Nafa berlari laju menuju ke stesen minyak yang terletak selang tiga bangunan dari tempat pembunuhan perempuan malang itu. Dia perlu berada di kelompok orang ramai jika tidak mahu dijumpai. Dia akan menghubungi Halil untuk membantunya. Dia hanya mempercayai Halil sementelah dia tidak punya ramai rakan.
Tidak banyak kereta mengisi minyak ketika itu kerana hari sudah jauh malam. Kelibatnya dipandang dengan rasa hairan oleh petugas stesen minyak tetapi mereka tidak pula menegur Nafa. Mungkin mereka rasakan yang Nafa hanya hendak ke tandas sebab Nafa menonong pergi ke tandas stesen itu.
Nafa segera masuk ke dalam tandas, dia menghampiri singki dan berdiri menghadap cermin. Ditenung wajah yang kelihatan agak serabut, peluh yang membasahi muka dibilas dengan air. Rambut dikemaskan dan diikat ekor kuda. Nafa kemudiannya menarik nafas panjang setelah memastikan dirinya kelihatan kemas.
Rosnita yang kebetulan keluar dari bilik air hanya memberi senyuman kecil kepada Nafa. Nafa juga membalas dengan senyuman. Rosnita memerhati Nafa dengan pandangan yang agak pelik. Dia nampak wajah Nafa seperti ada masalah tapi untuk menegur Nafa dia tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.
Selepas merapikan sedikit sebanyak wajahnya, Rosnita mengangguk sedikit kepada Nafa dan keluar dari tandas. Nafa juga berbuat demikian dan menarik nafas lega selepas Rosnita keluar. Dia tidak mahu sesiapa pun mendengar perbualannya dengan Halil nanti.
Nafa mengagau di tepi pinggang untuk mencapai beg kecilnya tapi… Nafa menjerit kecil selepas mendapati telefonnya tidak ada! Dia sendiri terlupa yang telefon itu terjatuh di dalam kereta Tengku Fahad. Mampus! Bagaimana dia hendak menghubungi Halil.
Nafa hampir menangis. Telefon tidak ada, susah untuk menghubungi Halil. Dia mengeluh buat sekian kali. Apa aku nak buat ni? Nafa jalan berulang alik di dalam tandas. Dia perlu memikirkan solusi untuk menyelamatkan dirinya. Fikir Nafa fikir. Ting! Dia teringat perempuan yang bersamanya di dalam tandas tadi. Mesti perempuan itu ada telefon. Zaman sekarang siapa yang tiada telefon bimbit kan malah budak sekolah rendah pun ada telefon bimbit sendiri.
Nafa menjenguk dari pintu tandas, mencari perempuan tadi. Sebelum dia dapat mencari Rosnita, matanya tertancap kepada kelibat tiga orang pembunuh itu sedang masuk ke kedai serbaguna stesen minyak. Serta merta Nafa masuk kembali ke dalam tandas dengan dada yang berdebar-debar.
“Kacau… kacau… sampai sini mereka cari aku. Apa aku nak buat ni?” Nafa mula mencari jalan keluar.
Dia tidak boleh berada di situ lama. Lambat laun mereka akan mencari di dalam tandas juga. Dia pasti pekara itu sebab dia selalu menonton filem, tempat yang akan dicari oleh orang jahat mestilah di dalam tandas wanita jika yang melarikan diri adalah wanita. Dialah wanita itu.
Pintu tandas dipulas perlahan, kononnya tak bagi orang dengar tapi memang tiada siapa di situ pun. Nafa melangkah seperti pencuri, keluar menuju ke bangunan surau bertentangan dengan tandas. Biarlah dia berpura-pura solat supaya konco-konco Tengku Fahad tidak akan mencarinya di surau. Takkan mereka sanggup masuk di tempat solat wanita pula… nak-nak salah seorang konco Tengku Fahad adalah Melayu yang beragama Islam.
Nafa yang terburu-buru untuk masuk ke dalam surau, terlanggar Hafiz yang baru saja keluar dari surau lelaki. Perlanggaran itu menyebabkan Nafa jatuh terduduk.
“Err… cik… maaf…saya tak nampak.” Hafiz berdiri tercegat tanpa mahu mengangkat Nafa. Anak dara kut… takkan dia nak pegang.
Nafa langut melihat Hafiz yang dah macam tentera buat perbarisan. Tegak dan lurus sekali berdirinya Hafiz di hadapannya. Nafa bangun dan menyapu punggung yang agak sengal. Nak marah tapi apa dayanya jika Hafiz tidak mahu membantu. Mesti Hafiz malu untuk memegangnya apatah lagi dia baru keluar dari surau. Dia faham bukan semua lelaki yang gatal seperti Tengku Fahad. Masih ada lelaki yang baik dan menjaga adab.
“Eh! Tak apa… bukan salah encik pun. Saya yang tak tengok kiri kanan.” Sebenarnya Nafa asyik tengok konco-konco Tengku Fahad.
Masa itu juga Hamid, Leong dan Kumar keluar dari kedai serbaneka dan suara mereka mengejutkan Nafa.
“Encik… tolong saya.” Nafa tarik hoodie yang dipegang Hafiz dan menyarung ke badannya.
Hafiz terkejut dengan tindakan Nafa tidak sempat berkata apa-apa apabila Nafa memeluk tangannya dan mendekatkan dirinya ke badan Hafiz. Dari belakang nampak seolah-olah mereka sedang berpeluk. Nafa memakai hoodie untuk melindungi rambut.
“Please… tolong saya.” Nafa merayu kepada Hafiz dan melekapkan kepalanya ke dada Hafiz.
Jantung Hafiz bergetar dengan hebatnya. Nasib baik Rosli dan Rosnita ke kedai serbaneka untuk membeli makanan dan minuman, jika tidak apa pula kata mereka. Dia hendak menolak Nafa tetapi cengkaman Nafa begitu kuat di lengannya. Matanya melihat sekeliling dan dia ternampak tiga orang lelaki sedang menuju kearahnya dan Nafa.
‘Dia lari daripada merekakah? Tapi kenapa?’ Hafiz hanya mampu bertanya di dalam hati.
“Saudara, ada nampak tak seorang perempuan masuk ke bilik solat? Dia pakai seluar hitam… baju biru kalau tak silap.” Hamid tanya Hafiz.
Hafiz sekadar menggeleng.
“Kenapa?” Hafiz curiga.
“Oh! Tak ada apa-apa. Adik saya tu lari dari rumah. Puas saya cari. Tadi nampak macam dia lari ke stesen minyak ni.” Hamid garu kepala.
Jawapan Hamid yang tak meyakinkan membuatkan Hafiz tekad untuk melindungi Nafa. Tambahan pula dia lihat wajah Hamid langsung tidak menunjukkan yang dia bersaudara dengan gadis ini. Gadis yang sedang memeluknya cukup cantik… wajak kacukan manakala Hamid wajah Melayu asli. Takkan adik beradik tiri pula.
Lagipun wajah rakan-rakan Hamid termasuk Hamid macam samseng Gangster KL saja. Tak mungkin mereka ada kaitan. Tubuh Nafa sudah menggeletar, takut identitinya terbongkar.
“Kenapa dengan isteri saudara?” Kumar pula tanya Hafiz apabila melihat Nafa tidak mengalihkan kepalanya dari dada Hafiz dari tadi.
“Ah! Dia kurang sihat.”
Nafa buat-buat muntah. Idea yang timbul spontan untuk meyakinkan mereka. Hafiz terkejut tapi dapat mengawal wajahnya menjadi lebih selamba. Perlahan dia mengangkat tangan menggosok belakang badan Nafa.
“Mengandung ke?” Leong pula busybody.
Nafa yang sedang tunduk, mencebik mendengar kata-kata Leong. Ambil berat konon, tak padan dengan samseng. Nafa terus memuntahkan apa yang ada dalam perutnya tapi yang keluar hanyalah angin.
“Saudara bawalah isteri saudara masuk kereta. Kena angin malam memang perut sebu sikit.” Hamid tiba-tiba menjadi prihatin. “Jomlah… perempuan tu tak ada di sini. Dah lari jauh agaknya.” Hamid beralih kepada Leong dan Kumar.
Tanpa berlengah, mereka berpatah balik ke tempat Tengku Fahad menunggu. Kerja mereka belum habis, mereka perlu melupuskan mayat perempuan simpanan Tengku Fahad pula. Hamid mengeluh keras, sebentar lagi pasti Tengku Fahad akan mengamuk kerana mereka tidak berjaya mendapatkan Nafa.
Dalam perjalanan, kepalanya penuh dengan alasan yang akan diberikan kepada Tengku Fahad di atas kegagalan mereka. Hukuman pasti ada dan mereka sudah maklum perkara itu. Bukan sekali dua mereka kena habuan daripada Tengku Fahad, sudah banyak kali tapi mereka masih lagi bekerja dan menjadi balaci Tengku Fahad.
Upah yang tinggi menyebabkan mereka masih setia dengan Tengku Fahad. Bukan hari-hari pun mereka bekerja cuma mereka diperlukan untuk mencuci segala kekotoran yang ditinggalkan oleh Tengku Fahad. Tengku Fahad hanya perlu mencuci tangannya bersih-bersih tanpa meninggalkan kesan.
It’s a dirty job but somebody has to do it.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...