Satu

148 17 6
                                    

"Syarifah Sakinah!"

Laungan yang diiringi dengan ketukan di pintu bilik memaksa Kinah untuk mencelikkan mata. Jam di dinding dilihat dengan mata yang belum mampu terbuka sepenuhnya. 9 pagi. Masih awal untuk dia yang cuti hari ini!

"Syarifah Sakinah, bangunlah! Matahari dah seinci atas kepala kau liat lagi nak bangun? Nak tunggu cair dulu ke?"

Mata yang baru saja mahu terpejam kembali terbuka. Segar dia mendengar ayat yang keluar daripada mulut permaisuri hatinya. Bangun dari pembaringan, Kinah dongak memandang ke siling. Tak ada matahari. Hanya ada siling yang berwarna putih. Mana matahari?

Dia bangun lalu menghampiri pintu bilik dengan langkah yang berat. Tombol pintu dipulas. Wajah Puan Aisyah kini menjadi tatapan mata kuyunya.

"Kamu patut bersyukur kamu ni bukan Cinderella. Kalau tak, dah lama kamu kena simbah dengan air panas, tahu?"

"Mak..." Sakinah garu kepala.

"Mak tak penat ke membebel? Pening kepala Kinah." Sambung Sakinah.

"Macam mana tak pening kalau waktu tidur tu tak menentu? Mak tahulah tengah cuti sekolah tapi cuba-cubalah buat benda yang berfaedah macam tolong mak masak dekat dapur ke..."

Sakinah hanya diam. Dia mengekor saja langkah Puan Aisyah yang sepertinya sedang menuju ke arah dapur.

"Mak tengah masak ke? Masak apa?"

"Itu pula yang disoalnya! Kamu tu dah 24 tahun, umur macam ni sepatutnya kamu yang ambil alih dapur dan bukannya mak lagi masak. Tengok Piya tu, elok aje masak. Tiap-tiap hari cerita dekat mak menu apa yang dimasaknya. Kamu?" Puan Aisyah sambung membebel. Anaknya yang sudah melabuhkan duduk di kerusi meja makan dikerling.

Sakinah menyentuh dahinya yang tiba-tiba saja terasa panas. Rasa macam nak demam. Over ke kalau dia kata dia rasa nak pitam dengar mak dia bebel?

Haih, dia bukannya tak mahu masak. Cumanya dia tak tahu macam mana nak masak! Dia tak tahu macam mana, dan bila dia belajar pun dia tetap gagal. Dia rasa, satu-satunya kekurangan dia sebagai seorang perempuan adalah tidak pandai memasak. Dia tak ada bakat.

Bayangkan, dia pernah cuba nasib tanak nasi. Dia tanya mak, mak kata sukat air guna jari. Tak sempat dia tanya lebih-lebih, mak dah keluar pergi rumah Nenek Jah. Jadi dia ikut saja arahan mak itu. Tapi tak tahulah pula rupanya tak boleh guna jari telunjuk. Sudahnya, nasi itu dijadikan bubur saja.

Hanya dia saja tahu yang telinganya hampir bernanah menerima bebelan Puan Aisyah hari itu! Jangan main-main dengan dia. Kalau dia kata dia tak reti, dia benar-benar tak reti.

"Termenung pula anak dara aku ni... Syarifah, Syarifah. Macam mana mak nak kahwinkan kamu dengan Syed ni? Buat malu keturunan mak je kalau kamu terus macam ni!"

Sakinah mencebik kecil. Terasa dia mendengar bicara maknya itu. Biasalah tu, dia pun seorang manusia. Tak seronok kalau dia lengkap sempurna dari segala segi.

"Muka dah cantik. Hidung elok mancung, mata pun bulat tapi..."

Sakinah yang hampir tersengih mendengar pujian mak itu tak jadi apabila sedar ayatnya itu tergantung di belakang.

"Biasalah, mak. Kinah manalah nak sempurna." Sakinah juihkan bibir mengada.

"Habis tu, tak akan kahwin nanti suami kamu kenyang tengok muka kamu aje? Romantik sungguhlah kalau begitu."

"Carilah suami yang boleh memasak."

Puan Aisyah hela nafas. Anaknya ini kalau bab menjawab, pandai! Ya, Sakinah memang pandai. Dari kecil sampai ke besar otaknya memang pandai berfungsi. Bila difikirkan balik, Sakinah benar-benar penuhi ayat 'beauty with brain' yang dia lihat di TikTok semalam. Hanya agak kurang di bahagian memasak. Tangan kurang berseni agaknya.

"Nantilah mak tanya bakal besan mak anak lelaki dia pandai memasak ke tidak. Nampaknya kalau tak pandai juga, bakal menantu mak kena usaha juga masuk dapur. Anak mak ni macam dah tak ada harapan aje." Puan Aisyah mengalah.

Sakinah angguk-angguk kepala. Setuju. Baru adil kalau macam tu. Tak semestinya bahagian memasak itu hanya perlu dilakukan oleh isteri. Suami pun kena pandai. Kalau bakal suami dia pandai masak, mudahlah kerja dia. Seperti orang kata, perkahwinan ini perlulah saling melengkapi.

"Siapa bakal suami Kinah, mak?"

"Nantilah. Kamu tahu juga nanti. Mak malas lagi nak beritahu kamu."

"Kenapa pula?"

"Sebab nanti kamu kecoh! Bakal suami kamu nanti, mak masih risik-risik lagi. Nak tahu dia elok tak untuk kamu. Nanti bila dia dah balik Malaysia, mak beritahu kamu."

Puan Aisyah menoleh mahu melihat anaknya yang diam tidak membalas.

"Kenapa? Dah tak sabar nak tahu?"

"Bukanlah tak sabar. Cumanya, Kinah nak tahu."

"Tak payah sibuk nak tahu. Cuba belajar memasak dulu."

Back to this topic again.

Sakinah malas mahu melayan sindiran Puan Aisyah. Bukannya dia tak tahu maknya itu sengaja alih topik sebab tak mahu dia memaksa lebih-lebih. Mak begitu berhati-hati dalam merahsiakan perihal bakal suaminya nanti.

Perihal 'bakal suaminya' ini sudah dibangkitkan sejak bulan lepas lagi oleh kedua orang tuanya. Dia tahu adat keturunan dia iaitu dijodohkan. Keturunan syed-syarifah keluarganya memang benar-benar dijaga. Tapi... Sakinah tak sangka secepat ini. Pada usia 24 tahun. Sedangkan sepupunya yang lain, soal 'jodoh' ini mula dibicarakan setelah mereka menginjak umur 25 tahun. Dia sangka dia pun akan begitu.

Sakinah pun tak mengerti kenapa dia perlu dijodohkan setahun lebih awal. Dia masih muda dan dia masih lagi setahun jagung dalam bidang mengajar. Bila ditanya kepada orang tuanya, jawapan mereka tetap sama iaitu 'awal atau lewat, tak ada yang berbeza'. Pening!

Nasib baiklah sejak kecil lagi dia memang dah terbiasa dengan adat keturunan mereka ini. Jadi dia tak pernah terfikir untuk mencari kekasih hati sendiri kerana dia tahu pada akhirnya, mereka tetap tak boleh bersama. Nampak sedih tapi bagi dia yang tak begitu berminat untuk bercinta ini... dia tak rasa apa-apa.

Dan dia, percayakan orang tuanya. Dia tahu pilihan mereka tak akan pernah salah.

"Seronoknya masing-masing berbual. Cerita sikit, abah pun nak tahu."

Puan Aisyah melirik suaminya. Bibir dijuihkan ke arah Sakinah. "Macam biasalah anak awak. Cuba nasib."

Encik Ali ketawa mendengar bicara isterinya. Wajah tak bersalah Sakinah menjadi tumpuan.

"Abah dari mana?"

"Pasar. Beli sotong. Mak kamu nak buat ketupat sotong."

Mata Sakinah meluas mendengarkan itu. "Ketupat sotong?!"

"Ya, ketupat sotong. Mak nak buat lebih nak bagi dekat Mak Tin dengan nenek sekali."

"Okey, nanti biar Kinah aje yang hantar dekat nenek. Kinah pun ada nak jumpa dengan Piya juga nanti."

Encik Ali berdeham perlahan. Air teh panas dihirup sebelum wajah Sakinah dipandang dengan senyuman nakal.

"Kinah..."

Sakinah pandang Encik Ali dengan kening yang terangkat. Hairan dengan riak wajah abahnya.

"Kenapa?"

"Kamu nak tahu tak macam mana bakal suami kamu nanti?"

"Abang..." Meleret nada Puan Aisyah. Memberi amaran kepada suaminya yang tak makan saman. Dah berkali dipesan agar elakkan diri daripada buka topik tentang itu.

Sebab anak mereka ini pandai cari ruang untuk tahu lebih-lebih. Bercakap punya cakap, tiba-tiba mereka dah boleh terberitahu perkara yang tak mahu dia beritahu. Licik!

"Alah, sikit je yang... Bukannya budak ni tahu apa pun."

Sakinah tarik nafas. Kenapa situasi ini terbalik dengan situasi yang dia pernah tonton di televisyen? Biasanya, yang dijodohkan ini tak mahu tahu apa-apa atau langsung tak mahu ambil peduli. Tapi dalam situasi dia, dia mahu tahu tapi dia tak boleh tahu!

SAKINAHWhere stories live. Discover now