Hafiz Khairy pulang ke rumah setelah matahari hampir menyembunyikan dirinya. Selesai kenduri rumah Tok Karim barulah Hafiz beransur dari situ. Tenaganya diperlukan untuk melakukan kerja berat sementelah ramai anak muda tidak berminat untuk melakukan kerja gotong royong jika tidak diberikan habuan lumayan.
Sikap materialistik sekarang agak sukar dikikis kerana sentiasa dimomokkan dengan istilah ‘tiada upah tiada kerja’. Amalan gotong-royong sudah mulai pupus akibat segelintir manusia yang pentingkan diri sendiri dan menyebabkan ramai menggunakan khidmat katering untuk kenduri kendara sebab lebih mudah.
Pintu dapur ditolak mudah menyebabkan Hafiz terhenti langkahnya di depan pintu. Dia lupa kunci pintu ke? Hafiz garu kepala, kronik juga masalah lupa dia sekarang sampai lupa nak kunci pintu. Dia tidak risau kerana dia tahu dalam rumah tiada barang berharga yang boleh menarik perhatian pencuri.
Hafiz meletakkan mangkuk tingkat yang diberi oleh Hazwanie untuk makan malam di atas meja. Senyuman hambar diukir apabila memandang mangkuk tingkat itu. Dia menerima perlian demi perlian setelah Hazwanie menyerahkan mangkuk tingkat ketika hendak pulang tadi. Walaupun dia tidak pedulikan kata keji orang kampung tapi hatinya tetap terhiris dengan kata-kata mereka.
Hafiz menarik nafas panjang dan memandang jam di dinding. Waktu maghrib hampir tiba dan Hafiz terus mencapai tuala untuk membersihkan diri. Dia perlu hadir ke surau kerana malam ini ada kuliah agama daripada Ustaz Noh dan dia tidak mahu ketinggalan untuk menghadiri kuliah agama. Rohani perlu diisi untuk memantapkan lagi kehidupannya yang hampir musnah dan dia tidak mahu lalai lagi dalam ujian yang diberikan kepadanya.
Setelah siap dengan baju melayu berwarna biru dan berkain pelikat, Hafiz menyorong motor Honda EX 5 dari bawah rumah dan memecut ke surau. Dia sudah terlewat kerana azan sudah mulai berkumandang di udara. Dia tidak mahu berada di saf belakang kerana dia sudah
terbiasa berada di saf depan, perkara yang jarang dia lakukan ketika bekerja dulu. Baru dia tahu betapa nikmatnya beribadah jika berada di saf depan.Nafa menunggu saat Hafiz keluar dengan sabar. Seharian dia duduk di dalam bangsal dan membersihkan bangsal tersebut. Dia juga menjumpai satu beg berisi pakaian lama dan apa yang dia nampak membuahkan satu senyuman di bibir mungilnya. Ada beberapa helai pakaian yang masih elok dan masih boleh dipakai.
Nafa menjenguk melalui pintu, dia nampak Hafiz berlalu dengan motor kapcainya. Nafa hanya nampak belakang Hafiz. Nampak pada gaya Hafiz berpakaian, Nafa agak Hafiz mesti ke surau atau masjid. Nafa tersengih, dia masih ada masa untuk mandi dan kalau nasib dia baik… ada makanan untuk makan malamnya.
Nafa berjalan pantas menuju ke dapur. Dengan lafaz Bismillah, Nafa memegang tombol dan memusingnya. Klik. Pintu terbuka. Nafa menjerit kesukaan. Entah kenapa Hafiz selalu terlupa nak kunci pintu tapi nasib baik juga Hafiz terlupa… baik untuk Nafa. Hehehe.
Nafa terus ke bilik mandi, sudah dua hari dia tak mandi. Nasib baik tandas berada di luar rumah jadi untuk melepaskan hajat, Nafa tiada masalah. Boleh saja dia mandi dalam tandas tapi dia pula rasa tak selesa. Nafa mandi dengan cepat, dia tidak punya masa yang banyak. Nanti dibuatnya Hafiz balik… jenuh pula dia nak bersoal jawab dengan Hafiz.
Selesai mandi ala kadar, Nafa tengok meja. Wajahnya ceria melihat ada mangkuk tingkat di situ. Tanpa berlengah, Nafa membuka mangkuk tingkat. Matanya bersinar melihat ada nasi minyak, ayam masak merah dan daging masak hitam. Nafa menggosok tapak tangan. Rezeki… rezeki… alhamdulillah, boleh juga dia isi perut. Dari tadi asyik makan biskut kering, boleh kurus kalau macam ni hari-hari.
Nafa mengambil pinggan dan mencedok nasi sedikit, takut nak habiskan… nanti tuan rumah perasan. Dia ambil pula ayam seketul dan daging juga seketul. Cukuplah untuk malam ini. Biskut kering diambil lagi beberapa keping, esok tak perlu masuk lagi. Air masak dimasukkan ke dalam botol air mineral yang dia jumpa di rak pinggan.
Nafa bernyanyi kecil menuju ke bangsal. Hatinya berasa tenang walaupun menjadi pelarian. Dia rasa malas pula nak pulang ke vila papanya. Tinggallah dulu sehari dua lagi, lepas ini baru dia fikir cara nak pulang.
EHSAN mengayuh basikal dengan laju menuju ke surau.
“Abang Hafiz! Abang Hafiz! Abang Hafiz!!!!” Ehsan tercungap-cungap mencari nafas. Dia bawa basikal dengan laju, mengalahkan Fabio Quartararo, juara Moto GP.
Hafiz bergegas keluar dari surau apabila mendengar namanya dipanggil dengan nada cemas. Dia melihat Ehsan, anak abang Rosli sedang melambai memanggilnya.
“Ehsan! Kenapa? Jumpa hantu ke?” Hafiz sengaja berseloroh dengan Ehsan.
“Hah… tadi… Ehsan ke rumah abang… lepas tu…” Ehsan masih lagi termengah-mengah.
“Ehsan buat apa pergi rumah abang?”
“Ehsan nak bagi surat. Kak Wanie kirim. Nah!”
Hafiz tersenyum, sejak bila agaknya Ehsan menjadi posmen? Sanggup meredah malam gelap ke rumahnya semata-mata hendak hantar surat. Bukan tidak boleh hantar waktu siang. Apa benda yang mustahak sangat? Hafiz mengambil juga surat yang diberikan oleh Hazwanie dan dimasukkan ke dalam poket baju melayunya.
“Tapi Abang Hafiz, surat ni tak penting. Ada perkara yang lebih penting berlaku kat rumah abang.” Nada suara Ehsan kedengaran bersunguh-sungguh.
“Cuba Ehsan beritahu abang dengan jelas.” Hafiz juga bingung dengan apa yang bakal Ehsan ceritakan.
“Masa Ehsan sampai, Ehsan dengar bunyi air kat bilik air. Ehsan ingatkan abang mandi, bila Ehsan nak panggil Ehsan nampak… Ehsan nampak sorang perempuan keluar dari bilik air. Ehsan tahu tak mungkin ada perempuan dalam rumah abang jadi Ehsan tak tunggu lama… Ehsan pun cabut lari.”
“Betul ke apa yang Ehsan nampak tu? Tah-tah imaginasi Ehsan saja, kan dah malam. Jin dan syaitan banyak merayau watu malam kan.”
“Entahlah Abang Hafiz tapi Ehsan yakin ada orang kat rumah abang.”
“Perempuan kan?”
“Ha… ah! Perempuan.”
“Kalau perempuan, mesti bidadari nak jumpa abang tu. Dah! Pergi balik, nanti ayah Ehsan marah pula asyik merayau malam-malam.” Hafiz senyum, saja nak kenakan Ehsan.
“Tapi abang…”
“Tak ada apa pun, khayalan Ehsan saja tu…”
“Tapi…”
“Ni satu lagi, kenapa pergi rumah abang. Abang kan selalu berjemaah kat surau.”
“Kak Wanie kata abang balik lewat dari rumah tok ketua tadi jadi Ehsan terus singgah rumah abang. Tak sangka jumpa hantu pula.”
“Mana ada hantu, siapa suruh merayau masa maghrib. Rasakan!”
Sebelum sempat Ehsan bertanya lebih, Rosli datang ke arah Hafiz dan Ehsan.
“Hei Ehsan! Buat apa merayau malam-malam ni, pergi balik! Bertuah punya budak.”
“Alamak! Ayah dah sound. Ehsan balik dulu ya abang Hafiz.” Ehsan terus memecut balik ke rumah. Dia sudah tidak pandang belakang lagi.
“Budak tu buat apa kat sini. Bila ajak solat jemaah cukup liat. Malam ni boleh pula datang jumpa Hafiz. Apa cerita?”
“Tak ada apa Abang Li, jomlah kita masuk dengar kuliah lagi.” Hafiz tidak mahu memanjangkan cerita, nanti heboh pula satu kampung.
Selepas Rosli masuk kembali ke dalam surau, Hafiz masih lagi tercegat di situ, memikirkan kata-kata Ehsan. Tidak mungkin ada orang masuk ke dalam rumahnya, keluar dari bilik air pula tu. Selama ini tidak pernah dia berjumpa dengan sebarang makhluk di kawasan rumahnya. Orang tuanya tidak membela saka. Ishhhh... minta simpang.
Lupa pula nak pesan kepada Ehsan supaya mendiamkan perkara tadi. Hafiz takut akan fitnah orang kampung, dia akan menghadapi masalah. Tangan menyeluk poket baju melayunya dan dia terpegang surat kiriman daripada Wanie.
Haish… ini lagi satu masalah besar. Hafiz merungut dalam hati.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...