Sepuluh

86 12 6
                                    

Tok! Tok!

PUAN Aisyah mengetuk perlahan pintu bilik Sakinah. Walaupun tak bersahut, dia tetap melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia menutup suis kipas siling saat perasan aircond juga turut dipasang. Risau Sakinah akan kesejukan.

Dia melabuhkan duduk di atas katil Sakinah. Besen yang terisi air sejuk itu diriba. Puan Aisyah terdiam beberapa detik sebelum tangan naik mengelus perlahan kepala Sakinah. Rambut yang menghalang wajah Sakinah dari kelihatan turut dialihkan ke tepi.

Sakinah bergerak perlahan saat terasa ada sentuhan pada kepalanya. Mata cuba dibuka namun saat itu juga dia dapat merasa seolah-olah perutnya ditusuk sesuatu. Mata Sakinah terpejam rapat. Gigi diketap menahan sakit yang tak terhingga.

"Sakinah..." Puan Aisyah menyeru perlahan. Bergetar suaranya saat ini. Entah kenapa melihat keadaan Sakinah ini, benar-benar mampu menjetik sesuatu di hati dia.

"Mak... sakit..."

Sakinah mengadu. Kedua tangan tidak berganjak walau seinci daripada bahagian perutnya. Tak henti-henti tangan menekan di segenap bahagian perut seolah perbuatan itu mampu menghilangkan rasa sakit. Kalaulah semudah itu namun... tidak. Tidak semudah itu.

"Mak tahu, sayang." Cuma itu yang mampu Puan Aisyah katakan. Untuk pindahkan sakit Sakinah itu kepada dia, mustahil.

"Abah mana?" Sempat Sakinah menyoal. Rasa mahu menangis saja kerana Encik Ali masih tak tunjuk wajah seperti selalu.

"Abah keluar. Ada urusan mustahak dengan kerja dia. Tak apa, abah kata dia akan balik awal malam ni." Puan Aisyah cuba memujuk. Tak mahu emosi Sakinah terganggu.

Sakinah angguk sebelum dia mendesis perlahan.

"Kinah tak dapat tahan senggugut kali ni, mak. Sakit sangat. Memang... memang sakit macam ni ke?" tanya Sakinah perlahan. Bicaranya tersekat kerana sakit yang ditahan tapi masih mampu sampai ke pendengaran Puan Aisyah.

"Mak tak tahu. Mungkin ujian Sakinah, Allah beri lebih daripada perempuan lain. Allah uji Sakinah dengan sakit ni, sebab Allah tahu Sakinah mampu."

Sakinah terdiam. Mungkin. Seketika, dia kembali memejam mata rapat. Sakit kembali menyerang. Berselang beberapa minit, sakit ini akan menyerang dia dengan seolah-olah menusuk sebilah pisau ke bahagian perut dan pinggangnya.

Dulu, sakit ini masih mampu ditahan. Tapi semakin Sakinah bertambah usia, sakit ini bertambah sakit.

"Mak bawa air sejuk untuk lap tubuh kamu. Biar segar sikit tubuh tu, ya? Bubur pun mak dah masakkan. Nanti dah kurang panas, mak bawa naik ke bilik kamu."

Sakinah hanya angguk sebagai respon. Dia membiarkan Puan Aisyah mengelap tubuhnya dengan air sejuk tanpa sebarang bantahan. Sakinah biarkan dan terus melayan rasa sakitnya sendiri.

Sakinah boleh kata inilah keadaan dia setiap bulan. Begini jugalah cara mak dan abah akan melayani dia. Saat-saat begini, tak pernah sekali pun mereka akan tinggalkan Sakinah sendiri. Biasanya waktu mak mengelap tubuhnya, abah akan mengurut bahagian kaki dia. Pada ketika itu juga, dia tak ubah seperti seorang yang lumpuh.


"SIAP dah?" Puan Aisyah yang menunggu Sakinah di ruang tamu sedari tadi menyoal saat Sakinah mula mendekatinya.

"Dah. Jom, mak."

Sakinah capai kunci kereta. Hari ini, dia akan ke klinik. Buat kali pertama setelah beberapa lama dia menahan sakit yang sama pada setiap bulan, kali ini dia akan ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan meminta nasihat doktor. Tak pernah terdetik lagi di hatinya untuk ke klinik atas dasar sakit senggugut dia ini.

Tapi... tak tahu kenapa. Tersedar saja dia dari lenanya pagi tadi, terdetik di hati dia untuk ke klinik. Dia nak cuba untuk dapatkan ubat tahan sakit.

Sebelum ini, dia sungguh-sungguh mahu elakkan diri daripada terjebak makan ubat tahan sakit kerana dia risau akan menjejaskan kesihatan buah pinggang. Dia tahu ubat tahan sakit tak boleh dibuat main.

Namun sakit yang ditanggung dia kali ini, benar-benar luar biasa. Dia dah tak tahan.

Sampai bila dia nak sakit macam ni? Sampai bila Sakinah nak tahan sakit yang akan datang setiap bulan seperti ini? Sakit yang ditanggung dia, membuatkan dia tak mampu lakukan apa-apa hatta berdiri sekali pun.

"Perut tu, macam mana? Larat tak ni?" Puan Aisyah menyoal risau.

"Larat, mak. Boleh lagi nak drive. Alhamdulillah tak sakit macam semalam." Walaupun selang beberapa minit, perutnya akan terasa seperti ditusuk... Sakinah sedaya upaya akan menahan sakit ini.

Puan Aisyah menggeleng perlahan. Berjalan terbongkok-bongkok macam tu Sakinah kata larat dan boleh drive lagi? Anak dia ni... nak tunjuk kuat dekat siapa? Kenapa payah sangat nak mengaku diri tu tak larat?

"Iddin dah tunggu dekat depan. Kunci kereta tinggal, tak perlu bawa." Puan Aisyah mengambil kunci kereta di tangan Sakinah dan diletakkan di tempat asal.

"Kenapa? Mak beritahu dia ke?"

"Ya, mak tak sanggup nak tengok kau drive dalam keadaan sakit macam ni, Kinah. Mak nak drive pun mak tak ada lesen. Abah pula, kerja. Nasib baik ada tunang kamu tu."

"Malulah Kinah macam ni, mak." Sakinah berkata perlahan.

"Kinah nak malu apa? Iddin tu bukan orang lain... bakal suami Kinah juga. Lepas kau orang kahwin nanti, dia yang akan ada dekat dengan kamu kalau kamu sakit nanti, Kinah."

Sakinah terdiam. Mak tak faham.

"Jom."

Sakinah hanya menurut langkah Puan Aisyah yang memimpin dia sehingga ke luar rumah. Keluar dari rumah, dia dapat melihat Iddin sudah menunggu di luar kereta. Pintu kereta di bahagian belakang pun sudah siap dibuka.

Sakinah menyapa Iddin dengan senyuman tawar saat dia sudah berdiri berhampiran dengan lelaki itu. Tak mampu nak berkata lebih-lebih lagi.

Berada di dalam kereta, Sakinah duduk menunduk dengan menyandarkan dahi pada pintu kereta. Tangan tak lepas dari memeluk sisi perut.

"Klinik mana kita nak pergi ni, mak?" Kedengaran suara Iddin menyoal saat kereta mula bergerak.

"Klinik dekat depan sanalah."

"Klinik Iqram?"

"Haah."

Iddin terdiam. Dia berfikir sesaat dua sebelum melontarkan pendapat.

"Kalau kita terus ke hospital pakar di bandar boleh ke, mak?"

"Hospital pakar?" Puan Aisyah mula mempertimbangkan cadangan Iddin. Lagi elok sebenarnya kalau terus ke hospital pakar.

"Iddin ada tahu satu hospital dekat bandar. Kawan sekolah Iddin dulu doktor pakar dekat sana. Hospital pakar sakit wanita. Boleh kan kalau terus ke hospital tu?"

Iddin menyoal dengan harapan Puan Aisyah bersetuju. Dia tahu Sakinah sedang menanggung sakit di belakang tapi lebih baik sekiranya mereka terus merujuk kepada pakar. Dia risau dengan keadaan Sakinah.

"Kalau mak risau tentang jarak, mak jangan risau. Tak jauh pun hospital tu."

"Kinah, boleh tahan kan sakit tu?" Puan Aisyah menyoal sambil berpaling ke arah belakang. Melihat Sakinah yang sudah bersandar pada kerusi dengan mata yang terpejam.

"Boleh, mak. Dah tak sakit sangat pun ni."

Sakinah menjawab jujur. Tangan masih bergerak perlahan mengurut di bahagian kanan dan kiri pinggangnya.

"Terus ke hospital pakarlah, Iddin. Mak pun risau kalau pergi ke klinik dia akan minta kita rujuk dengan pakar hospital pula. Jadi dua kali kerja dah nanti."

"Okey, mak." Hanya itu yang dibalas Iddin sebelum meneruskan perjalanan. Sesekali, cermin pandang belakang dilirik sekilas mahu memeriksa keadaan Sakinah di belakang. Lega sedikit bila keadaan Sakinah tidak lagi setegang tadi.

SAKINAHWhere stories live. Discover now