Tiga sembilan

361 24 3
                                        

KOSONG.

Itu yang dia dapat katakan tentang perasaannya saat ini. Melihat semua mengalirkan air mata tanpa henti, membuatkan dia hairan dengan dirinya sendiri.

Sakinah? Kenapa kau tak menangis?

Kau... tak sedih ke?

Satu-satunya ucu yang kau ada, dah tinggalkan kau, Sakinah.

Ucu kau dah tak ada.

Tubuh ucu, dah tertanam di dalam liang lahad. Tanah sudah dikambus. Elok dikambus sehingga terbentuk seperti kubur.

Kubur. Ya, itu memang kubur.

Sakinah geleng kepala.

Dia rasa... ini tak mungkin terjadi.

Sakinah kekal dalam keadaan begitu sehinggalah mereka yang lain perlahan-lahan mula meninggalkan tanah kubur. Meninggalkan Sakinah bersama ahli keluarga terdekat.

"Kinah..." Lufeeya menyentuh bahu Sakinah. "Giliran kau pula. Jom..."

Sakinah alih pandangan. Dia lihat semua yang berada di situ memandang ke arahnya. Ada keluarga Lufeeya dan Nadhif. Ada juga keluarga mertuanya dan ada... mak dan ayah. Ucu Ja, mana?

"Sakinah." Sakinah mencari suara yang memanggilnya.

Iddin.

"Abang."

Iddin senyum nipis sambil melangkah ke arahnya. Mata Iddin yang kemerahan itu menjadi tatapan Sakinah. Iddin menangis?

"Abang teman Kinah," ujar Iddin sambil menarik lembut lengan Sakinah untuk berdiri. Sebaik tubuh isterinya itu stabil, dia memimpin Sakinah ke arah kubur Ucu Ja.

"Ucu..." Sakinah renung ke arah kubur yang tanahnya masih merah itu.

"Abang, ucu betul-betul dah tak ada ke?"

Mendengarkan soalan itu, membuatkan Iddin menarik nafas panjang. Dia memandang Puan Aisyah yang turut berada di sebelah Sakinah.

"Ya, ucu dah tak ada, sayang." Iddin menjawab perlahan.

Puan Aisyah menggosok perlahan tubuh anaknya. Sambil itu, tangan menghulurkan jag air kepada Sakinah.

Dengan wajah yang mula kebas menahan air mata, Sakinah mencapai jag air itu lalu dicurahkan perlahan-lahan ke atas kubur Ucu Ja dengan bantuan Puan Aisyah.

Iddin mengeraskan tubuh, menahan tubuh Sakinah yang melemah dari terjatuh.

"Ucu... Kinah tak nak..."

Kepala Sakinah menggeleng laju.

"Ucu..."

Tubuh Sakinah perlahan-lahan jatuh melutut ke tanah. Iddin yang tak sempat menahan turut melutut bersama dengan Sakinah. Tubuh lemah isterinya itu dibawa masuk ke dalam pelukan.

"Abang, ucu main-main aje kan?"

Esakan Sakinah semakin menjadi-jadi.

"Kenapa ucu tinggalkan Kinah? Ucu..."

"Sayang, tak elok macam ni. Istigfar Kinah," pujuk Iddin dengan nada tertahan. Dia sendiri pun tak mampu menahan sedih apatah lagi isterinya sendiri.

"Iddin, bawa baliklah Kinah. Rehat-rehat dulu dekat rumah. Urusan dekat sini dah selesai," ujar Encik Ali yang dari tadi hanya diam memerhati.

Setelah itu, pandangan jatuh pada kubur yang kini menjadi rumah seterusnya untuk adik kandungnya. Tak sangka Tuhan telah menjemput adiknya dahulu sebelum dia. Tak sangka, secepat ini mereka akan berpisah.

Juga tak sangka, ini ketentuan takdir yang telah ditetapkan.

SAKINAH membalas senyuman simpati yang dilemparkan oleh mereka yang datang melawat. Tak henti mulut mengucapkan kata-kata terima kasih terhadap mereka yang meninggalkan doa untuk mereka sekeluarga.

"Duduk dululah, Kinah. Bimbang pula aku tengok kau," ujar Lufeeya yang sedari tadi berada di samping Sakinah.

Sakinah hanya menurut. Bangku kayu di luar rumah itu menjadi tempat duduk mereka.

"Mana suami aku?" tanya Sakinah sambil menyandarkan kepala pada bahu Lufeeya. Laju tangan Lufeeya naik memeluk sisi tubuh Sakinah.

"Kejap, aku pergi cari."

"Tak payahlah. Dia busy tu. Kau duduklah sini dengan aku."

Lufeeya diam tak membalas.

"Baru semalam ucu hantar aku dengan Iddin dekat airport. Baru semalam, aku merajuk dengan dia. Tapi hari ni... dia dah tak ada depan mata aku, Piya..." Mata Sakinah mula bergenang.

"Dia dah janji nak sama-sama sihat dengan aku. Nak sama-sama lawan sakit kita orang ni. Sekarang, ucu tinggal aku seorang diri. Macam mana aku nak kuat?"

"Kau tak seorang diri, Kinah."

"Aku tahu... tapi Ucu Ja, lain." Sakinah memejam mata. Mencari wajah cantik Ucu Ja yang sedang tersenyum di kotak memori.

Lufeeya senyum nipis. Dia tahu. Tak ada sesiapa yang mampu gantikan sosok seorang Ucu Ja dalam hidup mereka.

"Kau tahu, sebelum dia kemalangan dia sempat call aku. Aku tak sangka pula itu kali terakhir aku bercakap dengan dia. Tak sangka pula, itu kali terakhir rasa geram sebab dia end call tanpa sempat aku jawab salam."

"Ucu call kau?" tanya Lufeeya terkejut.

Sakinah angguk perlahan.

"Aku..." Sakinah hela nafas. "Aku sedih sangat..."

Air mata yang mengalir diseka laju. Dia sedar tak elok menangis begini tapi Sakinah benar-benar tak mampu menahan rasanya.

"Allah ambil ucu sebab Allah sayang ucu, kau tahu kan?" Lufeeya bersuara lembut. "Aku faham kau sedih tapi kau kena kuatkan diri kau. Ucu mungkin tengah tengok kau sekarang, tau? Mungkin juga ucu tengah gelakkan kau sebab nangis macam ni."

"Aku kena reda, kan?"

Lufeeya angguk perlahan. "Kau kena reda. Kau boleh bersedih, kau boleh rindu Ucu Ja. Tapi kau perlu reda, Kinah. Kau kena lepaskan ucu untuk ucu pergi dengan tenang. Kau kena buat macam tu kalau kau sayangkan ucu."

"Aku tak cukup kuat..."

"Aku tahu sahabat aku ni kuat. Kau tak berseorangan. Kau ada aku, ada suami kau dan yang penting kau masih ada mak dan ayah kau dalam hidup kau."

Sakinah tak membalas. Tapi apa yang diperkatakan Lufeeya itu mula dihadam satu per satu. Dia tahu apa yang sahabatnya itu katakan tidak ada yang salah lagi.

Tapi itu tak mudah. Dan sememangnya semua ujian di dunia ini tak mudah.

Oleh itu, mahu atau tak Sakinah perlu menghadapinya. Bukan seorang diri tapi bersama keluarga yang turut merasai kehilangan.

Sakinah sedar, dia masih mempunyai insan tersayang di dunia ini. Dan di dunia sana, Ucu Ja tetap menjadi insan yang dia sayang. Di dunia dan akhirat.

TBC

SAKINAHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang