Beberapa bulan berlalu.
HARI ini, Iddin dan Sakinah mengadakan majlis doa selamat sempena berpindah ke rumah baharu. Rumah banglo dua tingkat yang dibeli Iddin sebelum perkahwinan mereka kini selamat untuk diduduki. Mereka berdua hanya menjemput ahli keluarga, rakan terdekat dan termasuk juga rakan pejabat Iddin dan rakan sekolah Sakinah. Pelajar tahfiz di kawasan berdekatan turut dijemput untuk menjayakan majlis doa selamat sekaligus tahlil untuk arwah Ucu Ja.
"Sayang, okey ke tu?"
Sakinah yang sedang termenung di hadapan cermin meja solek mengalihkan pandangan ke pintu bilik.
"Abang, kenapa abang naik?"
"Cari awaklah, sayang!"
"Kenapa pula cari saya? Abang tinggalkan tetamu dekat bawah ke?" Dahi Sakinah kini berkerut halus.
Iddin mendekati Sakinah dengan sengihan. Saat dia berdiri di belakang Sakinah, kedua tangan naik memegang bucu meja solek. Menjadikan Sakinah kini terperangkap dalam kepungan cinta Iddin.
"Kenapa cari saya, abang?" tanya Sakinah lagi.
"Saja. Rindu. Hari ni seharian abang tak dapat dekat dengan awak."
"Biasalah. Kalau abang melekat dengan saya aje hari ni tak menjadi la majlis kesyukuran kita hari ni."
"Kenapa awak naik bilik? Penat ke?" tanya Iddin sambil mengucup perlahan pipi Sakinah. Sebelah tangan dibawa ke perut Sakinah.
Sakinah yang menerima sentuhan itu, mula menindih tangannya ke atas tangan Iddin. Kekura tangan Iddin diusap dengan ibu jari. Mata mereka bertentangan melalui biasan cermin.
Dia dah biasa terima sentuhan yang begini daripada Iddin. Walaupun perut dia masih belum ada isi, tetap saja Iddin lakukan ini. Dia pun tak tahu kenapa. Tapi yang dia tahu, Iddin tak mempunyai maksud yang tersembunyi.
Sakinah dapat rasakan kasih sayang yang disalurkan Iddin melalui sentuhan ringkas ini.
"Tak penat. Saya cuma naik solat asar. Abang dah solat kan?"
"Dah. Dekat masjid dengan ayah."
"Orang dekat bawah tak cari kita ke?"
"Abang dah bagitahu dekat mak. Lagipun tetamu dah tak ramai. Orang dah pelan-pelan nak balik dah," jawab Iddin sambil kepala dijatuhkan ke atas bahu Sakinah.
"Terima kasih abang," ucap Sakinah dengan senyuman.
"Untuk kehadiran abang dalam hidup awak ke, sayang?"
Sakinah tertawa kecil. "Itu satu hal."
"Tapi... terima kasih kali ni untuk rumah kita. Terima kasih sebab sediakan rumah yang selesa dan cantik untuk kita berdua. Kalau ada rezeki, untuk anak-anak kita juga. Mesti dia orang akan berterima kasih sebab abah dia sediakan tempat tinggal yang indah macam ni."
"Apa pula terima kasih? Abang buat ni untuk bahagiakan awak. Kalau awak tak bahagia, abang rela beli rumah lain," ujar Iddin lembut. Tak ketinggalan juga ciuman di pipi dan ubun-ubun isterinya.
"Rela beli rumah lain, eh?"
Iddin angguk. "Tapi abang tahu awak dah cukup happy dengan rumah ni. Sebab tu abang berani cakap macam tu."
Sakinah mencebik halus.
"Gila tak happy? Tak bersyukur la nama tu, abang..."
Sakinah masih ingat kali pertama Iddin membawa dia ke rumah ini. Melompat tak cukup tanah dia.
"Saya tak sabar nak tunggu anak-anak kita main dalam rumah ni."
"Abang pun," jawab Iddin dengan nada perlahan.
ANDA SEDANG MEMBACA
SAKINAH
RomanceSAKINAH... yang perkahwinannya diaturkan atas sebab mahu menjaga keturunan.
