Dua belas

81 13 7
                                    

SAKINAH renung sehelai kertas di tangan. Surat temu janji untuk dia jalani ujian ct scan pada hari esok. Jujur dia kata, dia rasa kosong. Dia tak rasa apa-apa dah. Takut? Berdebar? Tak. Dia tak ada emosi itu. Yang dia tahu, dia sudah terlalu reda dengan segala apa yang bakal terjadi nanti.

Sakinah fikir... memang dah tak ada harapan lagi. Dia nak berharap yang agar semua ini tak terjadi pun, memang ini dah menjadi ketentuan hidup dia. Sakinah tak mahu berharap lagi.

Kertas yang dia pegang ini pun dah berapa kali direnung. Rasanya setiap abjad dia dah baca dan hafal. Semuanya seperti mimpi. Baru saja beberapa hari yang lepas dia menikmati nikmat kesihatan yang Allah berikan. Sekarang... Allah dah nak tarik. Allah dah tak izinkan untuk dia sihat lagi seperti dulu...

"Teacher Sakinah." Lamunan Sakinah terputus saat wajah Lufeeya kini terpampang di hadapannya.

"Ye, Cikgu Piya. Ada apa?" tanya Sakinah dengan riak tenang meski tangan sudah kalut memasukkan kembali kertas temu janji hospital itu ke dalam beg tangan. Belum waktunya lagi untuk Lufeeya tahu tentang hal ini.

"Buat apa termenung dekat sini? Dah lunch ke belum ni?"

Lufeeya labuhkan duduk di sebelah Sakinah. Pandangan meliar ke keadaan sekeliling yang agak riuh oleh kerana sekarang adalah waktu rehat pelajar menengah rendah.

"Saja, healing. Dah lama tak termenung macam ni," balas Sakinah selamba.

"Tak seronoklah healing dekat tempat riuh macam ni, Kinah. Pergi pantai petang ni, nak tak?"

"Pantai?"

Sakinah pandang Lufeeya hairan. Jarang sekali Lufeeya ajak dia keluar. Biasa hanya dia yang rajin mengajak dan memaksa sahabatnya ini.

"Ya, pantai. Tempat terbaik untuk healing dan redakan fikiran yang kusut."

"Kenapa? Fikiran kau tengah kusut ke? Abang Nadhif kau ganggu kau lagi?"

"Mana ada! Dia tak ada kaitan."

"Habis tu?"

"Kau yang tengah kusut, Sakinah. Fikiran kau. Tak perlu cakap tapi aku boleh tahu dan sedar hampir semuanya tentang kau. Bukan nak berlagak pandai baca riak wajah orang tapi kalau setakat nak baca riak wajah kau... mudah macam nak tanak nasi je untuk aku."

Tanpa dapat ditahan, bibir Sakinah memuncung sedikit. Geram dengan 'perumpamaan' yang digunakan Lufeeya. Banyak-banyak benda, dia nak sebut fasal tanak nasi juga dekat depan aku! Tak tahu ke Sakinah sensitif dengan benda tu?

"Cuba cakap dekat aku kenapa dengan kau. Atau kau nak tunggu kita healing dekat pantai nanti baru kau nak buka cerita? Atau kau nak cerita sekarang?" Lufeeya memberi pilihan kepada Sakinah yang penghujungnya, Sakinah tetap perlu bercerita.

"Petang nantilah... aku cerita."

Sakinah ukir senyuman tawar. Dia rasa berahsia dengan Lufeeya tentang apa yang dihadapi dia sekarang ini bukanlah satu pilihan yang baik. Apa yang terjadi sekali pun, dia harus pastikan Lufeeya jadi antara yang terawal untuk tahu. Sebagaimana Lufeeya utamakan dia dalam segala hal, begitulah juga dia akan utamakan gadis itu.

"Okey, dikira kau dah berjanji."

"Kau dah makan?"

"Aku puasa ganti. Kau pula dah makan?" Lufeeya menyoal soalan yang sudah terang-terang bersuluh jawapannya. Sakinah belum sentuh makanan lagi hari ni. Dia tahu.

"Tak ada seleralah. Nantilah aku makan. Lagipun aku tak ada kelas dah lepas ni."

"Kau kena makan, Kinah. Aku tak nak kau sakit."

SAKINAHWhere stories live. Discover now