BAB 7

210 15 0
                                    

Nafa masih memeluk erat tubuh Hafiz. Dia masih tidak berani mengangkat muka, takut Hamid mengenal pasti dirinya. Hafiz pula masih pegun dan dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Dipeluk dan mengaku sebagai suami Nafa langsung tidak terfikir oleh mindanya ketika ini. Suasana menjadi senyap sunyi.

“Cik… mereka dah pergi.” Hafiz melonggarkan pelukan Nafa. 

Dia rasa nafasnya hampir putus kerana dipeluk lama. Dia sudah lama tidak menerima pelukan daripada sesiapa sejak kematian Hafizah. Dulu, Hafizah selalu memeluknya jika berasa susah hati atau Hafiz kembali dari kerja.

“Hah!” Nafa terlangut memandang Hafiz.

Nafa terleka berada dalam pelukan Hafiz. Dia berasa selamat berada di samping Hafiz. Entah mengapa dia cukup berasa cukup selesa dan dia tidak mahu melepaskan Hafiz dari pelukannya. Lambat-lambat dia meleraikan pelukan Hafiz.

“Terima kasih… awak dah selamatkan saya.” Nafa tidak tahu hendak bereaksi macam mana apabila melihat Hafiz membeku di situ.

Dia memandang lama wajah Hafiz… nampak tak terurus dengan rambut panjang dan jambang yang meliar. Namun jangan menghakimi wajah seseorang hanya dengan melihat wajahnya sebab dia tahu Hafiz baru selesai mengerjakan solat. Orang yang tidak meninggalkan solat adalah orang yang baik kan.

Jika Hafiz seperti Tengku Fahad, sudah lama dia mengambil kesempatan ketika mereka berlanggar tadi. Tadi pun dia yang peluk Hafiz. Bukan sengaja… demi untuk menyelamatkan diri, tak salah kan.

“Cik… err…” Nafa terkejut dari lamunan apabila Hafiz bersuara.

“Terima kasih sekali lagi… semoga Allah memberi rahmat kepada encik. Saya pergi dulu.” Nafa segera beredar membuatkan Hafiz tercengang.

Hafiz hanya memerhati Nafa meninggalkan dia dengan pandangan yang aneh. Dia tidak sempat untuk bertanyakan Nafa jika benar Nafa mempunyai masalah. Apa yang membuatkan Nafa lari daripada mereka bertiga? Nafa tidak nampak seperti gadis jalanan. Nafa kelihatan elegan walaupun dalam keadaan yang agak serabut.

Hafiz garu kepala. Mengapa dia begitu lambat bertindak? Mungkin benar Nafa dalam kesusahan. Apakan daya kerana dia lambat untuk bertanya, dia terlepas Nafa begitu saja. Dia berdoa kemudiannya agar Nafa selamat dari sebarang ancaman. Hafiz menarik nafas apabila menyedari Nafa sudah hilang dari pandangannya.

“Kau termenung ingatkan siapa Hafiz?” Hafiz berkalih melihat Rosli yang sudah tersengih kepadanya. Rosnita yang berada di belakang Rosli turut memberi senyuman kepada Hafiz.

Hafiz pandang tangan Rosli dan Rosnita, matanya terbeliak. Dua beradik ini membeli jajan yang cukup untuk sepuluh orang makan. Dah macam tak ada kedai di kampung mereka. 

“Tak ada apa-apa. Kenapa Abang Li beli banyak sangat makanan tu?” tegur Hafiz.

“Habuan kita makan dalam perjalanan dan selebihnya untuk anak-anak abanglah. Mereka kalau abang tak belikan apa-apa, memang habis diamuknya satu rumah.” Rosli bercerita dengan penuh perasaan.

Hafiz sekadar mengangguk. Dia faham akan kerenah kanak-kanak, anaknya Hakim pun begitu. Setiap kali dia pulang ke rumah, Hakim akan menantinya di pintu hadapan. Hakim tidak mengharapkan hadiah yang mewah, cukup sekadar sekeping coklat Cadbury, hatinya sudah cukup gembira. Walaupun Hafizah melarang Hafiz membeli jajan kepada Hakim kerana khuatir gigi anaknya rosak tetapi Hafiz tetap membeli setiap kali habis kerja. Baginya hati berasa puas melihat wajah kesayangannya ceria dan gembira dengan pemberian yang kecil itu.

“Aku nak ke kedai sebentar, kau dan Rosnita tunggu dalam kereta. Bolehkan?” Hafiz rasa hendak membeli sesuatu kepada anak-anak Rosli. 

“Abang pun nak ke tandas. Nita, bawa barang-barang ni ke dalam kereta. Abang nak ke tandas sekejap. Nanti abang datang.” Rosli menyerahkan dua beg plastik kepada Rosnita.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now