Dua puluh

73 12 5
                                    

"AYAH, Kinah kena ikut juga ke? Ayah pergi seoranglah. Lagipun dekat rumah sebelah aje kan. Bukan jauh pun..."

Sakinah berkata dengan nada memujuk. Lengan Encik Ali digoyangkan beberapa kali.

"Hei, mak kamu suruh kamu seorang aje, tau? Kalau bukan sebab ayah baik hati nak temankan kamu... kamu kena pergi seorang dah. Nak?"

Sakinah geleng laju. "Tak nak!"

Apa ayah ni? Patutnya ayah kena jadi pelindung dia waktu macam ni. Dahlah jiran sebelah tu lelaki. Buatnya dia usik Sakinah, macam mana? Ayah juga yang susah!

"Ikut ajelah ayah kamu tu, Kinah." Puan Aisyah menyampuk. Tangan dilap pada kain yang tergantung di dinding. Dia baru selesai masak makanan tengah hari.

"Mak nak solat. Kalau tak, mak sendiri pergi hantar. Susah sangat. Ada suami, suami suruh anak. Ada anak, anak suruh ayah dia. Tinggallah atas meja. Biar saya pergi hantar sendiri!" Puan Aisyah berkata tanpa riak.

Sejenak, wajah Sakinah berubah cuak. Kalau mak dia dah macam tu, tahulah dia mak dia dah nak merajuk.

"Tak apa, Kinah dengan ayah pergi hantar sama-sama! Mak pergi solat tenang-tenangkan diri."

"Kalau tak nak hantar, tinggal aje atas meja. Biar mak hantar sendiri." Puan Aisyah berkata lagi sebelum dia berlalu pergi.

Dia sengaja kata begitu. Biar suami dan anaknya tahu dan tebak sendiri bagaimana yang sepatutnya mereka lakukan. Kalau benar mereka sayangkan dia, mereka akan tetap hantar.

Tapi biasanya begitulah, kalau payah-payah sangat dia tinggal ugut saja. Tahu-tahu kerja dah selesai dengan mudah. Tak payah pun nak ikut apa yang dia minta.

"Patutnya kita tunggu ucu baliklah. Lagipun tu kan jiran ucu. Dia mana kenal kita, bah."

"Ni lauk makan tengah hari. Ucu kamu tu petang nanti baru balik kerja gamaknya. Haih, orang lain kerja juga tapi tak adalah hujung minggu pun nak kena pergi pejabat." Sempat Encik Ali membebel.

Walaupun adiknya sudah berkali meminta maaf kerana tak dapat elak daripada hal kecemasan yang berlaku di pejabat, dia tetap saja tak berpuas hati. Dia dah datang jauh-jauh tapi kena tinggal macam tu aje dekat rumah.

"Nampaknya... kita hantar ajelah. Tak ada apa-apa pun, ayah. Ucu kata jiran dia lelaki jadi mungkin ayah boleh berbual dengan dia juga. Ayah kan peramah orangnya." Sakinah yakinkan dirinya dan juga diri Encik Ali.

Dia hanya mengekor langkah Encik Ali dari belakang. Nafas ditarik perlahan. Gementar juga dia nak ketuk pintu rumah jiran sebelah ni. Mereka dahlah tak kenal bagaimana orangnya.

Awalnya, hanya Sakinah yang dipaksa untuk hantar bekalan makanan di rumah sebelah. Tapi dia tarik ayahnya sekali. Manalah dia berani nak pergi seorang diri!

Ni semua sebab Puan Aisyah tak berpuas hati lepas dapat tahu Ucu Ja tak pernah balas makanan yang diberikan oleh jiran sebelah. Kalau balas pun, hanya sekadar makanan yang dibeli dari luar.

Sakinah tahu maknya pantang dengan perkara sebegitu. Biasalah orang tua.

"Ayah, tekan loceng dekat situ."

Sakinah menyuruh dan Encik Ali hanya menurut. Mereka sudah berdiri di hadapan rumah jiran sebelah Ucu Ja ini. Sakinah menyorok di belakang tubuh Encik Ali dengan bekas makanan dipegang kemas.

"Macam tak ada orang aje," bisik Sakinah.

"Entahlah. Ayah pun rasa macam tak ada orang." Encik Ali turut berbisik.

"Kalau tak ada orang, macam mana? Kalau kita balik... mak marah tak?" tanya Sakinah.

"Marahlah. Mesti mak kamu tak percaya."

SAKINAHWhere stories live. Discover now