Hafiz menarik wajah tegang sepanjang perjalanan pulang ke kampung manakala Luke menarik sengih melihat Hafiz seakan mahu menumbuknya. Hafiz marah kerana Luke mahu mengikutnya pulang ke kampung. Katanya teringin untuk melihat suasana kampung kerana dia anak bandar, tidak pernah ada kampung.
Hafiz menghentikan superbike di bawah rumahnya. Motor itu kemudiannya disorong ke belakang bangsal lalu diselimutkan motor besar itu. Hanya Rosli yang mengetahui kewujudan motor besar itu. Penduduk kampung pun tak pernah melihat motor besar Hafiz kerana dia tidak pernah menunggangnya.
Hafiz terpaksa menunggang superbike itu ketika bertemu Luke kerana dia tidak mahu meminjam pikap Rosli kerana Rosli memerlukan pikap untuk mengangkut barang-barang kerjanya.
Luke mengeliat sakan kerana membonceng motor dalam masa yang agak lama. Dia tidak tahu kampung Hafiz begitu jauh dari bandar. Mujur Hafiz bawa superbike, kalau bawa motor kapcai rasanya boleh patah pinggang Luke.
“Aduhhhh!!! Jauhnya kampung kau Raf. Aku nak naik kereta, kau tak bagi. Nasib baik pinggang aku kuat lagi, kalau tak…”
“Siapa suruh ikut. Tak ada siapa kan.” Hafiz terus buka pintu dapur. Sememangnya pintu dapur merupakan laluan keluar masuk rumah Hafiz. Dia malas nak buka pintu depan. Lagipun hanya tinggal dia seorang penghuni di rumah itu.
“Wow! Cantiknya rumah kau. Rumah macam ni dah tak wujud tau kat bandar.” Luke mencekak pinggang lalu melangut memandang rumah Hafiz. Dia terpegun melihat rumah kayu klasik yang masih terpelihara cantik.
“Kau puji ke atau kau kutuk rumah aku ketinggalan zaman.”
“Isyy… aku pujilah. Raf apa kata kalau aku tinggal bersama kau.”
“Kau gila! Macam mana dengan kerja kau?”
Luke masuk ke dapur, kerusi makan ditarik lalu dia duduk sambil mata memandang sekeliling. Senyuman senget dilemparkan kepada Hafiz yang sedang memasak air.
“Eh! Kau tak pasang Cukcoo ke Coway ke? Rajin pula kau masak air macam ni.” Luke tak jawab soalan Hafiz tadi kerana terlalu ralit melihat Hafiz jerang air.
Hafiz tidak pedulikan komen Luke. Budak Luke memang bukan budak kampung jadi dia tidak terbiasa dengan keadaan di kampung. Apa yang Luke tahu semuanya sudah tersedia dan moden. Bekerja pula dengan Ferhad, serba serbi moden belaka.
“Boleh tak jangan komen macam-macam? Kalau tak suka, berambus!”
“Jangan serius sangat Raf. Aku cuma kagum dengan kau. Kau boleh tinggal di sini, tempat yang jauh berbeza dari tempat kita dulu.”
Hafiz mendengus kasar. “Kalau aku tak tinggal di sini, di mana lagi aku tinggal? Dalam kubur?”
“Wahhh! Dah tak boleh bergurau sekarang eh?” Luke ketawa lepas, seronok tengok wajah Hafiz menjadi merah.
“Sejak bila aku pandai bergurau?”
“Okey… okey… jangan marah. Eh! Kau dah call Leo? Aku teringin nak jumpa dia.” Luke tukar topik. Takut pula Raffa tempelak dia. Kisah lama jangan diungkit kalau tak mahu sakit. Bukan Luke tak kenal Raffa.
“Dah tapi aku nak ingatkan kau sekali lagi. Di sini kau panggil aku Hafiz dan panggil Abang Rosli, bukan Leo. Aku takut Mak Era dan Kak Mona pengsan kalau kau panggil Leo.”
Luke ketawa lagi. Dia pula rasa terhibur datang ke sini. Suasana sepi ketika malam cukup membuatkan hatinya merasa tenang. Patutlah Raffa dan Leo masih boleh menjalani kehidupan yang baik di sini. Kedamaian. Ya, kedamaian kampung itu membuatkan Luke juga terasa ingin mengubah angin tapi dia pendamkan dulu hasrat hatinya. Dia takut penerimaan Raffa dan Leo jika mereka tahu dia juga sedang diburu oleh Ferhad.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...