Nafa terbangun dari tidur apabila matahari menyuluh wajahnya melalui serpihan bumbung yang bocor. Nafa bangun dan mengeliat sepuasnya. Lenanya cukup panjang dan nyenyak, bukannya dia tidur di atas tilam empuk pun. Kepalanya melingas ke kiri kanan, melihat sekeliling. Tiba-tiba perutnya berbunyi… kriuuukkkk.
Alamak! Perutnya sudah memberi isyarat supaya diisi. Nafa tekan perutnya, baru teringat yang kali terakhir dia makan waktu tengah hari kelmarin. Teringat pula siput sedut Mak Bib, Nafa telan liur. Nafa terbayangkan wajah Mak Bib. Mesti Mak Bib risaukan dia tidak pulang semalam. Entah mama dan papa sedar atau tidak dia tak pulang.
Dia malas untuk memikirkan tentang kedua ibubapanya, apa yang penting sekarang ialah perutnya perlu diisi terlebih dahulu. Nafa bangun dari katil bujang dan menapak perlahan menuju ke pintu. Perlahan dia mengintip dari celah pintu, untuk memastikan tiada siapa nampak dirinya.
Sunyi sepi.
Tiada orang dalam rumahkah? Nafa buka pintu bangsal dengan luas. Tangan didepangkan, mengambil oksigen. Wahhh! Nyamannya. Nafa tidak pernah menghirup udara sesegar begini. Walaupun ada pokok sekeliling vila tapi udaranya tidak sama. Nafa tidak tahu kenapa.
Nafa pandang sekeliling, barulah dia nampak keadaan sekeliling. Nafa terpegun melihat rumah tradisional yang begitu besar tersergam indah tapi kenapa nampak suram? Sesuatu berlaku di rumah inikah? Ah! Semua itu tak penting, yang penting sekarang dia mesti mencari makanan.
Nafa pandang ke bahagian belakang rumah, dia nampak dapur terdapat di bahagian bawah rumah. Langkah diatur ke pintu dapur, Nafa menjenguk melalui tingkap yang terbuka sikit. Tiada siapa di dapur. Mungkin penghuninya sudah keluar.
Nafa tolak pintu dapur… terbuka. Alhamdulillah. Teruk betul tuan rumah, pintu pun tak kunci. Kalau pencuri masuk teruklah. Nafa ketawa kecil… sekarang dialah pencuri itu. Nafa memandang sekeliling dapur. Kemas walaupun tidak secantik dapur vilanya. Suasana dapur agak lama dan perkakas pun dah lama, tidak seperti vilanya yang serba serbi moden.
Tak kisahlah… janji ada makanan yang boleh dibuat alas perutnya. Nafa nampak biskut kering Hup Seng di atas meja. Dia lihat cerek air di atas dapur, dipegang cerek itu… masih terasa hangat. Bolehlah bancuh air. Nampaknya tuan rumah tak pakai penapis air. Patutlah ada cerek legend kat situ. Dia nampak Milo 3 in 1 di atas kabinet dapur, Nafa tarik senyum. Dia membancuh milo dan setelah siap dia mengambil bungkusan biskut kering dan membawa keluar bersama air milo ke bangsal.
Harap-harap tuan rumah tidak sedar akan kehilangan biskut kering dari dapur mereka. Nafa terlupa akan masalahnya semalam apabila berada di situ. Entah kenapa dia berasa aman dan tenang walaupun duduk dalam bangsal yang serba kekurangan.
DATUK JOHAN merenung marah ke arah Tengku Fahad. Datin Najla menangis tidak berhenti dari semalam. Kehilangan Nafa membuatkan Datuk Johan dan Datin Najla tidak senang duduk. Pengkhabaran yang dibawa oleh Tengku Fahad langsung tidak boleh diterima oleh Datuk Johan dan Datin Najla.
“Betul uncle… Fad nampak sendiri dia ikut lelaki itu.” Tengku Fahad cuba meyakinkan Datuk Johan.
“Uncle macam tak percaya Ann buat perkara begitu, setahu uncle dia tak suka mana-mana lelaki. Fad ada bergaduh dengan Ann ke?” Datuk Fahad masih lagi merenung tajam wajah Tengku Fahad.
“Maafkan Fad uncle… Fad bergaduh sikit dengan Ann tapi Fad tak sangka kenapa dia mesti ikut lelaki yang dia baru kenal kalau nak tunjuk perasaan kat Fad pun.”
“Ann tak akan ikut orang yang dia tak kenal… auntie kenal anak auntie.” Datin Najla masih tidak percaya dengan cerita Tengku Fahad.
“Uncle dan auntie boleh tanya Brendan kalau tak percaya, dia ada sama di parti Nicole semalam.” Tengku Fahad tarik tangan Brendan dan mengangguk kepada Brendan.
“Betul Datuk, Datin… saya ada bersama Tengku Fahad dan saya cuba halang Ann tapi dia tak peduli. Dia terus naik kereta lelaki itu.” Brendan, rakan baik Tengku Fahad juga cuba meyakinkan Datuk Johan walaupun ayatnya kedengaran seperti membaca skrip berita jam 8.
“Fad kenal siapa lelaki tu?” Datuk Johan mula termakan kata-kata Brendan.
Tengku Fahad memandang Brendan lalu menggeleng.
“Sorry uncle, Fad tak kenal… mungkin rakan kepada rakan Nicole. Fad pun tak pasti tapi Fad dah tanya Nicole, dia pun tak kenal siapa lelaki tu.”
“Isyy… budak ni suka susahkan oranglah. Selalu buat perkara tak fikir dulu. Tak apalah, kita tunggu sehari dua lagi… mungkin selepas dia rasa tenang dia akan balik semula.”
“Errr… uncle tak nak repot polis?” perlahan saja Tengku Fahad tanya. Dia juga risau kehilangan Nafa akan menjadi besar jika melibatkan polis. Silap haribulan dia juga akan terjebak dengan kegiatannya.
Datuk Johan menggeleng membuatkan Tengku Fahad berasa lega. Dia tahu Datuk Johan amat menjaga reputasinya sebagai seorang yang ternama. Dia risau jika perkara ini tersebar, nama baiknya akan tercemar. Datuk Johan tidak mahu kepincangan keluarganya diketahui oleh musuh-musuhnya.
“Abang! Kenapa tak mahu repot polis? Nanti jadi apa-apa pada Ann, bagaimana? Entah-entah dia diculik ke, dibawa lari ke luar negara ke…”
“Ara, kalau Ann ikut lelaki lain bermaksud dia pergi dengan sukarela… bukan diculik. Abang rasa dia saja nak tunjuk protes kat kita sebab paksa dia ikut Fad semalam. Ara pun tahukan dia tak suka kita jodohkan dia dengan Fad. Dia ambil peluang ini untuk buat kita ubah fikiran, itu saja.”
“Tapi, dia anak kita! Kalau dia tak mahu kenapa nak paksa?” Datin Najla mula menguatkan suaranya. Geram pula dengan sikap kurang prihatin Datuk Johan.
“Ara… kita dah janji dengan Tengku Fuad. Kerbau pegang pada tali, manusia pegang pada janji. Ingat itu. Abang tak mau jadi manusia munafik.”
Tengku Fahad hanya tersenyum mendengar perbalahan di antara Datuk Johan dan Datin Najla. Dia tahu Datuk Johan amat mempercayainya dengan sepenuh hati manakala Datin Najla amat sayangkan Nafa.
“Uncle, auntie… jangan gaduh. Fad janji akan cari Ann sampai dapat tapi dengan satu syarat dan Fad nak uncle berjanji dengan Fad.
“Janji? Janji apa Fad?”
“Lepas Fad jumpa Ann, uncle kena kahwinkan kami segera. Senang Fad nak jaga Ann bila kami dah halal nanti. Itu saja syarat Fad.” Fad tunjuk sengih. Cepat pula dia buat rancangan yang bakal menguntungkan dirinya.
Datuk Johan mengeluh perlahan manakala Datin Najla ternganga mendengar syarat Tengku Fahad. Tengku Fahad pula tersenyum bangga. Kemenangan akan berada di pihaknya jika dia dapat berkahwin dengan Nafa dan dengan cara itu dia dapat menutup mulut Nafa selamanya.
Setelah Tengku Fahad pulang, Datuk Johan dan Datin Najla masih berteleku di ruang tamu. Datin Najla masih tidak percaya yang Nafa akan bertindak sedemikian. Dia kenal Nafa. Walaupun Nafa suka membuat perkara yang tidak masuk akal tetapi mengikut lelaki yang kurang dikenalinya? Datin Najla rasa Nafa tidak mungkin mengikut lelaki asing apatah lagi sampai sekarang Nafa masih belum pulang.
Sesuatu berlaku kepada Nafa tetapi Datin Najla tidak berani untuk bersuara. Dia tahu Datuk Johan amat perlukan sokongan Tengku Fuad untuk meluaskan empayar perniagaannya. Dia yakin Nafa tidak akan melakukan perkara melulu jika bukan kerana perkara itu amat serius dan Datin Najla yakin Tengku Fahad ada kena mengena dengan kehilangan Nafa.
Mak Bib yang mendengar segala perbualan Datuk Johan, Datin Najla dan Tengku Fahad hanya mampu berdoa akan keselamatan Nafa. Dia juga seperti Datin Najla tidak percaya Nafa mahu mengikut lelaki lain tanpa kemahuannya. Nafa seorang yang berdikari dan jika dia bergaduh dengan Tengku Fahad sekalipun dia akan menghubungi seseorang yang dia percaya atau dia akan pulang sendirian.
Mak Bib mengurut dada yang tiba-tiba berdebar hebat, janganlah ada perkara buruk berlaku kepada Nafa. Dia langsung tidak mempercayai Tengku Fahad yang umpama sumpah-sumpah. Mak Bib angkat tangan berdoa untuk kesekian kalinya.
YOU ARE READING
RAFFA: THE DISOWNED MAFIA
ActionNafa Arleanne, gadis kota yang lincah serta periang melarikan diri setelah menjadi saksi satu pembunuhan. Pembunuhan itu melibatkan kekasihnya, Tengku Fahad. Nafa tidak pernah tahu Tengku Fahad adalah seorang ketua mafia. Tengku Fahad berselindung d...