BERI salam, sudah. Ketuk pintu pun, sudah. Kenapa macam tak ada orang ni? Ke mana pula pasangan suami isteri ini pergi petang-petang begini?
Sakinah toleh ke arah kereta yang sengaja tidak dimatikan enjin. Patut ke dia masuk kereta dan terus bergerak ke sekolah? Baru sahaja tubuh dibalikkan, kedengaran pintu rumah yang dibuka dengan tergesa-gesa.
Sakinah pusing tubuh dengan sengihan. Ada orang rupanya! Seketika, sengihan di bibir mati. Digantikan dengan riak terkejut di wajah.
"A-abang Iddin?"
"Eh, Kinah?"
Mata Sakinah tidak berkerdip.
Iddin tertawa kecil melihat Sakinah yang kelihatan begitu terkedu. Mungkin gadis ini tak sangka yang dia sudah pulang setelah sekian lama mereka saling tidak bertukar khabar berita.
"Kinah sihat? Lama Abang Iddin tak nampak Kinah. Dah makin cantik sekarang."
"Hah, apa Abang Iddin cakap?" tanya Sakinah dengan riak bingung setelah dia tersedar.
"Abang Iddin cakap... Kinah dah makin cantik sekarang."
Sakinah terdiam. Kenapa pula tiba-tiba Abang Iddin nak puji dia ni? Sakinah berdeham perlahan.
"Bila lagi Abang Iddin balik sini?"
Iddin tersenyum. "Semalam. Ada apa Kinah datang? Nak jumpa mama abang?"
Sakinah mengangguk laju.
"Mak Tin tak ada ke? Keluar dengan Pak Man, eh? Mak ada kirimkan ketupat sotong. Abang Iddin ambillah!" Sakinah serahkan bekas itu laju-laju.
Iddin terus sambut. "Dia orang keluar pergi pekan. Baru je keluar tadi. Ketupat sotong ni... Mak Cah yang masak? Atau Kinah?"
Sakinah mencebik. "Ni sengaja nak sindir ke atau memang tak tahu? Duduk Jepun dua tahun dah lupa dah?"
"Manalah tahu skil memasak Kinah dah upgrade ke..."
"Malangnya, masih skil yang sama."
"Haih, kempunanlah Abang Iddin nak merasa air tangan Sakinah." Iddin mula mengusik.
Sakinah mengetap gigi dengan mata yang mengecil. Kecil besar kecil besar saja Iddin di mata dia saat ini. Iddin fikir, badan dia bertambah 'keras'... Sakinah takut ke?
"Abang Iddin gurau aje. Janganlah tengok macam nak telan! Ish, budak ni."
Iddin tahan senyum. Dia tak boleh terima yang gadis kecil di hadapannya sedang memandang dia dengan pipi yang sudah kemerahan. Marah benar gayanya.
"Siapa suruh usik Kinah macam tu lagi? Tahu pun takut."
"Dah lama Abang Iddin tak mengusik Kinah. Apa salahnya nak panaskan enjin mengusik?"
"Salah, salah!" Sakinah menjeling Iddin.
"Kinah balik dululah. Nak keluar juga ni. Dah lambat." Sambung Sakinah berura-ura pergi.
"Eh, sekejap!"
Langkah Sakinah terhenti.
"Kinah nak pergi mana? Dah petang ni." Iddin menyoal dengan kerutan di wajah. Ke mana pula budak ni mahu pergi waktu-waktu begini?
"Nak singgah sekolah sekejap. Ambil fail tertinggal."
"Kinah pergi seorang? Sekolah Kinah bukannya dekat dari sini kan?"
"Mana ada jauh. Dah biasa, Abang Iddin. Kinah pergi dulu. Assalamualaikum!" Selamba Sakinah membalas tanpa hiraukan riak kerisauan yang terpapar di wajah Iddin. Iddin memang selalu macam tu. 'Abang-abang' sangat!
YOU ARE READING
SAKINAH
RomanceSAKINAH... yang perkahwinannya diaturkan atas sebab mahu menjaga keturunan.