Sembilan belas

80 15 6
                                    

"KITA dah sampai." Sakinah berkata sambil menarik brek tangan.

"Alhamdulillah." Serentak Encik Ali dan Puan Aisyah bersuara.

Sakinah tersenyum kecil. Dia pun turut sama rasa bersyukur kerana perjalanan mereka dari Terengganu ke Kuala Lumpur ini lancar dan tidak mempunyai sebarang masalah. Perjalanan selama hampir enam jam lebih.

Sakinah memandu kereta dalam keadaan santai saja. Jika mak atau abah mahu berhenti ke tandas atau mahu redakan sakit belakang, dia akan terus berhenti di RnR. Lagipun mereka bukannya tergesa-gesa mahu ke mana pun.

Sebenarnya Ucu Ja memaksa mereka untuk datang dengan menaiki kapal terbang tapi Encik Ali dan Puan Aisyah menolak. Kata mereka, memang mudah dan cepat dengan kapal terbang tapi rasanya lebih seronok dengan menaiki kereta.

Sakinah pun berfikiran yang sama. Dia lebih gembira menaiki kereta kerana dapat luangkan masa bersama mak dan abahnya dengan lebih lagi.

It's all about quality time together!

Tok! Tok!

Sakinah turunkan tingkap kereta saat melihat wajah Ucu Ja yang sedang tersengih-sengih ke arahnya.

"Sampai pun tiga beranak ni! Cepatlah turun!"

Ucu Ja bukakan pintu kereta di bahagian sebelah penumpang. Mengalu-alukan abang dan kakak iparnya untuk turun dari kereta.

"Penat?"

"Penatlah. Kenapalah kau tinggal jauh sangat, dik?" Encik Ali mula merungut.

Sakinah yang mendengar turut tersengih. Kemain merungut. Padahal tadi dialah yang paling teruja sangat nak sampai ke rumah adik dia ni!

"Kalau tak tinggal jauh, kau tak merasa nak jalan jauh-jauh, tahu?" Selamba Ucu Ja membalas. Tangan bergerak bersalaman dengan Encik Ali dan Puan Aisyah.

"Adik sihat?" Puan Aisyah menyoal. Masih melekat gelaran 'adik' itu dan tak akan pernah berubah kerana memang sudah terbiasa begitu.

"Sihat aje, kak. Cuma tak sedap badan sehari dua ni."

"Apa yang sihatnya kalau macam tu, dik? Dah pergi klinik? Demam ke apa?"

Encik Ali menyoal tegas. Perbuatan mengeluarkan segala beg dari bonet kereta terhenti terus. Sakinah pun kini tumpukan perhatian pada Ucu Ja dengan riak kerisauan.

Setahu dia, Ucu Ja jarang sakit.

"Belumlah. Tapi aku dah makan ubat."

Encik Ali diam tak memberi respon. Kembali meneruskan apa yang terhenti walau dalam hati begitu risaukan keadaan adiknya. Sebab inilah dia tak suka Khatija berjauhan dengan dia. Kalau sakit, adiknya itu hanya diam dan simpan sendiri.

Kalau mereka tak datang hari ni, mungkin sampai bila-bila pun dia tak tahu bagaimana keadaan Khatija. Nampak kecil tapi bagi dia tak. Sebab hanya Khatija peninggalan arwah ibu bapanya kepada dia. Amanah dia.

"Dah, tak payah risaukan aku. Aku sihat aje! Biasalah dah tua, kan? Kak, dia tu pun selalu sakit-sakit juga kan?" Khatija menyoal Puan Aisyah.

Puan Aisyah angguk dengan senyuman kecil.

"Dia sama juga macam awak, dik. Sakit tu diam-diam simpan sendiri. Tak ada beza pun awak berdua."

Khatija ketap bibir. Kakak ipar dia ni memanglah... bukannya nak backup dia.

Saat melihat Sakinah sudah selesai mengunci kereta, dia memaut lengan Puan Aisyah.

"Jom! Adik dah masak banyak-banyak untuk kau orang. Special!"

SAKINAHWhere stories live. Discover now