BAB 18

195 17 3
                                    

Sudah tiga hari Hafiz mengajar Nafa mengaji dan solat. Alhamdulillah Nafa dapat mengikuti dengan mudah. Walaupun sudah lama tinggalkan semuanya tapi dia sudah mengetahui asas solat dan mengaji Al Quran daripada ajaran Mak Bib. Apa yang perlu dia buat adalah menghafal kembali surah dan rukun solat. Nasib baik dia tidak lupa surah Al-Fatihah.

Setiap malam, Hafiz akan tidur di rumah Mail dan meninggalkan Nafa seorang diri. Hafiz akan kembali pada waktu siang. Dia akan membeli sarapan pagi untuk Nafa dan untuk makan tengah hari, Hafiz akan memasak untuk mereka berdua. Nafa sendiri mengaku yang dia tidak tahu memasak dan Hafiz tidak kisah akan hal tersebut.

Pagi itu selepas Hafiz membeli sarapan untuk Nafa, dia keluar untuk bertemu dengan Abang Rosli. Hafiz berasa tidak senang untuk tinggal berdua dengan Nafa walaupun pada waktu siang kerana dia mula merasakan hubungan mereka bertambah intim. Nafa mungkin tidak menyedari perkara ini tetapi Hafiz rasa semakin tertarik kepada Nafa.

Tanpa meninggalkan sebarang pesanan, Hafiz terus pergi dengan motosikalnya. Hala tujunya ialah ke rumah Abang Rosli. Hafiz perlu mendapat nasihat daripada Abang Rosli mengenai perkara yang merunsingkannya sehari dua ini.

Setibanya di rumah Abang Rosli, Hafiz melihat Abang Rosli sedang membasuh pickup kesayangannya. Motosikalnya di parkir di tepi pickup Abang Rosli.

“Abang Li, tolong basuh motor saya sama.” Hafiz dengan selamba menegur Abang Rosli.

Abang Rosli yang sedang menjirus tayar pickup agak tercengang mendengar suara Hafiz menegurnya tanpa memberi salam seperti kebiasaan. Getah air diletak lalu paip air ditutup rapat. Abang Rosli berjalan menghampiri Hafiz dengan pandangan aneh. Dia bertambah hairan melihat senyuman Hafiz. Dah berapa tahun dia tidak melihat senyuman Hafiz tetapi hari ini Hafiz nampak berlainan sekali. Abang Rosli pandang langit.

“Kenapa Abang Li? Hari nak hujan ke?” Hafiz pula pelik tengok Abang Rosli pandang langit. Nak tengok masa ke macam orang dulu-dulu.

“Haah… Abang Li rasa hari ni nak ribut taufan.”

“Hai, sejak bila Abang Li jadi ahli kaji cuaca ni? Dah tinggalkan kerja kontraktor ke?” Hafiz ketawa kecil pula.

Abang Li semakin pelik melihat Hafiz. Wajah Hafiz dipandang lama dan dia menyentuh dahi Hafiz. Sejuk saja dahi Hafiz, tak rasa macam demam pun tapi kenapa hari ini Hafiz kelihatan agak pelik pula.

“Kenapa?”

“Hafiz masa datang sini tadi, tak kena sampuk dengan apa-apa kan.”

Hafiz menggeleng, senyuman masih belum pudar di bibir.

“Tapi Abang Li tengok Hafiz dah berubah hari ini. Ada apa-apa yang Abang Li tak tahu ke?” Abang Li urut dagu.

Hafiz hanya senyum sumbing. Hafiz mengajak Rosli pergi ke satu tempat jauh dari rumah, senang untuk berbicara. Dia tidak mahu orang lain mendengar apa yang dia akan cakapkan kepada Rosli. Mahu tidak mahu Rosli terpaksa mengikut Hafiz walaupun kerja mencuci pickup belum lagi selesai.

Sampai di tempat yang sunyi, Rosli mulai berasa pelik dengan Hafiz. Bulu roma mula meremang, Rosli pandang sekeliling. Tidak puas hati, Rosli menunduk lalu melihat melalui celah kangkangnya. Hafiz sudah ketawa terbahak-bahak melihat telatah Rosli.

“Abang Li, ni sayalah Hafiz. Bukannya hantu.” Hafiz mengambil tempat di sebuah batu besar di tepi sungai.

Hafiz membawa Rosli ke sungai di kampung mereka. Sungai yang menjadi tempat berkelah di hujung minggu sebab itu Rosli agak cuak kerana tempat itu agak sunyi pada waktu ini.

“Abang pelik ja dengan Hafiz, tu sebab abang tengok bawah kelangkang abang. Betul ke kaki Hafiz jejak tanah.” Rosli masih lagi berdiri agak jauh daripada Hafiz.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now