BAB 8

187 15 0
                                    

Ford Ranger Rosli berhenti betul-betul di hadapan rumah Hafiz. Hafiz turun dan mengambil barang yang dibeli tadi dan memberi kepada Rosli.

“Nah, Abang Li…” Hafiz sua sebungkus plastik berisi jajan dan diberi kepada Rosli.

“Apa ni Hafiz?” Rosli hairan melihat banyak makanan di dalam bungkusan itu.

“Untuk anak-anak abang.”

“Tapi…”

Hafiz tidak pedulikan Rosli, dia terus berpaling dan berjalan menuju ke rumahnya. Rosli garu kepala. Tidak guna melawan cakap dengan Hafiz, buang air liur saja. 

“Terima kasih Hafiz. Semoga Hafiz murah rezeki. Aamiin.” Hafiz sekadar angkat tangan kepada Rosli tapi dalam hati dia tetap mengaminkan doa Rosli.  

“Bye Abang Hafiz,” jerit Rosnita dari dalam kereta. Hafiz tidak membalas lambaian Rosnita dan dia terus menuju ke rumahnya.

“Apa ni Nita… malulah sikit. Kamu tu anak dara. Jangan gelenyar sangat boleh tak?” Rosli cukup marah dengan perangai tidak semenggah adiknya.

Rosnita hanya ketawa, tidak mahu membalas kata-kata abangnya. Cukuplah hanya dia saja yang tahu bahawa dia menganggap Hafiz sebagai abang sahaja. Biarlah abangnya hendak tuduh apa saja kepadanya tetapi dia masih tahu batasannya. Dia tidak mahu menambah lara di hati Hafiz dengan berkelakuan tidak sopan di hadapan Hafiz.

Rosli terus memandu untuk pulang ke rumah. Dia yang masih tinggal bersama ibunya kerana tidak mahu meninggalkan Mak Som keseorangan. Rosnita pula sedang belajar dan akan pulang semasa cuti semester saja. Adik beradik yang lain sudah berumahtangga dan mengikut suami masing-masing. Nasib baik isterinya Muna tidak banyak kerenah malah hubungan Muna dan Mak Som sememangnya baik. 

Nafa turun dari pickup Rosli ketika Rosli menghantar Hafiz di rumah. Tiada siapa menyedari kehadirannya kerana suasana di situ agak gelap. Pokok buah-buahan yang ditanam di sekeliling rumah membuatkan kawasan itu gelap. Dia menyorok di sebalik pokok nangka yang terdapat di sudut rumah Hafiz.

Nafa memerhati kawasan sekeliling rumah Hafiz. Dia melihat rumah kayu yang agak besar di hadapannya. Rumah lama tapi masih cantik walaupun sedikit usang. Tangga batu berwarna merah bata tegak berdiri mengunjur terus ke pintu utama. Tingkap ditutup rapat juga jenis kayu bukan tingkap kaca atau nako.

Ruang bawah rumah agak lapang, hanya terdapat sebuah kereta yang diselimut dan sebuah motor kapcai. Mungkin dapur dibina di bahagian bawah rumah itu sebab Nafa nampak ada pintu yang juga tertutup rapat. Hari sudah malam, mestilah semuanya tertutup… Nafa garu kepala mengenangkan kebodohannya apabila perkara itu terlintas di kepalanya.

Suasana sunyi sepi dan Nafa mendengar bunyi air bercurahan, tuan rumah membersihkan diri agaknya. Kemudian Nafa mendengar tapak kaki kedengaran di atas kepala, tuan rumah masuk bilik… tekanya lagi. Tak lama suasana menjadi sepi… tuan rumah sudah tidur rasanya.

Nafa pandang lagi sekeliling. Mana aku nak tidur malam ni? Dalam takut-takut berani, Nafa menapak ke belakang rumah. Nasib baik bulan cerah, boleh juga dia melihat walaupun keadaan agak kelam. Nafa tersenyum melihat sebuah bangsal di tepi reban ayam. Jadilah daripada kena tidur di bawah pokok.

Dia melangkah seperti pencuri, tidak mahu mengejutkan tuan rumah. Pintu bangsal ditolak perlahan. Nasib menyebelahinya apabila pintu tidak dikunci. Mesti tiada barang berharga di dalam bangsal itu, tuan rumah langsung tidak peduli untuk mengunci bangsal. Nafa meninjau sekeliling bangsal, oh… tempat letak barang lama rupanya. Bangsal itu agak bersih bagi sebuah bangsal.

Ada katil bujang yang buruk. Bagus! Boleh tidur di situ malam ini walaupun tilam sudah terlalu lusuh. Nafa tidak kisah janji boleh tidur. Eh! Ada selimut juga. Cantik! Nafa tersengih dalam kesamaran gelap bangsal itu. Nafa mengeliat, badannya sudah sakit sana sini kerana perjalanan yang jauh dan duduk dalam keadaan yang tidak selesa.

Nafa panjat katil. Beralaskan lengannya, dia tidur mengiring. Dia tidak pedulikan bau hapak yang menyengat hidungnya. Syukur kerana ada tempat berlindung buat sementara waktu. Selimut ditarik hingga ke dada, tidak sempat menghabiskan ayat tiga Qul, Nafa sudah belayar ke alam mimpi yang indah.

HAFIZ bangun terduduk ketika dia baru hendak melelapkan mata apabila mendengar bunyi datang dari bangsal belakang rumah. Dia menelinga jika terdapat bunyi lagi tetapi keadaan sunyi sepi membuatkan dia tidak jadi untuk melihat keluar. Mungkin kucing masuk nak beranak kut. Kalau pencuri buat apa masuk bangsal, bukannya ada barang berharga pun.

Hafiz kembali berbaring dan memejamkan mata. Namun dia tidak dapat melelapkan mata kerana masih lagi terbayang peristiwa di stesen minyak tadi. Mata dibuka kembali dan tumpuannya kepada siling biliknya. Dia cuba merakam kembali kisah perempuan itu meminta pertolongannya.

Sebetulnya Hafiz tidak dapat melupakan wajah Nafa kerana wajah Nafa agak berlainan jika dibandingkan dengan gadis di kampung ini. Wajah kacukan dengan mata dan rambut berwarna coklat keperangan. Siapa dia? Apa yang dia buat di sana? Musibah apa yang ditanggungnya sehingga terpaksa meminta pertolongannya? Adakah dia mangsa culik?

Memikirkan kemungkinan tersebut, dada Hafiz bergetar hebat. Kenapa dia begitu lalai sehingga membiarkan wanita itu pergi begitu saja? Sepatutnya dia tanya nama atau sekurang-kurangnya memberi bantuan yang sewajarnya tapi dia membiarkan Nafa pergi begitu saja. Peluh merecik lebat di wajah Hafiz apabila dia terfikirkan jika Nafa tidak dapat menyelamatkan dirinya dan dibunuh kejam. Gulp!

Hafiz turun dari katil dan segera ke bilik air. Dia mengambil wuduk dan melakukan solat sunat hajat untuk kesejahteraan Nafa walaupun dia tidak mengenali Nafa. Dalam doanya dia berharap agar Nafa diberi perlindungan sewajarnya dan jika diberi kesempatan dia akan menyelamatkan Nafa dari sebarang musibah jika dia berjumpa lagi dengan Nafa.

Selesai  solat sunat hajat barulah Hafiz berasa agak tenang dan melelapkan mata. Keletihan mula menjamah tubuhnya dan sebelum benar-benar terlena, dia sekali berdoa di dalam hati agar Nafa selamat kerana dia tidak dapat memaafkan dirinya jika dia terbaca berita tentang kematian Nafa. Sesungguhnya dia berharap agar dapat berjumpa dengan Nafa lagi.   

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now