Dua enam

199 19 3
                                    

"KANSER?"

Iddin angguk sebagai jawapan. Dan dengan itu, kaki Sakinah menjadi lemah. Jika tak kerana dia sempat berpaut pada hujung katil Ucu Ja, sudah tentu dia kini berada di atas lantai.

"Breast cancer?" bisik Sakinah perlahan. Dia seolah-olah tak dapat percaya dengan apa yang dia telah dengar daripada mulut Iddin.

Iddin mengatakan yang Ucu Ja menghidap kanser payudara dan setelah diperiksa doktor tadi, kini kanser itu telah berada di tahap kedua.

"Ucu tahu?"

Iddin telan liur. Dia angguk lagi.

"Dah lama ke ucu tahu?"

"Doktor kata ucu baru dapat tahu beberapa bulan yang lepas. Ucu dapat kesan awal."

"Kenapa ucu tak bagitahu Kinah?" Sakinah mendekati tubuh Ucu Ja.

"Selama ni ucu sihat aje... Kinah tak pernah nampak ucu sakit..."

"Sekarang ni breast cancer ucu, dah tahap 2? Ucu tahu tak?"

"Dia belum tahu."

Sakinah tarik nafas. "Ucu pergi hospital tak, Abang Iddin? Ucu ada terima apa-apa rawatan tak? Kinah tak pernah nampak ucu keluar ke mana-mana selain ke pejabat."

"Setahu Abang Iddin, dia cuma ambil ubat. Doktor ada sarankan dia untuk buat pembedahan tapi..."

"Ucu tak nak." Sakinah sambung bicara Iddin. Dia dah kenal Ucu Ja dia bagaimana jadi tak pelik lagi sekiranya Ucu Ja menolak untuk terima sebarang rawatan seperti pembedahan.

Ucu Ja tak pernah ke hospital atau ke klinik selain untuk melawat orang. Ucu Ja, cukup bencikan hospital. Dari kecil lagi memang begitulah sikap Ucu Ja.

Tapi dalam keadaan sekarang, Sakinah tak rasa ianya wajar lagi untuk Ucu Ja kekal dengan sikap begitu. Dia akan paksa Ucu Ja untuk terima rawatan yang sepatutnya.

"MACAM mana Abang Iddin boleh tahu Ucu Ja sakit?"

Sakinah bertanya saat keadaan antara mereka berdua terasa begitu canggung. Sekarang dia dan Iddin berada di luar bilik Ucu Ja kerana doktor sedang memeriksa keadaan Ucu Ja yang dah terjaga dari lena. Dia fikir Iddin mahu terus pulang tapi sebaliknya pula saat Iddin turut labuhkan duduk di sebelahnya.

"Abang Iddin pernah nampak jiran Abang Iddin yang banyak kali balik dari kerja dalam keadaan nak pitam dan muka pucat. Dan... Abang Iddin baru tahu yang rupanya dia tu ada kena-mengena dengan Kinah. Jadi bila Abang Iddin jumpa Ucu Ja balik, Abang Iddin tanya tentang hal tu dan suruh Ucu Ja pergi buat medical check up. Dan lepas daripada tu, Ucu Ja cakap yang dia sihat dan tak ada apa-apa masalah."

Iddin memandang Sakinah di sebelah sekilas pandang.

"Sampailah tadi... Abang Iddin terserempak dengan Ucu Ja dengan keadaan yang sama dekat parkir kereta. Bila Abang Iddin nak bawa ke klinik, dia tak nak. Tak lama lepas tu Ucu Ja pengsan dan Abang Iddin terus bawa dia ke sini. Sebab ini yang paling terdekat."

"Kinah fikir Abang Iddin berpakat dengan Ucu Ja." Sakinah utarakan apa yang difikirkan dia sedari tadi.

"Untuk rahsiakan sakit ucu?"

Sakinah angguk.

"Kalau dengan Kinah yang dia anggap macam anak sendiri pun dia tak bagitahu, mana mungkin dia nak bagitahu dekat orang luar macam Abang Iddin ni tentang penyakit dia."

"Kinah tak pernah nampak ucu sakit," ujar Sakinah dengan nada perlahan.

Kenapa dia tak pernah perasan apa-apa perubahan Ucu Ja? Sedangkan mereka serumah dan kadang-kadang, tidur sekatil. Kenapa tak pernah sekalipun, dia sedar akan tanda-tanda yang menunjukkan Ucu Ja sakit?

SAKINAHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang