BAB 13

181 17 0
                                    

Gendang gendut tali kecapi

Kenyang perut senang hati.

Simpulan bahasa yang sudah lama dia tidak dengar tiba-tiba bermain di dalam kepala Nafa. Itulah nikmat yang tidak pernah dia rasa dahulu ketika tinggal bersama keluarganya. Dia dilahirkan dalam dulang emas, langsung tidak pernah merasa kesusahan. Semuanya disediakan dari dia kecil sehinggalah dewasa. Apa saja yang dia ingin makan, akan disediakan oleh Mak Bib. Mak Bib tidak akan membiarkan Nafa kelaparan dan semestinya Nafa suka kerana masakan Mak Bib amat sedap.

Malam ini, dapat makan nasi kenduri pun Nafa sudah berasa syukur. Walaupun sedikit tapi dapat juga dia mengalas perut. Entah esok dia dapat makan atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Nafa berharap sangat agar tuan rumah tidak mengunci pintu dapur. Kalau tidak telan air paip sajalah. Untung juga di sekeliling rumah ditanam dengan pokok buah-buahan, boleh juga Nafa makan buah mempelam dan jambu batu. Kalau hari-hari makan buah boleh jadi bini Tarzan jawabnya. Dari Nafa jadi Jane… tak rela mak.

Dia tidur dengan nyenyak walaupun keadaan bangsal langsung tidak menyenangkan tapi Nafa sentiasa mengucapkan syukur. Sekurang-kurangnya ada tempat untuk dia berteduh dan menyembunyikan diri buat sementara waktu. Dia bernasib baik kerana tidur dalam keadaan gelap di dalam biliknya sendiri jadi dia boleh lena dengan selesa di dalam bangsal itu.

“Aduh! Kenapa perut aku sakit sangat ni?” Nafa terbangun dari tidur apabila perutnya memulas.

Nafa bangun dan memicit perut. Peluh berjejeran turun di dahi. Nampaknya dia terpaksa membuang hajat dengan segera. Kalau lambat mungkin bertaburan sisa toksik di dalam bangsal. Nafa tidak sempat untuk melihat keadaan sekeliling lagi, pintu bangsal dibuka kasar. Nafa berlari menuju ke tandas yang terletak di luar rumah. Sekali lagi Nafa bersyukur kerana tuan rumah membina tandas di luar rumah. Memang menjadi resam penduduk kampung dahulu membina tandas di luar rumah.

Bulan penuh malam itu memudahkan Nafa untuk melepaskan hajatnya dalam keadaan agak tenang. Kawasan belakang rumah Hafiz agak cerah dari semak samun kerana Hafiz selalu membersihkan kawasan rumahnya jadi Nafa tidak takut jika terdapat haiwan liar terutamanya ular akan merayap di kawasan tersebut.

Ketika itu juga Hafiz merasa tidak sedap perut. Dia mengalih kedudukannya ke kiri dan kanan untuk menjemput lena. Dia berasa malas untuk turun ke bilik air kerana matanya agak berat untuk dibuka. Keletihan siang tadi membuatkan dia hendak berehat secukupnya malam ini.

Bunyi pintu bangsal dibuka mengejutkan Hafiz. Serentak dia bangun dari tidur dan duduk berteleku di atas katil. Hafiz memasang telinga, cuba mendengar gerakan di luar rumah.

“Siapa pula yang datang malam-malam begini? Ada pencurikah?” Hafiz mengumam sendirian. 

Dia mendengar derapan kaki yang begitu kalut seperti sedang berlari dan bunyi pintu tandas luar di buka membuatkan Hafiz sudah tidak betah untuk tunggu lagi. Lantas Hafiz keluar dari bilik dan turun ke dapur. Terlupa akan sakit perut yang mencengkam, sebatang kayu yang terdapat di tepi pintu bilik air dicapai, sekadar untuk mempertahankan diri.

Perlahan pintu dapur dibuka, tidak mahu mengejutkan insan yang berada di dalam tandas. Hafiz berjalan menuju ke tandas seperti anggota tentera hendak membuat serangan hendap, begitu perlahan dan berhati-hati sekali. Langsung tidak kedengaran bunyi derapan kakinya. Kayu diangkat tinggi, bersedia untuk menyerang penceroboh tandasnya.

Nafa melunaskan hajat yang tidak dapat ditunggu itu dengan perasaan lega. Setelah mencuci sebersih-bersihnya, Nafa bangun untuk keluar tanpa mengetahui ada bahaya di sebalik pintu tandas. Sebaik saja dia membuka pintu, nafasnya seakan berhenti apabila dia ternampak tubuh tegap seorang lelaki elok berdiri di depan pintu tandas.

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now