Ferhad termenung sambil memikirkan sesuatu dalam bilik pejabatnya. Dalam fikirannya asyik terbayangkan wajah Nafa. Nafa Arleanne Karyl, anak gadis Datuk Amin Mehboob, seorang usahawan yang berjaya. Selama dia melindungi aset Datuk Amin atas arahan Datuk Fuad, dia langsung tidak menyedari akan kewujudan anak gadis Datuk Amin.
Ferhad ketawa, mula-mula perlahan tapi lama kelamaan tawanya menjadi bertambah kuat. Entah mengapa dia merasa lucu. Ketawakan kebodohannya, mungkin. Selepas berhenti ketawa, Ferhad mendengus keras. Dia terbayang wajah Tengku Fahad pula. Pandai Tengku Fahad sembunyikan Nafa daripada pengetahuannya. Mesti Tengku Fahad takut dia caras Nafa tapi bila Nafa hilang, pandai pula minta tolong daripadanya.
Pintu bilik pejabat diketuk membuatkan bayang Tengku Fahad terbang dari fikiran Ferhad. Keizinan diberi kepada sesiapa yang mengetuk pintu biliknya. Ferhad memaku pandangan apabila pintu biliknya dibuka. Muncul Black, orang kanannya bersama senyuman menghiasi bibir. Black meletak satu fail di hadapan Ferhad sebelum dia duduk bertentangan Ferhad.
“Apa yang kau dapat?” Ferhad hanya memandang fail tersebut tanpa mahu menyentuh.
“Semua ada dalam fail tu, bos boleh baca.” Black masih lagi tersenyum tanpa menyedari bala yang akan datang sebentar lagi.
“Apa gunanya kau kalau aku yang kena baca. Aku lebih suka dengar dari mulut kau,” sergah Ferhad.
‘Dia malas nak baca, bukan aku tak tahu.’ Black mengomel dalam hati.
“Suara saya sedapkan bos. Kalau saya masuk pertandingan nyanyian mesti jadi juara. Okey… okey… saya bergurau saja.” Black tutup muka dengan tangan apabila Ferhad acah-acah nak baling ashtray.
“Begini bos. Saya dah siasat kampung yang cik adik sepupu bos lari tu. Jauh ke pedalaman. Ambil masa juga nak ke sana. Dan ya, di situ juga kampung Raf, bekas kawan bos…”
“Dia bukan kawan aku! Dia pengkhianat dalam kumpulan kita!” Sebelum sempat Black menghabiskan ceritanya, Ferhad sudah potong apabila Black menyebut Raffa sebagai kawannya.
Black terkejut apabila Ferhad menjerkah, kus semangat. Nasib baik jantung Black masih sihat, kalau tidak rasanya dia kejung di situ juga. ‘Agak-agaklah nak marah pun, aku sekadar beritahu dia apa yang aku tahu tapi silap aku juga sebut kawan baik dia. Eh! Memang Raf kawan baik dia kan… dulu.’ Black membebel dalam hati. Tak tahulah jika Ferhad boleh dengar isi hati Black, mungkin Black dah jadi arwah.
“Okey… okey… sekarang bos nak saya buat apa?”
Ferhad membisu tanpa mahu menjawab soalan Black. Fikirannya kusut ketika ini kerana dia juga tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Perlukah dia bunuh Raf? Dulu pun Tuan Felix tidak benarkan dia bunuh Raffa tapi dia perintahkan Luke untuk membunuh Raffa tanpa pengetahuan Tuan Felix. Ferhad masih lagi merasa tidak selamat jika Raffa masih hidup walaupun selama ini Raffa tidak pernah mengganggu atau muncul di hadapannya.
“Bos?” Black memanggil setelah melihat Ferhad asyik termenung. “Bos!!”
Panggilan kuat Black mengejutkan Ferhad. Hilang wajah Raffa yang dulu sangat kacak kepada wajah serupa orang utan tapi masih lagi kacak. Kekacakan Raffa yang membuatkan Ferhad amat cemburu selain daripada kekuatan serta kedudukan sebagai orang utama dalam kumpulan mereka.
“Apa akan jadi kalau aku bunuh Raf?” Entah tiba-tiba saja Ferhad menjadi ragu-ragu dengan keputusannya. Tadi dia sangat bersemangat untuk membunuh Raffa kali kedua.
“Hahh?!” Black garu kepala. ‘Kenapa pula bos aku sekarang? Tadi bukan main semangat, sekarang tanya aku balik. Kalau aku jawab, agak-agak bos terima tak?’ Black masih lagi berkira-kira, tak tahu sama ada hendak jawab atau diam saja. Susah juga kalau dia silap jawab, silap-silap dia pula kena tembak. Ferhad bukan boleh harap, angin puting beliungnya semua orang tahu. Sebab itu ahli-ahli kumpulan mereka amat jarang memberi pendapat atau melawan cakap Ferhad, iakan saja apa yang diperintahkan. Tidak kira jika suruhan itu melakukan perkara yang buruk kerana mereka tahu buruk padahnya melawan Ferhad. Sia-sia.
“Macam ni, bos,” lalu Black bisik ke telinga Ferhad rancangannya.
Ferhad sekadar mengangguk, agak suka dengan rancangan Black. Untung juga Black sudah lama bekerja dengannya maka Black sudah faham mengenai segala rancangan-rancangan jahat yang dilakukannya.
“Mana Luke?” Black sekadar angkat bahu.
*
*
*
Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Nafa masih lagi belum tidur walaupun Rosnita sudah belayar entah ke mana. Nafa pandang Rosnita dengan pandangan sayu. Fikirannya melayang memikirkan perbincangan di antara Hafiz, Abang Rosli dan Luke.
Nafa menarik nafas. Dia terus bangun dan duduk di tepi katil, membelakangkan Rosnita. Jiwanya merusuh. Dia risau akan keselamatan keluarga Mak Era jika dia masih tinggal di situ. Dia tahu Tengku Fahad adalah seorang yang berbahaya tapi dia juga tahu ada perkara yang lebih teruk akan berlaku jika Tengku Fahad datang. Apa dia? Dia sendiri buntu.
Nafa pandang sekilas Rosnita yang sudah belayar entah ke mana. Hatinya sudah jatuh kasih kepada Rosnita, sudah tentu sebagai seorang adik. Dia yang dilahirkan sebagai anak tunggal sangat suka jika dia mempunyai adik- beradik yang ramai.
Bukan setakat Rosnita malah dia sudah jatuh cinta dengan seluruh ahli keluarga Mak Era. Mereka semua sudah menghiburkan hatinya sejak dia tinggal bersama-sama. Nafa rasa dia tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya tapi bagaimana pula dengan papa, mama dan Mak Bib? Nafa mengeluh keras. Sudah semestinya dia perlu pulang ke pangkuan keluarganya tapi bagaimana pula dia akan menghadapi Tengku Fahad.
Tengku Fahad. Nafa bencikan Tengku Fahad. Bagaimana caranya dia hendak putuskan hubungan dengan Tengku Fahad? Nafa buntu. Papa mesti tak percaya jika dia beritahu Tengku Fahad bukanlah seperti yang disangka. Papa hanya tahu Tengku Fahad adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya di usia muda. Nafa tahu papa perlukan pengaruh Tengku Fuad untuk dia lebih berjaya dalam bidangnya.
Kata-kata Abang Rosli tadi juga membuatkan Nafa tersentak dan malu.
“Abang Li rasa lebih baik Nafa balik kepada keluarga Nafa. Tengku Fahad sudah tahu Nafa ada di sini. Abang takut nanti keluarga abang cedera jika Tengku Fahad bertindak.” Abang Rosli mengeluarkan rasa hatinya tanpa sempat Hafiz memulakan mukadimahnya.
“Abang Li! Bukan ini yang kita bincangkan tadi!” Hafiz bangun dan mendapatkan Abang Rosli. Bahu Abang Rosli dipegang tapi ditepis keras membuatkan Hafiz terkedu.
Luke hanya membatu tanpa mahu masuk campur. Dia rasa lebih baik dia diam buat masa ini kerana dia takut semuanya akan terbongkar jika dia turut sama dalam perbualan ini. Hafiz aka Raffa sudah memberi amaran kepadanya agar jangan sampai sesiapapun tahu siapa dia dan Abang Rosli dulu.
“Abang Li! Hafiz! Apa semua ni?!” Nafa turut bangun dari duduknya. Suaranya tertahan supaya tidak kedengaran di telinga Mak Era, Rosnita dan Kak Muna. Masalah akan menjadi besar jika ketiga-tiga beranak itu tahu dirinya terjebak dengan Tengku Fahad.
“Abang Li dah tahu kenapa Nafa lari dan Abang Li kenal siapa Tengku Fahad.”
“Erk…” mulut Nafa ternganga. “...ma… ma… macam… mana Abang Li tahu? Hafiz?”
“Tak payah tanya Hafiz ohhh… selama ini Nafa tipu keluarga Abang Li. Nafa ada hubungan dengan Tengku Fahad. Nafa tahu tak siapa Tengku Fahad?”
“Nafa… Nafa… tak…” Nafa menghempaskan punggungnya ke atas kerusi di beranda itu. Wajahnya ditutup, malu untuk menatap wajah Abang Rosli. Rahsia yang dipegang selama ini sudah diketahui. “Tapi macam mana Abang Li tahu siapa Tengku Fahad? Tak ada siapa tahu Tengku Fahad jahat kecuali…”
Abang Rosli telan liur, begitu juga Hafiz. Sudah! Takkan rahsia mereka juga akan terbongkar malam ini?
Hafiz melurut rambut panjangnya. Tiba-tiba saja darahnya berderau. Kalau Nafa tahu Tengku Fahad dari dunia gelap mesti Nafa juga mengagak mereka juga dari dunia yang sama. Tidak susah untuk seorang yang terpelajar seperti Nafa meneka semua ini.
Betul tak?
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...