 24434. Melihat nama yang memanggil, membuatkan Rosli menarik nafas panjang.

“Isy… apa la budak bertuah ni nak. Mesti nak duit lagi ni,” leter Rosli sebelum menekan ikon hijau menandakan dia akan menerima panggilan itu.

“Hah! Nak apa?” suara kuat Rosli membuatkan Hafiz berpaling memandang Rosli. Wajah berkerut Rosli diperhati dengan penuh lucu.

“Sekarang ke? Kau dah gila ke dik? Abang banyak kerja ni.” Rosli bertegang urat dengan insan yang menelefonnya.

Hafiz tersenyum kecil apabila mendengar Rosli menyebut ‘dik’. Dia tahu mesti adik Rosli yang sedang belajar di Kolej Komuniti meminta Rosli mengambilnya.

“Yalah… yalah… tunggu sana, nanti abang sampai.” Selesai bercakap dengan Rosnita, Rosli berkalih kepada Hafiz.

“Maaf Hafiz, nampaknya kita kena ambil Nita… budak bertuah ni macam tau-tau saja abang nak ke Penang.” Rosli menghembus nafas keras.

“Tak apa abang Li.”

“Kau ni baik sangatlah Hafiz. Abang Li kalau tak fikirkan Nita tu masih belajar, dah lama abang Li jadikan kau adik ipar.” Hafiz sekadar ketawa kecil.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now