Tok Karim mengambil tempat duduk di atas pangkin bersama Hafiz dan Rosli. Nafa dan Rosnita membuat air dan menggoreng keledek untuk kudapan. Sebenarnya Rosnita saja yang masak, Nafa hanya menjadi penonton. Dia cuma mengatur cawan ke dalam dulang saja. Ada juga sumbangan untuk diberikan kepada Hafiz.
“Apa ceritanya ni?” nada Tok Karim agak lembut jika dibandingkan dari tadi.
“Hurmmm… saya pun tak berapa pasti. Tok tanya dia sendiri lebih baik rasanya.” Hafiz cuba berdalih.
Dia rasa tidak selesa untuk menceritakan masalah Nafa kepada orang lain. Mungkin Nafa ada alasan yang lebih kukuh untuk menerangkan kepada Tok Karim. Tok Karim sekadar mengangguk, tangan mengurut janggut putih yang tak seberapa itu. Janggut kambing kata cucunya.
Tidak lama, Nafa dan Rosnita menapak keluar dengan membawa air kopi dan goreng keledek. Hidangan diletakkan di depan Tok Karim dengan cermat. Nak ambil hati Tok Karim mestilah bersopan santun dan berbudi bahasa, barulah orang akan berkenan.
Selesai meletak hidangan, Nafa dan Rosnita berdiri di belakang Rosli sambil tersengih. Rosnita nampak Tok Karim mengambil cawan kopi dan mencicip perlahan tapi Rosnita dapat lihat mata Tok Karim masih terlekat pada Nafa. Ada anak dara cantik, terlupa akan diri yang sudah tua. Tok… tok… ada hati juga ya. Rosnita gelak jahat… dalam hati.
“Hah! Kamu! Betul ke apa yang Wanie cakap tadi? Apa yang kamu buat kat rumah Hafiz?” Tok Karim kelihatan gelabah setelah semua mata memandangnya dan cepat-cepat Tok Karim bertanyakan Nafa.
“Haa… err…” Nafa tidak tahu nak jawab apa.
“Tok… kan tadi saya kata, saya teman Kak Nafa di rumah Abang Hafiz. Abang Hafiz tidur di rumah Mail. Rumah kami ramai orang, rimas pula Kak Nafa nak duduk sana.” Rosnita menjelaskan kepada Tok Karim walaupun bukan benar semua katanya itu
Tok Karim termenung sebentar, tidak tahu hendak percaya atau tidak tapi dia kenal dengan keluarga Rosli dan Hafiz sudah lama. Mereka merupakan orang baik-baik dan sangat dihormati oleh penduduk kampung. Keledek goreng yang masih panas diambil dan disuap perlahan ke dalam mulut… masih memikirkan ayat yang sesuai untuk dikatakan.
“Kalau ikutkan tok, tak elok kamu orang perempuan tinggal di situ. Hafiz duda, kamu anak dara… boleh menimbulkan fitnah. Tengok, Wanie dah mengamuk tadi. Kalau orang lain? Tok rasa kamu dah jadi laki bini.” Tok Karim cakap dalam nada senafas. Puas hati juga dapat keluarkan kalam yang berat itu. Kata orang… berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Hafiz dan Nafa menekur pandang tanah. Abang Rosli hanya mampu mendiamkan diri, tidak mungkin dia dapat membela Hafiz hari ini. Perbuatan Hafiz juga salah walaupun dia tidak tinggal sekali, seperti kata Tok Karim… mendatangkan fitnah.
Kemunculan Hazwanie bukan saja mendatangkan fitnah tapi mendatangkan ribut taufan Katrina. Seram juga melihat orang perempuan cemburu, bergasak kalahkan ahli gusti. Itu baru buah hati bukan suami sendiri… kalau Hafiz suami Hazwanie eeee tak dapat Rosli bayangkan. Jangan buat pasal Rosli, Muna tu tak tahu pula macam mana pula caranya. Silap-silap dipotongnya alat sulit Rosli, merana seumur hidup. Rosli menutup celah kelangkangnya perlahan.
“Tok, baguslah kalau Abang Hafiz dan Kak Nafa jadi suami isteri, bagai pinang dibelah dua, bagai cincin dengan permata… gitu.” Rosnita mencelah apabila melihat mereka semua diam mendengar syarahan Tok Karim.
Pukk! Rosli ketuk kepala Rosnita. Rosnita mengaduh dan menggosok kepala. Nafa ternganga melihat kejadian itu dan terus ketawa kecil manakala Hafiz menggosok belakang tengkuk. Lucu mendengar kata Rosnita tapi dalam diam dia senyum nipis.
“Budak ni… orang tua-tua cakap jangan menyampuk. Biasa niii.” Rosli geram betul dengan kelakuan Rosnita.
“Sakitlah. Betul apa yang Nita cakap.” Rosnita masih lagi mahu melawan Rosli.
“Sudah! Dah macam budak-budak kamu dua beradik ni.” Tok Karim menguatkan suaranya membuatkan Rosli dan Rosli berhenti bertengkar. “Tok nak balik dulu… selesaikan masalah kamu berdua. Tok tak mahu dengar orang kampung umpat kamu macam-macam. Kamu kena ingat ayah kamu dulu dihormati oleh orang kampung ni, jadi jaga kelaku.”
Tok Karim bangun dari pangkin, badannya berasa lesu apabila dia menggunakan akal fikiran yang banyak. Dah berumur begini dia rasa seperti selalu semput walaupun tidak membuat sebarang kerja.
“Tok nak saya hantar balik ke?” Rosli semawa diri untuk menghantar Tok Karim pulang.
Tok Karim sekadar mengangguk dan memberi sebuah senyuman. Bagus juga kalau Rosli hendak menghantarnya balik, letih juga kalau nak berjalan. Tadi kerana terlalu kelam kabut, Tok Karim bersama Hazwanie dan isterinya hanya berjalan kaki untuk ke rumah Hafiz. Panas hati mendengar kata Hazwanie, Tok Karim bergegas ke rumah Hafiz tanpa membawa kenderaan.
Hafiz dan Nafa menarik nafas lega setelah Tok Karim hilang dari pandangan. Satu episod yang bersejarah berlaku hari ini membuatkan Nafa sedar yang tidak mudah baginya untuk tinggal di situ. Orang kampung amat menitik berat akan perhubungan lelaki dan wanita bukan mahram. Tidak seperti di bandar, mereka bebas bergaul dan tidak kisah jika tinggal bersama tanpa mengira halal atau haram.
Namun Nafa berasa sayang meninggalkan kampung ini kerana dia dapat belajar agama dengan Hafiz. Dia suka dengan keindahan dan suasana di kampung. Cukup harmoni dan aman. Kampung itu juga tidak sibuk seperti di bandar, tenang saja kehidupan di sini. Kalaulah dia dapat bawa Blackie, mesti seronok menunggang di batas-batas sawah.
“Abang Hafiz, macam mana?” Soalan Rosnita membuatkan lamunan Nafa terbang dibawa angin.
Hafiz pandang Nafa. Nafa pandang Hafiz kembali sehinggalah Rosnita tepuk tangan di tengah-tengah muka mereka. ‘Boleh pula pandang memandang antara satu sama lain. Tengoklah keadaan sekeliling dan paling penting, hormat sama kat aku yang masih single ni.’ Rosnita membebel dalam hati.
“Aa… aa… pa?” Hafiz sudah salah tingkah apabila dikejutkan oleh Rosnita.
“Apa yang kita nak buat sekarang?” Rosnita mengulang apa yang dia katakan tadi sambil tersengih.
Hafiz berdeham, menghilangkan rasa canggung tadi.
“Abang rasa biar Abang Li sekeluarga tinggal di sini sementara Nita dan Nafa tinggal bersama mak, boleh macam tu?” Hafiz memberi buah pandangannya.
“Habis abang?”
“Malam abang tidur rumah Mail, siang abang boleh ja balik sini… Kak Muna tak kisah rasanya.”
“Haaa… bagus juga cadangan Hafiz. Tak apa, siang Hafiz kerja dengan abang. Makan tengah hari biar Kak Muna kau yang masak, sebagai hadiah sebab benarkan kami tinggal di sini.” Rosli mencelah selepas menghantar Tok Karim.
Rosli dan Rosnita amat bersetuju dengan cadangan Hafiz. Mereka mula membuat rancangan dan kelihatan amat gembira dapat membantu Nafa. Namun Nafa pula kelihatan agak gusar dengan rancangan Hafiz. Bukan dia tak suka tinggal bersama Rosnita tetapi dia rasa bersalah kepada Hafiz. Dia rasakan yang dia sudah susahkan orang yang baru dikenalinya.
Siapakah dia sehinggakan mereka begitu mengambil berat ke atasnya dan sudi membantunya. Nampaknya mereka tidak kisah akan keadaan dirinya yang lari dari rumah. Nafa akan membuat keputusan segera.
“Nanti!” Suara Nafa yang agak kuat menghentikan perbincangan di antara Hafiz, Rosli dan Rosnita.
Mereka bertiga memandang Nafa serentak. Nafa agak tergamam melihat tiga pasang mata memandangnya dengan penuh kehairanan. Rosnita angkat kening kepada Nafa.
“Err… err… maafkan saya. Saya rasa saya dah menyusahkan semua orang. Tak apa… biar saya cari hotel ke, homestay ke. Abang Rosli tak perlu susahkan Kak Muna dan Nita tak perlu temankan Kak Nafa. Hafiz tak perlu korbankan rumah dia demi kesenangan saya.”
Rosli dan Rosnita hanya mendiamkan diri tapi wajah Hafiz sudah berubah menjadi masam. Tanpa kata dia meninggalkan Nafa bersama Rosli dan Rosnita. Motor kapcai di bawah rumah diambil dan enjin motor dihidupkan. Tanpa berkata apa-apa, Hafiz memecut motornya laju.
“Saya ada silap cakap ke?” Nafa menggumam.
Rosli dan Rosnita sekadar mengangkat bahu.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...