BAB 26

154 9 0
                                    

NAFA menanti Hafiz mengambil ubat di kaunter ubat. Nafa tidak mengalami kecederaan yang parah cuma calar sedikit di bahagian muka dan tangan. Tidak ada bahagian anggota badan lain yang patah. Hafiz terlalu risau jika Nafa ada mengalami kecederaan parah.

"Jom... aku dah ambil ubat, nanti kau makan ikut sukatan yang tertulis di atas sampul ubat tu." Hafiz sua bungkusan ubat kepada Nafa.

"Terima kasih Hafiz tapi saya okey. Maafkan saya kerana sudah susahkan Hafiz."

"Aku yang patut minta maaf, sebab aku... kau dah cedera."

"Alaa... sikit saja ni. Dulu masa saya jatuh dari kuda, lagi teruk saya cedera... patah riuk merata." Nafa ketawa kecil mengenangkan kisah lamanya.

Hafiz pandang Nafa dengan wajah kagum. Nafa boleh lagi tersenyum dan bercakap dengannya walaupun mengalami kejadian yang mengaibkan. Dia dan Nafa langsung tidak mempunyai hubungan mesra, hubungan mereka hanyalah kerana Nafa menumpang tidur di rumahnya... itu saja. Dia hanya menolong Nafa sebelum Nafa kembali pulang ke pangkuan keluarganya.

Hafiz dan Nafa berjalan beriringan menuju ke pikap Rosli yang diparkir di hadapan klinik. Hafiz menolong Nafa membuka pintu pikap dan memerhati Nafa panjat pikap di bahagian penumpang. Dia terlupa yang Nafa seorang gadis yang tinggi, tidak perlu memanjat untuk naik ke tempat duduk... cukup dengan satu langkah, Nafa sudah dapat duduk di situ.

Hafiz kembali ke tempat memandu dan setelah menarik tali pinggang keledar, Hafiz keluar dari kotak parking. Hafiz memandu perlahan untuk kembali ke rumah Mak Saerah.

"Kenapa kau tak lawan balik?" Hafiz tanya Nafa setelah beberapa lama mereka mendiamkan diri.

"Hah?!" Nafa yang ralit melihat pemandangan di luar, terkejut dengan pertanyaan secara tiba-tiba daripada Hafiz. Nafa berpaling memandang Hafiz yang tekun memandu.

"Kenapa kau tak lawan balik?" Hafiz ulang soalan tadi.

"Hmmm... tak perlu menyukarkan lagi keadaan. Saya takut kalau saya lawan balik, Wanie akan cedera lebih teruk."

"Maksud kau?"

"Saya adalah MMA fighter tapi saya dah berhenti lama dah. Papa tak bagi saya aktif dalam sukan yang katanya ganas bagi seorang wanita.. Tak manis katanya."

"Wow!" Tiada suara yang keluar, cuma bibir saja yang bergerak. "Apa lagi yang kau pandai buat?"

"Err... tunggang kuda, berenang, memanah tapi..." Nafa berhenti seketika dan mengeluh perlahan. "... mengaji dan solat saja tak pandai." Nafa tunduk malu.

Hafiz pandang Nafa, dia tahu Nafa merasa malu atas kekhilafannya. Namun dia merasa kagum kerana Nafa tidak berselindung dengan kekurangannya itu. Nafa mahu belajar dan Nafa dapat mempelajari ilmu agama dengan cepat. Nafa bukannya tidak tahu langsung solat atau mengaji Quran tapi Nafa tidak mempraktikkan amalan itu dengan konsisten.

"Semua tu boleh belajar kan. Kita sebagai manusia perlu belajar tak kira usia, masa dan tempat. Sementara kita hidup, kita sentiasa dalam proses belajar. Pernah dengar, menuntutlah ilmu sehingga ke negeri China."

Nafa mengangguk laju. "Tapi kenapa sampai negeri China? Kenapa tak ke Rusia ke Jepun ke... kenapa China?"

Hafiz kerling Nafa yang kelihatan lugu. Benarkah Nafa tidak tahu atau dia sengaja bertanyakan soalan itu untuk menduga Hafiz. Nafa bukanlah seorang yang tidak pandai, pada pandangannya... dilahirkan dalam dulang emas, mesti Nafa belajar sehingga ke luar negara.

"Kau belajar di mana dulu?"

"New Zealand."

"Course?"

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now