Tiga lima

272 25 0
                                        

Tiga minggu berlalu.

SAKINAH tak tahu apa yang patut dia buat sekarang. Dah dua kali dia kemas bilik tapi tetap saja masa berlalu dengan perlahan. Lagipun tak ada apa yang boleh dikemas sangat pun dengan keadaan bilik dia yang kini sudah bertukar menjadi bilik pengantin ini.

Bilik pengantin.

Aduh, tak senang duduk dia dibuatnya saat teringat akan gelaran yang disandangnya pada hari ini.

Sakinah fikir dia mampu hadapi hari ini dengan santai saja mengenangkan dia dah terbiasa dengan situasi sebegini.

Namun sekarang dia sedar sesuatu. Situasi yang dia terbiasa itu adalah situasi melihat sepupu-sepupunya berkahwin. Tapi, kali ini dia sendiri yang berkahwin! Tak sama langsung dengan situasi yang dia hadap sekarang.

Sakinah tarik nafas dan hembus. Perbuatan itu diulang-ulang beberapa kali sehinggalah dia sendiri terasa penat. Seketika tangan naik memicit hujung dahi.

Mandi, dah. Solat isyak, dah. Jadi apa yang belum? Tidur. Ya, dah boleh tidur. Jam pun sudah menginjak sebelas malam. Lagipun Iddin belum naik-naik lagi ke bilik mereka. Tak tahu apa yang dibualnya di ruang tamu. Sakinah tak berminat nak masuk campur sebab dia dah terlalu penat.

Sakinah labuhkan punggung di birai katil. Bantal peluk awal-awal lagi diletak di tengah-tengah katil bagi menjadi penghadang buat dia dan Iddin. Jangan salahkan Sakinah... dia cuma tak terbiasa dengan situasi sebegini!

Usai menutup lampu bilik dan menghidupkan lampu malap, Sakinah rebahkan badan ke atas katil. Senyuman lega terukir di wajah saat belakang tubuh dia akhirnya bertemu dengan tilam yang empuk ini. Penatnya berkahwin, hanya yang tahu saja tahu!



MATA Sakinah berkerdip beberapa kali. Jujur dia kata, dia bingung dan buntu. Apa yang dia nak buat sekarang? Tak, apa yang perlu dia buat sebaik sahaja dia celik mata daripada tidur... mata ini sudah terhidang dengan wajah suaminya? Tipulah kalau dia kata dia tak terkejut. Tapi tipu juga kalau dia kata dia lupa yang di hadapannya kini adalah suami dia.

Dia pun bukannya hilang ingatan!

Tapi... macam mana ni? Dia nak bangun ke tandas tapi dia risau kalau Iddin ni sejenis yang mudah terjaga.

Ah, redah sajalah!

Sakinah lepaskan pelukannya pada bantal peluk lalu bergerak menuruni katil dengan penuh berhati-hati. Tingkahnya tak ubah seperti seorang ibu yang tak mahu bayinya terjaga. Sakinah mula keluar dari bilik dengan senyuman kelegaan.

Lihat daripada cara Iddin yang langsung tak bergerak itu, mungkin saja lelaki itu sejenis yang tak mudah terjaga.

Baguslah. Sesuai sangat dengan Sakinah yang selalu saja terjaga malam-malam.

Masuk semula ke dalam bilik, Sakinah tak lagi berjalan dengan terjengket-jengket seperti tadi. Gayanya lebih bersahaja. Sakinah menggaru pangkal hidung saat melihat bantal peluk dia kini sudah berada dalam pelukan Iddin.

Macam mana pula Iddin boleh capai bantal peluk dia ni? Tak silap tadi, dia dah letak betul-betul di hujung katil.

Aduh, sudahlah Sakinah tak boleh tidur tanpa bantal peluk. Nak batalkan niat untuk sambung tidur pun tak boleh. Sekarang baru jam 2 pagi. Awal lagi! Mata pun masih terasa berat.

Sakinah labuhkan duduk di birai katil. Tangan mula bergerak mahu mencapai bantal peluk yang berada kemas dalam lingkaran lengan Iddin. Saja dia mahu mencuba nasib untuk mengambil semula bantal peluk itu.

Perbuatan Sakinah berhenti serta-merta saat tersedar bahawa sepasang mata suaminya itu kini sedikit terbuka.

"Kenapa, Kinah?"

Sakinah tersengih seraya kepala menggeleng laju. "Tak ada apa-apa. Tidurlah. Maaf ganggu."

"Kinah pergi mana? Tak boleh tidur ke?" Suara serak-serak basah itu menyoal lagi.

"Tandas. Tidurlah balik. Awal lagi ni," ujar Sakinah dengan nada perlahan. Tubuh dibaringkan tanpa sebarang kata lagi. Niat dia yang mahu mengambil bantal peluk itu tadi pun serta-merta terbatal.

Kalau dah Iddin terjaga, tak sanggup dia mahu meminta pula. Biarlah. Malam ini dia tidur peluk tubuh sendiri saja. Kedengaran sedih tapi nak buat macam mana?

Mata terkelip-kelip merenung siling putih bilik. Keras saja tubuh itu berbaring dengan tangan yang menggenggam selimut. Sakinah tak tahu sama ada Iddin sudah kembali lena ataupun tidak.

Yang pasti, Sakinah hanya mampu melayan kantuk sebelum dirinya benar-benar terlelap. Mungkin kerana tubuh Sakinah betul-betul penat, jadi tidur tanpa memeluk bantal peluk tidak menjadi masalah untuk dia pada malam ini.

"Sakinah, tidur dah ke?"

Telinga masih dapat menangkap soalan yang dilontarkan suaminya. Sakinah hanya mampu menggumam perlahan sebagai jawapan kerana dia sudah tak larat untuk membuka mulut.

"Tidurlah, isteri abang."

Hanya itu yang Sakinah sempat dengar sebelum Sakinah tak sedar apa-apa lagi selepas itu.

Sakinah juga dapat rasakan yang sebelah tangannya diangkat dengan perlahan dan diletakkan di atas bantal. Dia membawa bantal itu kemas ke dalam pelukannya dengan senyuman kecil.

"PERGILAH sambung tidur. Nak sarapan nanti abang kejut Kinah," ujar Iddin dengan tangan yang masih menggenggam erat tangan Sakinah. Mereka baru selesai solat subuh berjemaah.

Iddin dapat lihat dengan jelas pada wajah Sakinah yang isterinya itu masih berada dalam keadaan mengantuk. Nak sambut huluran tangan dia untuk bersalam pun lemah tak bermaya.

"Tak apa ke?"

"Tak apa. Kinah mesti penat kan?"

"Abang Iddin tak nak sambung tidur juga ke?"

"Kenapa? Dah tak boleh tidur kalau tak ada abang dekat sebelah ke?" Iddin menyoal dengan senyuman lucu.

"Ish, mana ada. Maksud Kinah, Abang Iddin pun mesti penat juga. Bukan Kinah seorang aje yang jadi pengantin semalam."

"Abang nak sambung tidur juga. Tapi nanti, lepas abang baca al-quran sehelai dua muka surat. Kinah nak baca sekali dengan abang tak?"

Soalan Iddin membuatkan mata Sakinah berkerdip sekali dua. Dia menguis-nguis tangan Iddin dengan sayu.

"Kalau Kinah dengar aje Abang Iddin mengaji boleh tak? Dengar pun dapat pahala kan... Kali ni aje, boleh? Lepas ni kita mengaji sama-sama," ujar Sakinah dengan penuh berharap. Dia bukan malas nak mengaji cuma dia betul-betul tak larat. Sakinah rasa, kalau dia berbaring di lantai pada saat itu pasti matanya akan terus tertutup.

"Boleh..." Iddin tersenyum halus. "Dengar orang mengaji pun dapat pahala," tambah Iddin.

"Pergilah baring atas katil. Abang ambil wuduk kejap." Iddin bangun dari duduk dan terus ke bilik air.

Sakinah yang kehairanan kerana disuruh baring di atas katil tetap menurut. Sempat dia melipat telekung dan sejadah yang digunakan.

"Tu al-quran Kinah ke?" tanya Iddin setelah dia keluar dari bilik air. Al-quran yang berwarna merah jambu itu dari jauh lagi sudah menangkap pandangan Iddin.

Sakinah pandang ke arah pandangan mata Iddin sebelum mengangguk. "Ya, Kinah punya. Ambillah."

Sakinah tersenyum lucu melihat Iddin yang sedang bergerak ke arah katil dengan al-quran dipelukan.

"Kenapa senyum?"

"Comel. Abang Iddin dengan al-quran pink. Hehe."

Iddin mencebik halus. Dia membuka al-quran dan helaian dibelek-belek.

"Abang Iddin nak baca surah apa?"

"Abang dah lupa muka surat terakhir abang baca hari tu. Abang sambung dekat Kinah punya tanda ajelah."

"Okay," jawab Sakinah sambil menyelesakan baringnya. Matanya memandang tunak ke arah Iddin yang sudah bersandar pada kepala katil. Tak sabar mahu mendengar suara Iddin membaca al-quran. Dia memang sedia maklum yang suara suaminya ini merdu tetapi sudah lama dia tak dapat dengar.

Dan siapa sangka, dia dapat peluang lagi untuk mendengar suara merdu ini. Dalam keadaan status mereka yang sudah menjadi halal.

TBC

SAKINAHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang