Sembilan

76 16 13
                                    

"ESOK, kamu dan Kinah pergi tempah kad kahwin, tengok baju pengantin. Kalau sempat, pergi beli barang hantaran sekali. Tapi kalau tak sempat kau orang pergi beli asing pun tak apa. Kamu balik kampung lagi sekali nanti, kamu dan Kinah pergi food tasting untuk menu makanan kenduri nanti. Bila lagi kamu boleh balik, Iddin?" Puan Aisyah menyoal seraya meletakkan Ipad ke tepi.

Sejak dia dan Puan Fatin mula merancang majlis perkahwinan anak mereka ini, Ipad miliknya ini tak pernah lepas dari tangan. Sentiasa dikelek di tangan. Sehingga kini boleh dibilang dengan jari saja berapa kali dia menghadap tv di ruang tamu. Terlalu sibuk dan teruja!

"Minggu depan Iddin boleh balik, Mak Cah."

Puan Aisyah tersenyum kecil mendengar jawapan tak ragu-ragu daripada Iddin.

"Betul ke kamu ni, Iddin? Kalau tak boleh balik, mak dan mama kamu ada. Jangan risau. Tak ada masalah pun kalau kita orang yang jadi wakil kamu untuk food tasting tu dan teman Kinah."

"Tak apa, Mak Cah. Iddin cuba usahakan untuk balik. Maaf sebab baru balik sini, Mak Cah. Lepas ni, Iddin akan balik setiap kali hujung minggu."

Puan Aisyah menggeleng kepala. "Tak perlulah sampai setiap minggu, Iddin. Dua minggu sekali pun dah cukup."

"Majlis dah tak lama. Empat minggu lagi. Lagipun ni kan majlis Iddin juga jadi tak akan Iddin nak biar semua orang sibuk dengan majlis ni sedangkan Iddin pula sibuk dengan kerja, Mak Cah..."

Puan Aisyah terdiam. Dia menatap Iddin yang kini sedang mencicah buah mempelam ke dalam sos kicap gula yang dibuatnya tadi. Sejuk hatinya mendengarkan bicara Iddin yang bagi dia... penuh bertanggungjawab. Ternyata, dia tak salah pilih lagi bakal suami untuk Sakinah.

Dia yakin Iddin mampu menjaga anak dia, Sakinah dengan sebaik-baiknya. Hanya dengan satu sifat tanggungjawab ini, dia yakin Sakinah akan hidup bahagia bersama Iddin. Dengan izin Allah, mereka akan bahagia.

"Ni, mak nak tanya Iddin ni..."

Puan Aisyah memandang Iddin dengan riak serius. Iddin terkaku sebentar sebelum mulutnya bergerak mengunyah habis mempelam di dalam mulut. Dia menahan diri daripada membuat riak wajah akibat rasa masam buah itu.

Mak Cah tengah serius! Dia ada buat salah apa-apa ke?

"Kenapa, Mak Cah?"

"Nak tanyalah... sampai bila nak panggil mak ni Mak Cah, Mak Cah? Belum nak mengaku mak ni mak mertua kamu lagi ke?"

Iddin telan liur. Teragak-agak dia mahu membuka mulut.

"Tahulah belum sah dengan Kinah, tapi apa salahnya praktis dari awal apa yang patut? Tak salah pun nak panggil mak ni... mak. Sakinah tu, dah panggil mama kamu tu mama! Bila pula mak boleh merasa menantu sendiri panggil mak ni mak? Tak adil betul mama kamu tu dapat merasa," bebel Puan Aisyah panjang. Wajah menayang riak tidak berpuas hati.

"Erm... Bukan apa Mak Cah tapi..."

Puan Aisyah mendengus perlahan. "Mak! Mak! Bukan Mak Cah. Apa yang susah sangat, Iddin?"

Iddin tersenyum lucu. Dia menggaru pangkal hidung. Sedaya upaya melindungi senyumannya agar tidak kelihatan di mata Puan Aisyah.

"Baiklah, mak. Lepas ni tak panggil dah 'Mak Cah'. Janji!" Iddin angkat tangan separas bahu.

Puan Aisyah mengangguk. Berpuas hati dengan Iddin yang mudah menurut.

"Eh, Pak Ali!"

Iddin menyapa Encik Ali yang sedang mendekati mereka dengan setandan pisang di bahu. Di tangan pula terdapat sebilah parang.

"Ha, Iddin. Dah lama ke kamu ada dekat sini?"

"Baru lagi. Cari juga Pak Ali tadi. Mak kata Pak Ali ada dekat belakang rumah. Nak pergi jenguk tapi mak ajak teman makan buah mempelam pula." Iddin tersengih-sengih. Dia mengambil setandan pisang daripada Encik Ali dan diletakkan di atas gazebo yang mereka duduk.

"Ni pisang belakang rumah ke ni?" Puan Aisyah menyoal sambil menghulur secawan teh sejuk kepada suaminya.

"Ya, tak sangka pula dah masak elok."

"Kira berbakat jugalah abang menanam ni!"

"Hai, suami awak ni ada bisnes ladang dan ternakan... cik puan dah lupa ke?"

"Tak adanya lupa. Saja mengusik!"

Encik Ali mencebik kecil. Geram mahu dicubit saja pipi isteri tapi tangan dia masih kotor kesan daripada tanah.

"Anak kita mana, bang? Hujung minggu pun sibuk menghadap buku-buku anak murid dia ke?" Puan Aisyah menyoal hairan.

Encik Ali terdiam. Pandang Iddin dan isterinya, dia berdeham perlahan.

"Dia tak sihat tu. Abang nampak pucat semacam. Abang minum air dekat dapur tadi sempatlah juga nampak dia keluar masuk tandas dua kali," ujar Encik Ali dengan nada perlahan.

Giliran Puan Aisyah pula terdiam.

"Kenapa dengan Sakinah? Dia sakit perut ke, Pak Ali?" Iddin menyoal, risau. Bertambah risau dia apabila melihat Encik Ali dan Puan Aisyah berpandangan buat seketika.

Dia mahu memaksa mereka agar terus memberikan jawapan kepastian, tapi Iddin tahan dirinya untuk terus menunggu jawapan mereka.

"Nampaknya macam tulah, Iddin. Jangan risau. Biasalah penyakit perempuan setiap bulan." Puan Aisyah menjawab dengan senyuman nipis.

Oh, Sakinah datang bulan.

Iddin hela nafas lega. Dia fikir Sakinah keracunan makanan atau sebagainya.

"Nanti kamu bawa balik semua pisang ni, ya?"

Iddin tersentak. "Semua? Banyak ni!"

"Ha, semua. Rumah ni banyak lagi pisang dekat dapur."

"Kamu bawa balik lepas tu suruh mama kamu buat pisang goreng untuk mak. Kata dekat mama kamu, ni arahan besan dia!"

Puan Aisyah menyampuk.

"Suruh mama kamu buat sedap-sedap. Tak sedap, tak ada ketupat sotong dah." Sambung Puan Aisyah lagi.

"Okey, mak. Jangan risau. Mama punya pisang goreng tak pernah tak menjadi. Sama macam ketupat sotong mak... sedap sokmo!"

Puan Aisyah mencebik kecil. Dah nampak dah Iddin ni ikut perangai mama dia. Kuat ambil hati dia untuk buat ketupat sotong selalu.

Encik Ali berdeham keras. "Ni aku hairan satu perkaralah. Aku ni abah kepada Sakinah dan suami kepada mak kau. Kenapa pula aku masih jadi 'Pak Ali' kau lagi ni?"

Iddin termangu. Wajah Puan Aisyah dan Encik Ali dipandang silih berganti. Dua wajah yang sudah dimamah usia ini mempunyai riak yang berbeza. Seorang ketawa terhibur dan seorang.... Menayang riak garang.

Sudahnya, Iddin tertawa janggal. Tak sangka Pak Ali pun sensitif bab panggilan. Saling tak tumpah seperti Mak Cah!

SAKINAHWhere stories live. Discover now