BAB 36

138 11 0
                                    

Nafa memandang seorang demi seorang tiga orang lelaki di hadapannya. Walaupun keadaan samar-samar kerana diterangi oleh lampu mentol tapi Nafa dapat melihat dengan jelas kegusaran daripada wajah Hafiz dan Abang Rosli. Nafa pandang pula Luke, sekadar untuk melihat reaksi Luke tapi Luke hanya membuat wajah selamba. Luke beranggapan biarlah Hafiz dan Abang Rosli saja yang menyelesaikan masalah Nafa dan Tengku Fahad. Tugasnya untuk menyampaikan apa yang dia tahu sudah selesai.

“Awak…” Nafa panggil Luke. “Awak kawan Hafiz dan Abang Rosli kan?” Luke mengangguk.

“Mesti awak tahu macam mana mereka kenal dengan Tengku Fahad.”

Hafiz dan Abang Rosli segera berpaling memandang Luke. Abang Rosli memberi pandangan yang tajam ke arah Luke membuatkan Luke menelan liur. Luke pandang pula Hafiz meminta bantuan tapi renungan Hafiz lagi tajam daripada Abang Rosli, silap haribulan boleh tembus kepalanya.

“Nafa, please… bukan masanya kita beritahu macam mana kami boleh kenal Tengku Fahad…”

“Awak bekas polis? Sebab polis saja yang tahu siapa Tengku Fahad.”

Hafiz pandang Abang Rosli yang sedang mengangguk. Abang Rosli nak suruh mengaku Hafiz polislah tu.

“Bukan, saya…”

“Betul Nafa. Hafiz bekas polis. Dia berhenti setelah keluarga Hafiz meninggal dalam kemalangan dulu. Hafiz kemurungan.”

“Abang Li!” Hafiz jerkah Abang Rosli kerana bermulut celupar. Kenapa mesti tipu Nafa sedangkan mereka dulu sering diburu oleh polis.

“Oh my! Maafkan saya Hafiz. Saya… saya tak tahu tekaan saya betul.” Nafa ketawa kecil. “Betullah kan. Takkan awak orang jahat macam Tengku Fahad pula. Awak dan Abang Li tak sesuai jadi orang jahat sebab awak berdua baik sangat.”

Hahaha… bunyi ketawa keluar dari mulut Luke. ‘Naif betul budak Nafa, kalau dia tahu certita sebenar entah nak duduk sekali dengan keluarga Leo atau tidak.’

“Kenapa kau ketawa? Betullah apa yang aku kata.” Abang Rosli jegil Luke. Luke angkat tangan tanda menyerah. 

Luke sekadar menggeleng. Entah apa-apa si Leo ini, nak tipu pun agak-agaklah. Beri saja pekerjaan lain selain daripada polis, memang jauh nau… kata orang kampung Abang Rosli. Hafiz garu kepala, tak jadi membantah melihat wajah garang Abang Rosli. Abang Rosli sudah berubah menjadi abang yang begitu melindungi adiknya. Rosnita pun tak pernah mendapat perlindungan sebegitu, kena kutuk lagi adalah.

“Sekarang yang penting, kau orang semua dah tahu Tengku Fahad akan muncul bila-bila masa saja. Kalau dia tak boleh ambil secara baik, dia akan gunakan cara kasar. Kau pun tahu kan?” Luke pandang Nafa. 

Nafa pandang Hafiz dan Abang Rosli silih berganti, mengharapkan cadangan daripada mereka berdua. Namun Hafiz masih membisu dan Abang Rosli nampaknya mengharapkan Hafiz berkata sesuatu. 

Hafiz termenung memandang kelam malam. Dia sebenarnya susah untuk melepaskan Nafa pergi. Hidupnya bertambah bermakna dengan kehadiran Nafa walaupun sudah beratus malah beribu kali dia cuba menafikan. Hafiz masih lagi berpegang teguh dengan janjinya kepada Hafizah.

Tapi Hafiz tahu hidup mereka tidak selamat jika Ferhad masuk campur. Ferhad masih berdendam dengan dia. Hafiz tidak kisah jika Ferhad bunuh dia tapi dia amat risaukan keselamatan Mak Era sekeluarga. Mereka tidak perlu masuk dalam kemelut ini. Hidup mereka sekeluarga sudah lama aman damai dan Abang Rosli sendiri mempunyai pekerjaan yang boleh memberi kehidupan selesa.

“Saya buntu Abang Li. Saya balik dulu.” Tanpa pamitan, Hafiz terus turun dari rumah Abang Rosli dan mencapai motor lalu meninggalkan rumah Mak Era.

“Hoi Hafiz! Nak ke mana tu?! Isy! Boleh dia tinggalkan aku kat sini!” Luke cekak pinggang memerhati kelibat Hafiz menghilang dalam kegelapan malam.

“Dia memang macam tu sejak… jom, kau balik dengan aku. Nafa, masuklah tidur. Esok kita sambung bincang.” Abang Rosli turut turun menghampiri motornya.

Luke hanya melemparkan senyuman hambar kepada Nafa. Sifat Hafiz yang satu ini Luke tidak tahu sebab dulu Hafiz atau Raf tidak pernah berkelakuan sebegitu. Raffa adalah seorang yang begitu patuh kepada ketuanya. Tidak pernah melawan dan menurut segala perintah.

Luke kemudiannya menuruti langkah Abang Rosli dan membonceng motosikal Abang Rosli. Motor Abang Rosli meluncur laju menuju ke rumah Hafiz. Abang Rosli masih memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah Nafa semasa menunggang motor tanpa menyedari ada mata-mata yang melihat mereka di beranda Mak Era tadi.

“Kak Nafa! Masuklah! Nak tunggu cik ponti teman ka kat luar tu?!” suara Rosnita melangsi kuat memanggil Nafa yang masih lagi termenung walaupun semua kaum lelaki sudah tinggalkannya.

Nafa memeluk tubuh sambil mata meliar melihat kegelapan di hadapannya. Tiba-tiba dia merasa meremang tubuh badan lalu berjalan perlahan masuk ke dalam rumah. Namun dalam kepala masih memikirkan solusi bagaimana hendak menyelesaikan masalahnya.

*

*

*

Di sebalik sebatang pokok berhampiran rumah Mak Era:

“Paksu, jomlah balik. Nyamuk banyak. Kering darah Zam kalau macam ni.” Zamri menampar beberapa ekor nyamuk yang hinggap di lengannya.

“Kata nak jadi spy, sabarlah sikit.” Majid hanya mengenyih kepada anak saudaranya. Nak jadi jahat tapi dengan nyamuk pun kalah.

“Mereka dah balikkan. Kalau si beast tahu Zam mengendap kat sini, rasanya kena belasah nanti.” Zamri masih lagi menampar-nampar nyamuk. Sakit hati mendengar dengungan bunyi binatang itu.

“Siapa beast?”

“Abang Hafiz itulah. Siapa lagi. Nampak saja senyap tapi berbahaya.”

“Paksu rasa pernah tengok dia tapi di mana ya?”

“Dah! Jangan duk buat ayat drama kat sini. Jom balik, nanti mak marah.”

“Eh! Kau takut juga kat kakak aku tu ya. Ingatkan nak jadi samseng dengan mak tak takut.”

“Paksu jangan buat lawak. Samseng-samseng pun dengan mak jangan lawan. Syurga Zam tu.” Zamri terus bangun dan menuju ke motor yang ditinggalkan tidak jauh dari situ. Dia sudah tidak tahan dengan serangan nyamuk.

Majid hanya ketawa melihat gelagat Zamri. Ada hati nak jadi samseng, dengan nyamuk pun kalah. Tapi Majid agak terkesan dengan kata-kata Zamri tadi. ‘Syurga di bawah tapak kaki ibu.’  Dia sendiri menderhaka kepada ibunya hanya kerana pekerjaannya. Dia tahu dia sudah tersilap langkah tapi untuk kembali ke pangkal jalan, Majid rasa susah kerana dirinya sudah lama terjebak dalam kegiatan jenayah. Rasa untuk berubah ada tapi nantilah tunggu dia dapat hidayah. 

Majid mendengus dan mengikut langkah  Zamri. Tugasnya selesai untuk malam ini. Esok dia akan menghantar laporan kepada Tengku Fahad. Entah apa yang Tengku Fahad hendak lakukan kepada gadis itu. Majid tidak mahu berlaku kekecohan kerana dia risau orang kampung akan pulaukan keluarga kakaknya jika tahu kegiatannya. Keluarga kakaknya sendiri menerima banyak hinaan hanya kerana sikap kacang hantu Zamri. Dia tidak mahu menambah lagi hinaan ke atas keluarga kakaknya kerana keluarga Zamri sahaja yang menerima kehadirannya.

*

*

*

Bunyi kokokan ayam menandakan waktu subuh sudah hampir. Nafa yang dari tadi asyik termenung memikirkan peristiwa semalam terus bangun dan menuju ke bilik air. Dia sudah nekad. Dia tidak boleh melayan perasaan senang lenang lagi di sini. Hidup perlu diteruskan.

Nafa perlu menghadapi Tengku Fahad dan dia tidak mahu melarikan diri lagi. Dia tahu, dia perlu menghadapi papa jika dia hendak putus dengan Tengku Fahad tapi dia mesti melawan kali ini. Nafa tidak akan membiarkan Tengku Fahad menghantui hidupnya lagi. Dia ingin bebas. Bebas dari cengkaman Tengku Fahad yang jahat.

Nafa ke dapur untuk menolong Mak Era membuat sarapan. Wajahnya suram dan kelihatan tidak ceria seperti selalu. Keadaannya menggusarkan Mak Era.

“Awat Napa nampak sedih pagi ni?” Mak Era tanya ketika melihat Nafa menongkat dagu di meja makan.

“Nafa nak balik rumah hari ini.” 

Rosnita dan Kak Muna yang baru turun ke dapur kelihatan terpegun dengan kata-kata Nafa. Air mata Rosnita mula mengalir perlahan, tak sangka hari ini akan muncul juga.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now