Lima

84 17 9
                                    

"Assalamualaikum!" Salam yang dilaungkan dari luar rumah membuatkan Puan Aisyah bergegas menyarung tudung. Sempat drama yang ditontonnya itu dihentikan seketika.

"Waalaikumussalam," balas Puan Aisyah sambil mengintai di sebalik tingkap.

"Eh, Iddin!" Puan Aisyah membuka pintu rumah.

"Mak Cah, saya bawa lauk kenduri tadi yang mama bungkuskan." Iddin mengangkat plastik putih di tangannya.

"Ya Allah, susah-susah aje mama kau ni..."

"Tak adanya susah, Mak Cah! Mak Cah dan orang kampung lain lagilah dah susah-payah tolong kami sekeluarga."

"Keluarga kau bukan orang asing pun, Iddin. Bakal besan Mak Cah juga. Lagipun kalau bab kenduri ni orang kampung kita memang semangat nak menolong."

Iddin tersenyum nipis. "Pak Ali tak ada dekat rumah ke?"

Tak kelihatan pula skuter merah Encik Ali di perkarangan rumah ini. Kalau tidak, skuter itulah yang paling menyerlah sekali warnanya.

"Tak ada. Kalau hari kenduri macam ni memang susah nak tengok muka dia dekat rumah. Kalau dia tak ada dekat rumah kamu, maknanya dia dekat warung atau surau. Lepas maghrib baru balik agaknya tu," jelas Puan Aisyah.

Iddin mengangguk mengerti.

"Sakinah, dia macam mana? Dia kata dia tak sedap badan tadi." Iddin bersuara perlahan. Tangan naik menggosok belakang leher. Segan pula bila bertanya perihal anak gadis orang di hadapan mak si gadis sendiri.

Tapi, dia agak risaukan Sakinah.

Puan Aisyah menghela nafas. Punggung dilabuhkan di tangga batu rumahnya.

"Sakinah? Dia bukan tak sedap badan. Tapi, hati dia yang tak sedap."

"Hati? Kenapa?" Iddin menyoal hairan.

Puan Aisyah berdeham. "Kinah dah tahu tentang kamu, Iddin. Tentang kamu berdua... dia dah tahu."

Iddin terkedu sendiri. Dia tak sangka secepat ini Sakinah akan dapat tahu tentang hubungan mereka. Di saat dia belum bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan Sakinah. Dia tak tahu bagaimana dengan penerimaan Sakinah. Jujur, dia tak dapat jangkakan apa-apa daripada Sakinah.

"Sakinah macam mana, Mak Cah? Dia okey atau... dia mengamuk?"

"Dia tak mengamuk tapi nak kata dia okey tu... Mak Cah pun tak tahu. Mak Cah tak sempat nak cakap lebih-lebih dengan dia tentang hal ni. Lepas je dia solat asar, terus dia minta izin keluar pergi kedai runcit Pak Zaki."

"Oh..." Iddin bertambah tak terkata.

"Jangan risaulah, Iddin. Apa-apa pun, Sakinah tu memang dah sedia maklum tentang hal ini sejak dari kecil. Dia dah membesar dengan persekitaran sepupu-sepapat dia yang dijodohkan. Tak perlu risau, anak perempuan Mak Cah yang seorang itu tak akan apa-apa. Dia cuma perlukan masa. Kita beri dia masa, ya?"

Sejujurnya, Puan Aisyah tak risaukan Sakinah. Dia tak risau sekiranya Sakinah akan tiba-tiba menolak aturan keluarga ini. Kerana dia tahu Sakinah tak akan pernah bertindak begitu. Atas alasan apa Sakinah mahu menolak? Ada pilihan lain? Tak mungkin. Anak gadis dia tak pernah ada masa untuk bercinta.

Dan Sakinah sendiri, terlalu teruja untuk mengenali pilihan dia dan suami.

"Mesti Sakinah terkejut," ujar Iddin perlahan.

Puan Aisyah mengangguk dengan senyuman nipis. "Ya, dia sangat terkejut."

Puan Aisyah faham dengan reaksi Sakinah sekarang. Pasti anaknya itu terkejut dengan kenyataan bahawa Iddin adalah lelaki itu. Tapi, bukankah sepatutnya Sakinah suka? Sakinah boleh dikatakan agak rapat dengan anak jiran dia ini.

SAKINAHWhere stories live. Discover now