"KINAH, ucu rasa ucu ikut you balik dululah."
Dahi Sakinah berkerut. Dia yang sedang mengemaskan lipatan bawal pada muka di hadapan cermin terhenti.
"Kenapa?"
"Ucu risau nak tinggal you seorang diri."
Sakinah menggeleng laju. "Risau buat apa? Kinah dah besar. Lagipun kalau ucu balik KL, ucu sendiri yang bosan nanti tak ada benda nak buat dekat rumah. Kalau dekat sini, mak dan abah ada."
Sakinah yakin yang Ucu Ja akan kesunyian jika ikut dia balik ke KL. Ucu Ja, secara rasminya dah berhenti kerja. Atas nasihat dan paksaan Encik Ali dan Puan Aisyah yang betul-betul risaukan keadaan adik mereka.
Sakinah pun, sokong akan keputusan itu.
"Kenapa ni, ucu?" tanya Sakinah saat melihat wajah Ucu Ja seperti tidak tenang.
"Ucu risaulah you seorang diri dekat KL. Kalau apa-apa jadi macam mana? Lagipun KL dengan kampung you ni bukan dekat. You tu sakit, samalah macam ucu. Sibuk suruh ucu berehat apa semua, fikir you tu sihat sangat ke?"
Sakinah raup wajah. Dia mendekati Ucu Ja.
"Macam you cakap, ucu dekat sini ada abah dan mak you tapi you? Siapa ada dengan you nanti dekat sana? You seorang diri, tau!"
"Kinah boleh jaga diri, ucu. Ucu janganlah fikir bukan-bukan. Ucu doakan aje Kinah duduk sihat sejahtera aje dekat sana. Boleh, ucu?"
"Ucu memang sentiasa doakan you tapi..."
Ucu Ja lepaskan keluhan kuat.
"Kenapa ucu nak bimbang sangat ni? Abang Iddin kan balik sekali dengan Kinah juga. Siap rumah dia sebelah dengan rumah ucu lagi, tau. Kalau jadi apa-apa atau ada masalah, Kinah boleh minta tolong Abang Iddin," ujar Sakinah dengan nada lembut.
Sakinah tak pernah fikir pun lagi mahu meminta pertolongan Iddin tapi kalau macam inilah gaya Ucu Ja, nampaknya dia terpaksa gunakan nama Iddin. Kerana dia tahu yang Ucu Ja begitu percayakan Iddin.
"Iddin?"
Sakinah angguk.
"Boleh janji dengan ucu ke yang Kinah akan minta tolong Iddin?" Ucu Ja menyoal dengan mata yang mengecil. Bukannya dia tak kenal Sakinah. Tahu sangat yang Iddin mungkin jadi orang yang terakhir untuk Sakinah meminta pertolongan.
"Janji!"
"Tapi tengok keadaan jugalah. Tak akan setiap masalah Kinah hadap kena call Abang Iddin kan? Tak memasal ganggu hidup orang pula," sambung Sakinah.
Ucu Ja menggeleng. "Tak apa. Apa-apa pun, call aje Iddin. Ucu tahu dia akan terus datang tolong."
Sakinah mahu membantah tapi dia memilih untuk diam. Biarlah. Sekurang-kurangnya Ucu Ja dapat lepas dia balik ke KL dengan senang hati.
"MAK, Kinah pergi dulu tau."
Sakinah memeluk Puan Aisyah dengan erat. Langsung dia tak lepaskan kalau bukan kerana Puan Aisyah yang menolaknya. Puan Aisyah memegang kedua sisi wajah Sakinah dengan senyuman.
"Dah balik KL nanti, ingat-ingatlah juga mak, abah dengan ucu dekat kampung ni. Jangan buat benda bukan-bukan. Solat tu jangan tinggal!"
Sakinah tersengih dengan kepala terangguk-angguk.
"Kalau tak sibuk, baliklah kampung selalu. Jenguk mak dan abah ni. Kami ni ada kau seorang aje yang kami duk tunggu-tunggu bila nak balik."
"Ya, Kinah balik selalu. Insha-Allah. Mak jaga diri, tau? Nanti dah sampai Kinah call mak dengan abah."
ANDA SEDANG MEMBACA
SAKINAH
RomanceSAKINAH... yang perkahwinannya diaturkan atas sebab mahu menjaga keturunan.
