BAB 27

173 15 0
                                    

Hazwanie melempar telefon bimbitnya ke dinding. Dia melepaskan geram dengan menjerit sekuat hati. Hatinya hancur setelah melihat gambar Hafiz dan Nafa berjalan seiringan ke klinik tadi. Gambar yang dihantar oleh Zamri meremuk hatinya sehingga hancur. Walaupun tidak adegan mesra pun di antara Hafiz dan Nafa tetapi keprihatinan Hafiz membawa Nafa untuk merawat luka membuatkan Hazwanie menumbuk dinding berkali-kali.

Perbuatan Wanie membuatkan Mak Temah ternganga. Ruang tamu rumahnya seperti dilanggar garuda, bantal-bantal yang disusun begitu elok di atas sofa, berterbangan merata tempat. Kedudukan sofa juga berubah tempat. Mujur televisyen masih berada di tempatnya, kalau pecah televisyen 56 inci itu mungkin kepalanya akan dipenggal oleh Pak Karim. Mak Temah pandang telefon bimbit Wanie yang sudah berkecai. Dia hanya mampu menggeleng. Entah hantu mana pula yang merasuk anak gadisnya hingga berkelakuan seperti orang gila.

“Wanie dah kenapa? Hantu mana merasuk Wanie pula?” Mak Temah mengutip bantal-bantal dan meletak kembali di atas sofa.

“Erggghhhh! Mak tahu tak?” Mak Temah menggeleng. “Mak! Wanie sakit hati ni! Kenapa mak geleng-geleng kepala pula?!”

“Wanie tanya mak tahu tak? Mak tak tahu sebab tu mak geleng kepala. Kalau mak tahu, mak angguk kepala.” Mak Temah tahan ketawa. Bukan dia tak tahu, kalau Wanie mengamuk mesti disebabkan oleh Hafiz tapi dia sengaja buat tak tahu.

“Mak boleh tak jangan buat lawak? Wanie sakit hati sekarang ni, tau tak?” Wanie cekak pinggang.

Mak Temah duduk, penat pula tengok Wanie sedang  beremosi. Datang bulan agaknya. “Baik, cuba Wanie cerita apa masalah Wanie ni?”

“Mak tahu tak… Abang Hafiz bawa perempuan bandar tu ke klinik.”

“Jadi, apa masalahnya?”

“Isyyy… mak ni. Buat-buat tak faham pula. Kenapa Abang Hafiz yang bawa ke klinik? Bukannya Rosnita? Mesti Abang Hafiz ada hubungan dengan perempuan tu.” Wanie mendengus keras.

“Wanie, boleh tak fikir pakai akal? Tanya dulu Rosnita, kenapa Hafiz yang bawa budak tu ke klinik. Bukannya buat tanggapan sendiri. Ni tak, mengamuk tak tentu pasal. Penat tau mak tengok Wanie. Mana pergi sifat lemah lembut dan sopan santun Wanie selama ini?”

“Mak tau Wanie sayangkan Hafiz tapi kita orang perempuan tak boleh jadi timba cari perigi. Sifat malu mesti ada. Mak tak mau orang mengata anak mak terhegeh-hegeh nakkan duda tu. Malu tau. Mana mak nak letak muka bila kawan-kawan mak duk mengata kat Wanie.”

Wanie ketap bibir.

“Lagi satu mak nak tanya. Kenapa kawan Nita tu pergi klinik? Sakit ke?”

“Err… errr… tadi Wanie pukul dia.”

Mak Temah hanya mampu beristighfar sambil mengurut dada. Sesak dadanya melihat watak Wanie bertukar semenjak sehari dua ini. Dia hairan kenapa Wanie boleh bertukar sikap. Dulu Wanie tidak pernah berkelakuan begini. Mak Temah risau melihat keadaan Wanie sekarang. Sejak bila anaknya bertukar menjadi ganas? Adakah kerana terlalu obses kepada Hafiz membuatkan Wanie bertukar karakter? 

“Mak! mak masak apa hari ini?” Wanie jerkah Mak Temah yang sedang mengelamun.

“Oh mak kau ganas! Ish… budak ni, buat mak terkejut saja. Mak masak macam biasa. Kenapa?” Mak Temah urut dada, terkejut dengan jerkahan Wanie.

“Hmmm… Wanie nak hantar sikit kat Abang Hafiz. Mesti dia lapar kan mak.” Wanie senyum meleret.

“Tapi Wanie…” Mak Temah sembunyi kata melihat Wanie berlalu ke dapur. Dia memegang dahi. Hendak melarang nanti Wanie merajuk, susah pula dia nak jawab dengan Pak Karim. Pak Karim sayang sangat dengan anak bongsunya. Mungkin kerana selalu disayangi dan dilindungi oleh Pak Karim maka Wanie selalu bertindak mengikut rasa hatinya. Mak Temah mengeluh perlahan, harap-harap Wanie tidak dikecewakan lagi.

*

*

*

Hafiz dan Nafa terus kembali ke rumah Mak Saerah selepas ke klinik. Ketibaan mereka disambut dengan penuh kelegaan oleh Mak Saerah, Rosli, Kak Mona dan Rosnita. Rosnita segera menerpa ke arah Nafa yang sedang turun dari pikap Rosli. Rosnita memimpin tangan Nafa untuk masuk ke dalam rumah.

“Nita, Kak Nafa okeylah. Bukan sakit teruk pun.” Nafa terharu dengan keprihatinan Rosnita.

“Kak Nafa kata okey tapi tengok muka Abang Hafiz berkerut macam tu, mesti Kak Nafa cedera parah kan.” Rosnita sembunyi senyum.

Mak Saerah, Rosli dan Kak Mona mengalih pandangan ke arah Hafiz yang masih lagi termangu di tempat duduk pemandu. Terasa diri diperhatikan, Hafiz pula memandang kepada tiga orang insan yang memerhatinya dengan penuh asyik. Dahinya berkerut dan dia mengangkat kening kepada Rosli membuatkan Rosli ketawa dengan kuat.

“Kenapa Abang Li?”

“Errr… Nafa okey ke?”

“Okey, dia tak cedera teruk cuma calar-calar sikit saja.”

“Ouh, haaa… tak apalah kalau begitu.”

“Nita, bawa Kak Nafa naik atas. Bagi dia berehat. Lepas makan bagi dia makan ubat. Ubat ada kat Kak Nafa.” Hafiz memberi arahan kepada Rosnita membuatkan Rosli tercengang.

“Baik Abang Hafiz. Jom kak, kita naik berehat.” Rosnita tarik tangan Nafa.

“Tapi… Kak Nafa tak sakit pun. Kak…”

“Ikut Nita, Nafa. Lagi satu Nita, jangan bawa Kak Nafa ke mana-mana. Abang tak izinkan.” 

“Eh?” Nafa cuba protes tapi Hafiz sudah turun dari pikap dan mengambil motornya lalu meninggalkan kediaman Mak Saerah.

Mak Saerah dan Kak Mona ketawa selepas Hafiz hilang dari pandangan mereka. Lucu pula mereka dengar arahan Hafiz. Dah macam suami pula tak izinkan bagai. Nafa garu kepala, muka sudah berubah merah. Malu pula dia dengan keluarga Mak Saerah.

“Dah kak, jom masuk. Nanti Abang Hafiz marah Nita pula sebab tak jaga buah hatinya dengan baik.” Rosnita masih belum melepaskan tangan Nafa.

“Betul tu Napa. Masuklah berehat dulu. Nanti kita makan tengah hari bersama ya?” Mak Saerah usap belakang Nafa.

“Mak Era… Nafa tak sakit teruk pun. Hafiz pun satu hal. Layan Nafa macam Nafa sakit sampai tak boleh keluar. Nafa tak puas lagi makan kat dusun tu.” Nafa tarik muncung.

“Hafiz larang sebab dia sayang.” Mak Era senyum lalu masuk ke dalam rumah, nak sambung kerja yang terbengkalai tadi.

Rosli dan Mona juga ketawa kecil namun mereka mengakui kata-kata Mak Saerah tadi. Betul kata Mak Saerah. Mungkin Nafa tidak nampak kelakuan Hafiz terhadapnya tapi seluruh keluarga Mak Saerah tahu yang Hafiz menaruh hati kepada Nafa. Hafiz tidak perlu mengucap kata-kata cinta tapi mereka nampak Hafiz begitu lembut dengan Nafa sehinggakan sanggup membawa Nafa ke klinik padahal luka Nafa tak separah mana.

Nafa menggaru kepala yang tidak gatal, cuba untuk memahami kata-kata Mak Saerah. Sayang? Hafiz sayang kepadanya? Ahhh… tak mungkin! Nafa berbolak balik dengan perasaannya sendiri. Dia hampir terloncat apabila Rosnita menjerit memanggilnya dengan nyaring.

“Kak Nafa! Masuklah. Nanti Abang Hafiz marah Nita pula kalau jadi apa-apa kat kak.” Rosnita senyum senget.

Nafa menarik nafas panjang lalu mengatur langkah deras masuk ke dalam rumah. Lebih baik dia ikut saja mereka sebelum mereka mengusiknya dengan lebih teruk lagi. Mata menjeling tajam ke arah Rosnita yang sedang galak gelak kepadanya begitu juga Mak Saerah, Rosli dan Kak Mona.

“Bencilah!” Kaki dihentak kuat dan Nafa berlari ke dapur, pura-pura merajuk. Tak kuasa dia nak rehat dalam bilik. Bukan dia sakit teruk pun. Dia nak makan nasi dengan gulai rebung sementelah perutnya sudah menyanyi lagu rock.

Bunyi ketawa empat beranak masih kedengaran namun akhirnya Nafa juga ikut ketawa. Air matanya tiba-tiba menitis perlahan apabila dia terkenangkan mamanya dan Mak Bib. Nafa mengesat air mata dengan belakang tangan, tidak mahu mereka nampak dia menangis. Nanti-nantilah dia balik ke pangkuan keluarganya kerana dia merasa nyaman berada bersama keluarga Mak Saerah.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now