Nafa segera memutuskan talian setelah mendengar suara Tengku Fahad. Kulitnya yang kuning langsat langsung bertukar pucat lesi, tangan terketar-ketar memegang telefon Hafiz. Tanpa berfikir lagi, Nafa terus mematikan telefon. Tindakannya mengundang rasa kehairanan kepada Hafiz.
“Kenapa Nafa? Apasal muka kau pucat? Takkan kau bercakap dengan hantu pula? Bukankah kau bercakap dengan papa kau?” Satu-satu soalan keluar daripada mulut Hafiz.
Nafa pandang Hafiz, mulut terketar-ketar untuk melafazkan kata yang sesuai untuk Hafiz. Ternyata dia amat risau setelah mendengar suara Tengku Fahad. Tiba-tiba dia rasa tidak selamat. Mungkin esok atau lusa Tengku Fahad dapat menjejakinya. Tubuhnya menggeletar.
Dia tidak rela untuk kembali ke pangkuan keluarga sekarang. Dia tahu jika dia balik, dia akan dipaksa oleh Datuk Johan supaya mengahwini Tengku Fahad untuk mengelakkan daripada dia melarikan diri lagi.
Nafa yakin papanya percaya cakap Tengku Fahad yang dia lari dengan lelaki lain. Ya… dia amat yakin. Soalan Hafiz tadi seolah-olah hilang di angin lalu dan dia sendiri tidak pasti apa yang Hafiz tanya. Apa yang dia fikirkan sekarang bagaimana hendak melepaskan diri daripada Tengku Fahad.
“Nafa! Nafa! Apa yang berlaku?” Hafiz cemas melihat Nafa terpegun dan keras di situ.
Suasana sepi seketika. Nafa masih berdiam diri, belum dapat menuturkan sepatah perkataan pun. Hafiz juga terpaksa menenangkan dirinya setelah melihat keadaan tidak mengizinkan Nafa bersuara. Mesti ada perkara yang besar berlaku setelah Nafa menerima panggilan tadi tapi rasanya sekejap saja Nafa berbicara, tak sampai lima minit… Nafa memutuskan talian.
Tak lama kemudian, Nafa memandang wajah Hafiz yang sedang tercengang melihat keadaannya yang umpama menerima berita kematian. Perlahan dia menggerakkan bibirnya yang sudah pucat itu.
“Hafiz, saya rasa awak kena buang kad sim awak tu.” Perlahan saja suara Nafa ketika mengusulkan cadangan itu.
“Tadi… tadi… lelaki yang saya cakap semalam… dia… dia… ada bersama papa.”
“Jadi?”
“Dia dah tahu saya ada kat mana kalau dia trace nombor awak. Kalau dia jumpa awak ada bersama saya…”
Hafiz termenung sejenak, cuba menghadam kata-kata Nafa. Dia hairan kenapa Nafa takut jika lelaki yang dikatakan itu akan menjumpainya di sini. Apa yang lelaki itu lakukan kepada Nafa? Dan Nafa nampak cukup takut jika lelaki itu bertemu dengannya bersama Nafa. Misteri Nusantara sungguh.
“Saya tak buat apa-apa dekat awak, kenapa awak begitu takut jika dia jumpa awak bersama saya?”
“Awak tak kenal dia. Dia bukanlah baik jika awak nak tahu, dia boleh lakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dia nak.”
“Sebab tu awak lari daripada dia? Kalau awak kata yang dia boleh dapatkan apa yang dia nak… kenapa awak lari daripada dia?”
Dang! Nafa terlangut pandang Hafiz tajam, kalaulah pandangnya boleh menikam rasanya dada Hafiz akan tembus penangan tusukan mata Nafa. Nafa ketap bibir… Hafiz lupa ke yang dia sudah beritahu yang dia tidak sukakan Tengku Fahad.
“Saya perlu berusaha… berusaha untuk melepaskan diri daripadanya. Okey… kalau awak tak faham tak apa. Saya akan pergi dari sini… maaf kerana susahkan awak.” Nafa bangun dan mahu berlalu dari situ.
Spontan… Hafiz pegang tangan Nafa. Nafa terkejut, begitu juga dengan Hafiz. Hafiz segera melepaskan tangan Nafa. Suasana menjadi janggal seketika. Hafiz berdeham untuk untuk menghilangkan rasa canggung di antara mereka. Nafa menggosok hidung, perbuatan yang selalu dia lakukan ketika dia berasa malu.
“Okey… kau relaks okey. Duduk dulu. Baiklah nanti aku buang sim kad aku tu, kalau itu yang kau mahu. Aku pun tak mahu kau pergi, nanti jadi apa-apa pada kau…”
Nafa senyum manis. Berjaya juga dia meyakinkan Hafiz supaya dia dapat tinggal lama di situ. Dia mengambil tempat duduk semula dan mencapai cawan kopi pekat lalu menghirup perlahan. Perit juga tekak menelan kopi pahit hingga berkerut wajahnya. Hafiz hanya mampu ketawa nipis melihat reaksi Nafa. Agaknya Nafa tidak pernah minum kopi kampung.
Hafiz mengambil telefon dan mengeluarkan kad sim lalu dipatahkan. Nantilah dia pergi beli kad sim yang baru. Lagi pun dia tidak mempunyai ramai kenalan, yang paling penting dalam senarai panggilannya adalah nombor Abang Rosli.
Hafiz pandang kad sim milik arwah Hafizah. Dia masih menyimpan telefon Hafizah kerana di dalam galeri telefon Hafizah ada banyak gambar-gambar Hafizah dan anaknya. Jika rindu mencengkam dada, dia akan membelek telefon itu dan melihat gambar mereka sepuas-puasnya. Ketika mematahkan kad simnya, Hafiz tersenyum sendiri.
Nombor itu tetap dapat dikesan walaupun kad sim sudah dimusnahkan. Mereka boleh mencari pemilik kad sim melalui syarikat telekomunikasi tetapi jika mereka berjayalah sebab susah bagi syarikat telekomunikasi mendedahkan pelanggan mereka kecuali… teman lelaki Nafa seorang yang amat berkuasa.
Hafiz sendiri hairan dengan dirinya. Kenapa dia mudah bersimpati dengan Nafa atau dia…
“Hafiz… jom… kita… kahwin…” perlahan saja suara Nafa menjengah ke telinganya sebelum dia sempat habis berangan.
Mata Hafiz membulat besar mendengar lamaran daripada Nafa. Belum habis satu bab, Nafa sudah buka bab baru. Hafiz rasa dadanya begitu sempit, nak bernyawa pun terasa susah.
“Are you out of your mind? Kepala kau ada terhantuk kat mana-mana ke atau kau dah hilang akal?” Hafiz mendengus keras.
Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut Nafa. Baru sehari kenal dengan Nafa dan tiba-tiba Nafa keluarkan cadangan yang tidak masuk akal langsung.
Walaupun terkejut rasanya dia perlu bertanya kepada Nafa apakah yang membuatkan Nafa berkata demikian. Kesian pula melihat Nafa yang tertunduk, mungkin malu kepadanya dan dia dapat melihat ada titisan air menitik di pipi Nafa. Hafiz menarik nafas panjang.
“Okey… cuba kau cerita kenapa kau… err… ajak aku kahwin ni?” Hafiz cuba bertindak rasional. Tak guna dia melatah sekarang, pasti ada penjelasan yang kukuh dari pihak Nafa.
Nafa bungkam. ‘Apa yang aku cakap ni?’ Kepala diketuk berkali-kali. Muka ditutup dengan kedua-dua tangannya. Malu… malu. Nafa tampar mulutnya dengan perlahan. Mulut tak ada insuran. Sekarang malu berganda-ganda melihat Hafiz tersenyum tipis di hadapannya.
“Hafiz… maafkan saya. Lupakan apa yang saya katakan tadi. Anggaplah saya dah hilang ingatan dan betul kata awak, saya dah hilang akal agaknya.” Nafa masih lagi menutup mukanya.
Hafiz sekadar mengangguk. Dia tidak mahu memaksa Nafa sementelah mereka baru saja berkenalan, itu pun secara tidak sengaja. Nafa bukanlah rakan sekampung atau kenalan rapat yang boleh menceritakan segala masalah kepadanya dan semestinya Nafa bukanlah teman wanitanya.
“Okeylah… lepas makan kau naik rehat dulu. Nanti bila kau dah tenang, kita bincang lagi. Kau jangan risau… tinggallah di sini buat sementara waktu. Aku yakin pasti ada jalan penyelesaiannya.”
Suara lembut Hafiz umpama air dingin yang mengalir di kali. Nyaman dan syahdu sekali. Nafa hampir larut dalam renungan mata helang Hafiz. Tanpa sedar kepala diangguk berkali-kali. Senyuman manis diberi kepada Hafiz.
Hafiz pula terpesona melihat senyuman manis Nafa. Hari ini baru dia dapat melihat wajah sebenar Nafa. Jelas di matanya wajah kacukan yang dimiliki oleh Nafa. Cukup sempurna dari hujung rambut hingga hujung kaki. Cuma itulah… rambutnya tidak ditutup tapi Hafiz tidak dapat berbuat apa-apa lagi mengenai perkara itu. Nanti bila menjadi haknya barulah Hafiz akan menekankan kepentingan menutup aurat kepada Nafa. Eh… kenapa pula dia terfikir sehingga ke tahap itu.
Tersedar yang dia sudah berfikir terlalu jauh, Hafiz segera bangun dan keluar dari dapur tanpa sempat menghabiskan makanannya, membuatkan Nafa terpinga-pinga. Dah kenapa pula Hafiz seperti dikejar hantu?
Hafiz sudah pergi jauh tanpa menoleh ke belakang lagi.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...