Enam

91 16 10
                                    

DUA bulan dari sekarang.

Sakinah bermain dengan cincin di jari. Tak sangka dia kini sedang menghitung hari untuk menjadi isteri yang sah kepada Iddin. Kata Puan Aisyah, hanya dua bulan ditetapkan kerana majlis perkahwinan pihak lelaki dan perempuan akan digabungkan. Lebih mudah begitu lagipun mereka berjiran.

Namun begitu, majlis perkahwinan ini tetap perlu dibuat secara besar-besaran. Tetamu dari pihak lelaki dan pihak perempuan akan berada di satu majlis sahaja.

Akad nikah pula, akan diadakan sehari sebelum kenduri di dewan sivik kampung ini. Hanya saudara dekat dan jiran tetangga sahaja yang akan dijemput.

Mendengarkan segala perancangan itu, Sakinah terus bersetuju. Dia tak ada masalah dengan perancangan yang dipersetujui kedua belah keluarga ini. Lagipun, dia tak ada sesuatu spesifik yang dia mahukan dengan perkahwinan ini.

Sakinah bersetuju kerana dia tahu inilah yang terbaik untuk mereka dan tak akan bebankan mana-mana pihak.

"Sakinah!"

Sakinah memandang ke arah pintu.

"Kenapa, mak?"

"Iddin ada dekat depan rumah. Dia nak jumpa dengan Kinah sebelum dia bertolak. Pergilah jumpa dia sekejap."

"Oh, okey. Sekejap."

Puan Aisyah mengangguk sebelum berlalu pergi.

Sakinah mencapai tudung lalu disarungnya di kepala. Tadi sewaktu perbincangan tentang hal mereka, sempat juga Iddin memberitahu bahawa dia akan bergerak ke Kuala Lumpur sebelum waktu zohor hari ini. Dua hari lagi tunangnya itu akan mula bertugas.

Sampai di hadapan pintu rumah, kelihatan Iddin sedang menilik skuter merah kepunyaan ayah Sakinah. Kening Sakinah terangkat melihatkan itu. Apa yang dilihat Iddin sampai berkerut sekali wajah itu?

"Abang Iddin."

Iddin angkat kepala. "Kinah."

"Kenapa tengok skuter ayah macam tu? Ada apa-apa ke?" Skuter merah itu didekati.

"Oh, tak ada! Dah lama Abang Iddin tak nampak skuter merah Pak Ali. Ni dah nampak ni, terubat sikit rindu dekat dia." Iddin menepuk-nepuk perlahan kusyen skuter.

"Skuter pun boleh rindu?" Sakinah menyoal agak hairan. Macam-macamlah Abang Iddin ni!

"Biasalah bila duduk jauh dari kampung, Sakinah. Bukan setakat rindu orang dalam kampung ni... ikan dan itik kampung ni pun Abang Iddin boleh rindu."

Sakinah ketawa perlahan. "Yelah, Kinah faham! Cuma Kinah rasa macam sekejap sangat je Abang Iddin boleh lepas rindu dekat kampung ni, kan? Ni dah nak pergi jauh dari kampung lagi."

"Kenapa? Sakinah belum puas tengok muka Abang Iddin ke? Nak Abang Iddin tambah cuti lagi seminggu tak?" Iddin menyoal dengan nada mengusik.

"Jangan nak mengada! Kinah cakap lain, Abang Iddin pusing ke lain pula, eh?"

Iddin hanya tersengih.

"Pukul berapa Abang Iddin nak gerak ni? Terengganu dengan KL jauh, bukannya dekat! Nak dekat enam jam juga kalau nak ke sana, tahu?"

"Tahulah." Iddin mencebik kecil.

"Habis tu? Bila nak gerak ni?" Sakinah menyoal garang.

"Kenapa tak sabar nak halau Abang Iddin ni? Bagilah Abang Iddin peluang nak luang masa dengan tunang dulu seminit dua lagi."

Sakinah garu hujung hidung. "Bukan nak halau cuma... Kinah tak nak Abang Iddin sampai lewat malam dekat sana. Sekurangnya-kurangnya, kena sampai sebelum maghrib. Itu lebih baik."

SAKINAHWhere stories live. Discover now