Sebelas

72 15 5
                                    

"DAH lama ke awak alami senggugut yang teruk macam ni?" Doktor Adlina menyoal dengan serius.

"Saya tak pasti..." Sakinah menjawab perlahan.

"Kinah start mengadu dekat mak sakit senggugut ni sejak masuk belajar. Sebelum tu tak ada pula kamu mengadu sakit sampai menangis-nangis, kan?"

Puan Aisyah cuba mencari jawapan untuk Sakinah. Dia ingat lagi saat Sakinah berjauhan dengan dia dan suami kerana menyambung pelajaran di universiti luar negeri. 

Sakinah mula teringat sesuatu. "Sejak saya lapan belas tahun saya senggugut macam ni. Dulu, jarang saya sakit senggugut macam sekarang. Terkadang, setiap dua atau tiga bulan sekali barulah senggugut yang teruk ni datang. Sakit senggugut yang teruk ni, dia tak datang sekaligus."

"Sekarang awak dah dua puluh empat tahun. Bermakna dah enam tahun awak tahan sakit ni?" Kening Doktor Adlina mula bertaut. Lamanya?

"Ya, tapi... saya tak pernah tahan sakit yang sesakit sejak awal tahun ni. Tahun ni, senggugut saya sakit. Sangat sakit. Hari pertama hingga hari keempat saya datang bulan, saya boleh dikatakan tak boleh bangun, doktor."

Ini pun boleh dikira satu keajaiban untuk Sakinah kerana dapat datang ke hospital sedangkan hari ini baru hari kedua dia datang bulan. Tuhan benar-benar telah permudahkan urusan dia.

"Sebelum ni pernah pergi atau dapatkan rawatan dekat mana-mana klinik ke?"

"Tak pernah."

"Awak ada rasa apa-apa perubahan di tubuh awak tak?" Doktor Adlina menyoal lembut. Dia berfikir mungkin ada sesuatu yang menjadi penyebab untuk pesakit dia ini hadir ke hospital setelah enam tahun menanggung sakit.

Spontan, Sakinah memegang perut. Teragak-agak dia mahu membuka mulut.

"Saya... saya rasa perut saya agak kembung, doktor. Sebelum ni tak pernah pula macam ni."

"Selain daripada itu, period awak macam mana? Bleeding teruk dan berpanjangan ke? Bahagian pinggang ada sakit-sakit tak?"

Sakinah angguk. "Setiap beberapa jam saya kena tukar pad. Tak terbilang berapa kali dalam sehari saya akan tukar pad. Pinggang pula... memang kerap rasa sakit dekat pinggang."

Doktor Adlina mendengar dengan teliti. Tangan tidak henti mencatat segala apa yang dikatakan Sakinah. Dia mula menyoal beberapa soalan lagi terhadap Sakinah. Letak pen, dia memandang Sakinah dan Puan Aisyah dengan riak tenang.

"Ini cuma jangkaan saya. Tapi berdasarkan tanda-tanda yang diberitahu awak tadi, awak mungkin menghidap penyakit endometriosis. Di mana, sel-sel dinding rahim yang sepatutnya ada di dalam rahim berada di luar rahim. Mungkin di ovari, mungkin juga di otot rahim. Banyak lagi tanda-tanda lain yang menjurus kepada penyakit ini."

"Tapi macam yang saya kata tadi, ini cuma jangkaan saya. Jadi saya perlu periksa awak menggunakan ultrasound untuk pastikan keadaan awak yang sebenar. Saya harap jangkaan saya ini tak akan berlaku."

Puan Aisyah menggenggam erat tangan Sakinah. Jantung dia seperti sudah hilang saat mendengar sejenis penyakit yang agak asing pada pendengaran dia ini. Dia tak pernah dengar penyakit ini.

Bahayakah? Sejauh mana penyakit ini bakal mengganggu kehidupan harian anak gadis dia?

Namun Sakinah di sebelah, sudah terkaku sendiri. Dia pernah dengar penyakit ini. Baru saja semalam dia lakukan research di Google tentang simptom-simptom yang ditanggungnya selama ini. Tak menyangka dia akan mendengar perkataan penyakit ini dari mulut doktor sendiri...

"Awak dah sedia ke?" Doktor Adlina menyoal dengan lembut. Dia sudah berdiri dari duduknya.

Sakinah angguk perlahan. Dia dah tak boleh berfikir sekarang. Rasa takut dan gementar dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi terus saja menyelubungi diri.

SAKINAHWhere stories live. Discover now