SAKINAH tersenyum lemah melihat keadaan di hadapan matanya saat ini. Keadaan di mana hidupnya terasa begitu lengkap. Puan Aisyah mengelap tubuh dia dengan kain basah manakala Encik Ali pula sedang mengurut kakinya. Tapi kali ini, tempatnya di hospital dan bukannya di rumah.
"Tak apa ke abah tak pergi ladang hari ni?" Sakinah menyoal perlahan. Dia rasa bersalah pula membayangkan ladang dan ternakan Encik Ali yang mungkin akan terabai kerana dirinya.
"Tak apa. Abah ni bos, Kinah. Pekerja dekat ladang ramai, apalah sangat kalau abah tak ada sehari dua."
"Kinah dah banyak susahkan abah dan mak. Dari kecil, Kinah selalu susahkan hati abah dan mak. Kinah minta maaf," ucap Sakinah dengan mata yang bergenang.
Tangan Puan Aisyah dan Encik Ali serentak terhenti bergerak. Hela nafas, Puan Aisyah dekati Sakinah dengan tangan yang sudah naik mengusap perlahan rambut Sakinah. Senyuman nipis terukir di wajah Puan Aisyah.
"Kenapa cakap macam ni, Sakinah? Kinah tak pernah susahkan mak dan ayah, sayang. Kinah tahu kan... Kinah satu-satunya harta yang paling berharga buat mak dan ayah. Mak dan ayah tak perlukan apa-apa dalam dunia ni lagi selain Kinah. Cukup Kinah ada dengan kami, cukup Kinah bahagia... mak dan ayah tak peduli perkara yang lain dah." Air mata Puan Aisyah mengalir keluar.
"Kinah sakit? Mak dan ayah jaga. Kinah perlukan rawatan? Mak dan ayah akan bawa Kinah ke mana-mana tempat yang boleh rawat Kinah. Kinah susah? Mak dan ayah akan cuba sehabis-baik kami untuk pastikan Kinah tak rasa susah lagi." Tambah Puan Aisyah lagi.
Tak pernah terdetik di hati untuk berasa susah dan lelah sepanjang melayani Sakinah. Tak kira sewaktu anaknya ini sakit atau tak sakit... tetap sama saja rasa kasih sayangnya untuk Sakinah. Tak akan pernah berubah perasaan ini. Dia dan suami hanya ada Sakinah, satu-satunya amanah yang Allah telah berikan kepada mereka.
"Ingat sayang, derita Sakinah... derita mak dan abah. Bahagia Sakinah, bahagia mak dan abah." Encik Ali menyambung.
Encik Ali menyapu air mata Sakinah yang melebat. Dia tak sanggup melihat puteri dia tersakiti begini. Dia tak sanggup saksikan puteri dia dalam keadaan begini. Tuhan... angkatlah sakit Sakinah dan berikan pada dia.
"Tapi Kinah sakit..."
"Jadi kenapa? Kita cuma hamba Allah yang lemah, Sakinah. Hamba Allah yang akan sentiasa diuji. Kenyataan yang Sakinah anak mak dan abah tak akan pernah berubah sampai bila-bila walaupun kamu sakit. Abah dan mak akan jaga kamu sampai kamu sembuh. Itu janji abah, Sakinah. Kamu boleh pegang janji abah."
Encik Ali cuba untuk ukir senyuman kepada Sakinah walaupun dia tahu dia tak mampu. Dia tak sekuat itu untuk kekal tersenyum dengan keadaan Sakinah yang begini di hadapan mata dia. Tak mudah untuk dia.
"Janganlah sedih-sedih macam ni lagi, Kinah. Mak dah tak sanggup tengok kamu macam ni. Mak boleh terima kenyataan yang kamu sakit tapi mak tak dapat terima kalau keadaan kamu berterusan macam ni. Menangis dan minta maaf, mak tak mahu kamu macam ni..."
"Betul mak cakap. Abah tak nak kamu berterusan sedih dan minta maaf dengan kami sebab keadaan kamu yang sekarang. Sakit atau tak, Kinah tetap puteri kesayangan abah. Kami tetap akan jaga Kinah."
Puan Aisyah mengangguk perlahan. Dia menatap Sakinah dengan pandangan redup.
"Mengadulah sakit sebanyak mana yang Kinah mahu, nak. Kami akan selalu ada untuk dengar."
Sungguh, dia lagi rela mendengar Sakinah mengadu dan bermanja-manja dengan mereka pada saat begini berbanding dengan Sakinah cuba untuk berlagak kuat kerana tak mahu menyusahkan mereka. Juga Sakinah yang menahan rasa bersalah kerana sakit... Puan Aisyah tak mahukan itu.
YOU ARE READING
SAKINAH
RomanceSAKINAH... yang perkahwinannya diaturkan atas sebab mahu menjaga keturunan.