Lapan

72 14 11
                                    

Tiga minggu berlalu.

"SAYA geram sebenarnya. Saya tak tahu nak marah dekat ustaz sebab ustaz selalu denda anak murid saya waktu kelas saya atau saya nak marah anak murid saya sebab buat masalah sampai ustaz kena panggil dia."

Sakinah mencekak pinggang. Terhenti tangan dia yang sedang mengemas barangan di atas meja kerjanya itu.

"Masalah apa pula kali ni, Teacher Sakinah?"

Sakinah memandang ke arah Cikgu Laili yang menegur dia.

"Macam biasa... si Adnan itulah, cikgu. Banyak kali dah dia tak masuk kelas English saya. Bila ditanya, kawan dia kata pergi jumpa Ustaz Syed. Katanya, kena denda sebab masalah disiplin."

Guru-guru lain yang mendengar hanya tersenyum. Hati mereka sedikit tercuit dengan gelagat Sakinah yang tak pernah selesai urusannya berkait dengan Adnan. Murid lelaki paling nakal di sekolah yang mereka pernah hadap. Kebetulan, Sakinah merupakan guru kelas dan cikgu yang mengajar subjek English di kelas Adnan.

Ini bukan kali pertama mereka mendengar keluhan Sakinah. Terkadang, mereka pun ikut campur dalam urusan menguruskan Adnan. Bukan apa, mereka semua kasihankan Sakinah yang masih muda dan baru beberapa tahun dalam bidang mengajar. Masih baru dan perlu dibantu.

"Saya bukan apa, Teacher Sakinah. Dah tanggungjawab saya sebagai cikgu disiplin untuk betulkan disiplin anak murid." Ustaz Syed membalas dengan nada lembut.

"Saya tahu dan saya sangat faham. Tapi, saya tak mahu Adnan terlepas kelas saya. Kerap sangat dah, ustaz. Lagipun, Adnan tu pelajar yang paling lemah dalam subjek Bahasa Inggeris ni dan dah tak lama lagi, dia dah nak SPM. Macam mana ni, ustaz?"

Sakinah memandang ke arah Ustaz Syed yang mejanya berada tidak jauh dari Sakinah. Dipisahkan oleh satu laluan yang luas. Melihatkan Ustaz Syed sudah menggalas beg laptop miliknya, Sakinah cepat-cepat kemaskan barangannya pula.

"Apa kata kalau ustaz beri peluang untuk Adnan fokus pada pembelajaran pula?" tanya Cikgu Laili, selaku 'hakim' setiap kali perbincangan mereka berlangsung.

"Masalah disiplin Adnan adalah keluar kelas atau lebih tepat ponteng kelas. Kalau saya beri peluang macam tu, tak ke sama je... Cikgu Laili?"

"Hmm, betul juga." Cikgu Laili mengangguk.

"Saya faham. Tak ada beza juga kalau Adnan tak 'jumpa' ustaz. Dia tetap tak akan 'jumpa' saya dalam kelas."

Kalau tak dipanggil oleh Ustaz Syed atas kesalahan disiplin, Adnan tetap tak akan wujud dalam kelas. Sama saja, tak ada perubahan. Sakinah dah buntu. Fikirnya kalau dah puas cuti sekolah selama sebulan, Adnan akan berubah.

Sakinah mengeluh perlahan. Cikgu Laili yang melihatkan itu tersenyum nipis. Lengan Sakinah digosok-gosok perlahan tanda memberi semangat kepada teacher muda ini.

"Saya dah minta ibu bapa Adnan untuk datang ke sekolah minggu depan. Jadi, teacher tak perlu risau lagilah, ya? Saya cuba berbincang dengan mereka tentang kesalahan Adnan. Saya balik dulu."

Ustaz Syed meminta diri. Sempat dia bersalaman dengan guru lelaki yang turut ingin melangkah keluar dari bilik guru.

Sakinah yang melihatkan itu terus menyudahkan urusan mengemas meja. Dia bergegas keluar dari bilik guru ingin mengejar ustaz yang sebaya dengannya itu. Sedikit lelah ingin mengejar kaki galah yang melangkah tanpa berpaling ke belakang itu.

"Ustaz Syed!"

"Sekejap, ustaz! Saya nak tanya fasal minggu depan!"

Akhirnya, kaki Ustaz Syed terhenti juga. Keningnya berkerut melihat Sakinah yang sudah terbongkok mengatur nafas.

SAKINAHWhere stories live. Discover now