"You dah kunci pintu rumah betul-betul kan tadi?" tanya Ucu Ja, menghentikan perbuatan Sakinah yang sedang menyusun barangan di dalam bonet keretanya.
"Dah, ucu. Ucu sendiri yang tengok tadi kan?"
Ucu Ja angguk sekali. Tangan naik memeluk tubuh sambil langkah diatur ke arah tempat duduk penumpang hadapan. Sakinah yang melihat berdecit perlahan. Dengan spek mata hitam tersangkut di atas kepala... diva betul gayanya!
Sakinah memuatkan beg yang terakhir sebelum bergerak ke arah Ucu Ja.
"Ucu, dah tak ada barang nak letak..." Bicara Sakinah terbantut. Langkah Sakinah serta-merta terhenti saat perasan dengan kehadiran Iddin di sebelah keretanya.
"Eh, Abang Iddin?"
Iddin yang sedang menghampiri keretanya terus mengangkat pandangan dari telefon di tangan. Dia memandang Sakinah dengan mata yang membulat.
"Sakinah?" Bersinar mata Iddin saat itu. Matanya tertumpu ke arah bonet kereta Sakinah yang dipenuhi dengan beg.
"Dah nak balik kampung ke, Kinah?"
"Eh, Iddin? You nak pergi mana dengan beg galas atas bahu ni?" tanya Ucu Ja diiringi dengan bunyi pintu kereta yang dihempas perlahan.
"Saya nak pergi tempat yang sama dengan ucu."
"You nak balik kampung juga ke?"
Iddin angguk. "Dah lama tak balik kampung. Bila dengar Kinah kata kau orang nak balik kampung, rasa teringat-ingat pula dengan udara kampung."
"Kalau macam tu kita gerak sekali ajelah!" Teruja Ucu Ja memberi cadangan. Dia memandang Iddin dan Sakinah bersilih-ganti. Kalau Iddin ikut, bolehlah juga dia ajak berbual. Dia dah tak ada topik nak berbual dengan Sakinah.
"Eh, ucu ni! Kita kan nak balik lama. Nanti susahkan Abang Iddin pula nak gerak kesana-sini."
"Ye eh? You cuti berapa lama?" Ucu Ja tanya Iddin.
"Saya tak pasti lagi. Rancangnya nak balik dua tiga hari aje."
"Hmm, ucu dengan Kinah ambil cuti seminggu. Tak bolehlah kita gerak sekali kalau macam tu," ujar Ucu Ja dengan riak kecewa. Siap termuncung-muncung bibir.
"Tak apalah, ucu. Kita gerak sekali tapi asing kereta pun okey. Kan, Abang Iddin?" Sakinah cuba meminta bantuan Iddin untuk kurangkan rasa kecewa Ucu Ja.
Iddin terdiam dan berfikir buat sejenak.
"Saya rasa... boleh aje kita nak gerak sekali. Gerak dengan kereta saya. Nanti kalau ucu dengan Kinah nak balik sini semula, saya ambil kau orang dekat kampung."
Mata Sakinah membulat luas. "Eh, tak payahlah sampai macam tu, Abang Iddin! Kita gerak asing aje. Tak ada masalah."
"Abang Iddin memang ada rancangan nak balik kampung lagi minggu depan. Jadi minggu depan kau orang boleh balik dengan Abang Iddin."
Kini, mata Sakinah mengecil. Kenapa dia susah nak percaya dengan kata-kata Iddin ni? Dan-danlah nak balik kampung lagi minggu depan.
"Tak susahkan you ke?"
"Tak. Lagipun saya dah bosan drive sorang-sorang balik kampung. Kalau ucu dengan Kinah ada, lainlah sikit kali ni," ujar Iddin dengan senyuman ikhlas.
Ucu Ja tepuk tangan sekali. "Kalau macam tu, okeylah! Sekarang juga kita pindah barang ke dalam kereta you."
"Ucu..." Sakinah berasa sedikit tidak senang. Dia rasa macam menyusahkan Iddin pula. Haih, ucu. Sejak bila pandai nak bergantung pada Iddin ni?
ANDA SEDANG MEMBACA
SAKINAH
RomansaSAKINAH... yang perkahwinannya diaturkan atas sebab mahu menjaga keturunan.
